Lompat ke kandungan

16 OGOS 2019
DENMARK

Saksi-Saksi Yehuwa Membuka Muzium Baharu di Denmark

Saksi-Saksi Yehuwa Membuka Muzium Baharu di Denmark

Pada Julai 2019, sebuah muzium Bible yang baharu telah dibuka di pejabat cawangan Skandinavia Saksi-Saksi Yehuwa. Tema muzium itu ialah “Bible dan Nama Tuhan di Skandinavia.” Pejabat cawangan tersebut terletak di pekan Holbæk, Denmark, kira-kira 65 kilometer dari Copenhagen.

Muzium itu mengandungi koleksi Bible yang jarang didapati dan penting dalam bahasa Denmark, Faroe, Greenland, Iceland, Norway, Saami, dan Sweden. Terdapat lebih daripada 50 naskhah Bible yang dipamerkan.

Salah sebuah Bible yang paling menarik di muzium itu ialah naskhah asal Gustav Vasa Bible yang dihasilkan pada tahun 1541. Bible itu merupakan Bible lengkap pertama yang dihasilkan dalam mana-mana bahasa Skandinavia. Gustav Vasa Bible telah dijadikan sebagai standard untuk tatabahasa dan kosa kata bagi bahasa Sweden. Bible tersebut juga merupakan sumber rujukan utama bagi pelbagai Bible Sweden selama 300 tahun yang seterusnya.

Naskhah asal Gustav Vasa Bible keluaran tahun 1541 dipamerkan di muzium

Satu lagi Bible yang jarang ditemui juga dipamerkan, iaitu naskhah asal Christian III Bible keluaran tahun 1550. Bible ini ialah Bible pertama yang lengkap dalam bahasa Denmark. Christian III Bible juga membantu untuk menetapkan standard bagi bahasa Denmark, dan hal ini membawa kesan yang besar kepada penduduk di kebanyakan kawasan Eropah Utara.

Naskhah asal Christian III Bible keluaran tahun 1550

Erik Jørgensen dari pejabat cawangan Skandinavia berkata, “Muzium Bible baharu ini menunjukkan bahawa sejak berabad-abad dahulu, orang di Skandinavia amat menghormati Firman Tuhan dan nama Tuhan yang agung, Yehuwa.”