Lompat ke kandungan

13 OKTOBER 2022
TAJIKISTAN

Jawatankuasa Hak Asasi Manusia PBB Menyatakan Pengharaman Saksi-Saksi Yehuwa di Tajikistan adalah Tidak Sah

Jawatankuasa Hak Asasi Manusia PBB Menyatakan Pengharaman Saksi-Saksi Yehuwa di Tajikistan adalah Tidak Sah

Pada 7 September 2022, Jawatankuasa Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (CCPR) membuat keputusan penting terhadap kerajaan Tajikistan kerana melayan Saksi-Saksi Yehuwa dengan tidak adil. Pada 7 Julai 2022, CCPR membuat keputusan yang berpihak kepada Saksi-Saksi Yehuwa dalam kes Adyrkhayev lwn. Tajikistan. Kes itu adalah tentang bagaimana Tajikistan enggan mengiktiraf Saksi-Saksi Yehuwa sebagai badan yang sah dan kemudian mengharamkan aktiviti mereka.

Saksi-Saksi Yehuwa sudah mengamalkan kepercayaan agama mereka di Tajikistan lebih daripada 50 tahun. Persatuan Agama Saksi-Saksi Yehuwa (RAJW) telah didaftar secara sah pada 1994. Namun, pada 11 Oktober 2007, Kementerian Kebudayaan membatalkan pendaftaran dan mengharamkan ibadat Saksi-Saksi Yehuwa. Kerajaan Tajikistan mendakwa bahawa Saksi-Saksi Yehuwa adalah ekstremis kerana menginjil, menolak khidmat tentera atas dasar hati nurani, dan percaya bahawa agama mereka adalah benar. Usaha untuk mendaftar RAJW berulang kali telah ditolak.

Dalam keputusan CCPR baru-baru ini, mereka menyimpulkan bahawa pengharaman Tajikistan terhadap Saksi-Saksi Yehuwa melanggar undang-undang. Ia menyatakan bahawa “tidak ada apa-apa sebab” kukuh yang diberikan oleh Tajikistan yang dapat dijadikan dasar untuk mengharamkan dan menolak pendaftaran semula RAJW.

CCPR juga menyatakan bahawa keputusan kerajaan Tajikistan untuk menolak pendaftaran semula RAJW menyebabkan Saksi-Saksi Yehuwa “ditangkap, ditahan, disoal siasat, dipukul, rumah mereka digeledah, bahan bacaan agama mereka dirampas, serta [salah seorang] Saksi Yehuwa dibuang negeri.” Disebabkan semua ketidakadilan itu, CCPR membuat keputusan bahawa kerajaan Tajikistan telah melanggar hak Saksi-Saksi Yehuwa yang dilindungi dalam Perjanjian Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Hak Sivil dan Politik.

Saudara Shamil Khakimov, yang berumur 71 tahun, dipenjarakan sejak Februari 2019

CCPR mengarahkan agar Tajikistan mempertimbangkan untuk mendaftar semula permohonan Saksi-Saksi Yehuwa serta membayar pampasan kepada mereka yang haknya dicabuli. Kerajaan Tajikistan juga dimaklumkan bahawa mereka “wajib untuk mengambil semua langkah yang diperlukan agar perlanggaran sedemikian tidak berulang lagi pada masa depan.”

Keputusan CCPR ini boleh mempengaruhi kes Saudara Shamil Khakimov, yang berumur 71 tahun. Dia dipenjarakan sejak Februari 2019 kerana mengamalkan kepercayaan agamanya dengan damai. Kerajaan Tajikistan hanya dapat guna pengharaman Saksi-Saksi Yehuwa sebagai dasar undang-undang untuk menangkap dan memenjarakannya.

Semoga keputusan CCPR ini membolehkan Saksi-Saksi Yehuwa bebas mengamalkan agama mereka di Tajikistan. Kita berdoa agar Yehuwa terus memberkati usaha “memperoleh hak yang sah di sisi undang-undang untuk menyebarkan berita baik.”—Filipi 1:7.