Lompat ke kandungan

BAHAGIAN 5

Kebenaran tentang Ilmu Sihir, Kuasa Ghaib, dan Bomoh

Kebenaran tentang Ilmu Sihir, Kuasa Ghaib, dan Bomoh

1. Di Afrika, siapakah yang percaya pada ilmu sihir, kuasa ghaib, dan bomoh?

BUKU African Traditional Religion berkata, “Di Afrika, semua orang percaya pada bomoh dan dukun.” Buku itu juga menambah, “Amalan sihir dianggap penting dan ialah sesuatu yang sangat biasa.” Bahkan orang yang terpelajar, pemimpin agama Islam, dan pemimpin agama Kristian percaya pada ilmu sihir, kuasa ghaib, dan bomoh.

2. Banyak orang percaya kuasa ghaib datang dari mana?

2 Banyak orang percaya bahawa kuasa ghaib wujud secara semula jadi dan Tuhan dapat mengawal kuasa ini. Makhluk-makhluk di alam roh dan nenek moyang dapat menggunakan kuasa ini. Selain itu, sesetengah orang tahu cara menggunakannya untuk tujuan yang baik atau jahat (juga dipanggil ilmu putih atau ilmu hitam).

3. Apakah itu ilmu hitam? Bagaimanakah orang menggunakannya?

3 Ilmu hitam ialah amalan sihir yang digunakan untuk melawan musuh. Orang yang menggunakannya dipercayai dapat menghantar kelawar, burung, lalat, atau binatang lain untuk menyerang manusia. Orang juga percaya bahawa pergaduhan, kemandulan, penyakit, dan bahkan kematian disebabkan oleh ilmu hitam.

4. Apakah kepercayaan orang tentang bomoh? Apakah yang dikatakan oleh sesetengah orang yang pernah menjadi bomoh?

4 Ilmu hitam juga berkait rapat dengan bomoh dan dukun. Orang percaya bahawa bomoh dapat meninggalkan tubuhnya pada waktu malam lalu berjumpa dengan bomoh-bomoh lain untuk meragut nyawa mangsa mereka. Kepercayaan ini ialah berdasarkan cerita daripada orang yang pernah menjadi bomoh. Contohnya, satu majalah di Afrika memetik kata-kata bekas bomoh (kebanyakannya gadis remaja). Mereka berkata, “Saya menggunakan kemalangan jalan raya untuk membunuh 150 orang.” “Saya membunuh lima kanak-kanak dengan menghisap darah mereka.” “Saya membunuh tiga teman lelaki saya kerana mereka memutuskan hubungan dengan saya.”

5. Apakah itu ilmu putih? Bagaimanakah orang menggunakannya?

5 Ilmu putih dipercayai dapat melindungi seseorang daripada hal-hal jahat. Orang yang mengamalkan ilmu putih biasanya memakai cincin atau gelang yang kononnya mempunyai kuasa ghaib. Mereka akan minum atau menyapu ubat pada tubuh mereka sebagai perlindungan. Mereka juga menyimpan barang-barang yang dipercayai ada kuasa ghaib di dalam rumah mereka atau menanamnya di dalam tanah. Mereka juga menggunakan azimat yang mengandungi petikan daripada al-Quran atau Bible.

Dusta-Dusta Syaitan

6. Apakah yang pernah Syaitan dan roh-roh jahat lakukan pada zaman dulu? Apakah sepatutnya pandangan kita terhadap kuasa yang dimiliki mereka?

6 Syaitan dan roh-roh jahat memang berkuasa dan merupakan musuh manusia yang berbahaya. Pada zaman dulu, mereka pernah mempengaruhi kehidupan manusia, atau merasuk manusia dan binatang. (Matius 12:43-45) Kita tidak menafikan bahawa makhluk-makhluk ini sangat berkuasa. Namun, ingatlah kita juga tidak perlu membesar-besarkan kuasa yang dimiliki mereka.

7. Apakah yang Syaitan mahu kita percaya? Hal ini boleh disamakan seperti apa?

7 Syaitan mahu kita percaya bahawa dia mempunyai kuasa yang tidak terbatas. Maka dia suka menyebarkan dusta-dusta untuk menakutkan orang. Hal ini boleh disamakan seperti para askar di medan perang. Sesetengah askar mungkin memainkan rakaman bunyi senjata atau tembakan untuk menakutkan para musuh. Mereka ingin membuat musuh berfikir bahawa mereka diserang oleh pasukan askar yang besar dengan senjata yang hebat. Begitu juga, Syaitan mahu menipu orang dengan membesar-besarkan kuasa yang dimilikinya supaya orang melakukan kehendaknya dan bukan kehendak Yehuwa. Sekarang, mari kita perhatikan tiga dusta yang digunakan oleh Syaitan.

8. Apakah satu dusta yang Syaitan gunakan?

8 Satu dusta yang disebarkan oleh Syaitan ialah semua hal buruk disebabkan oleh seseorang atau kuasa ghaib. Contohnya, apabila seorang anak meninggal kerana malaria, ibunya sedar bahawa penyakit itu disebabkan oleh nyamuk. Tetapi dia juga mungkin percaya bahawa seseorang telah mengenakan jampi dengan menghantar nyamuk untuk menggigit anaknya.

Kadangkala perkara buruk berlaku tanpa diduga

9. Bagaimanakah Bible menunjukkan bahawa Syaitan bukanlah penyebab semua masalah kita?

9 Walaupun Syaitan dapat menyebabkan sesetengah masalah menimpa kita, bukan semua masalah datang daripadanya. Bible kata, “Orang yang cepat tidak semestinya menjadi juara, orang yang kuat tidak semestinya menang dalam pertempuran, orang yang bijaksana tidak semestinya mendapat makanan, orang yang pandai tidak semestinya kaya, dan orang yang berpengetahuan tidak semestinya berjaya, kerana waktu dan kejadian yang tidak terduga menimpa semua orang.” (Pengkhutbah 9:11) Dari ayat ini, kita belajar bahawa “kejadian yang tidak terduga” boleh menimpa sesiapa pun. Contohnya, seorang pelari mungkin sangat laju tetapi dia tidak semestinya menang. Mengapa? Kerana dia boleh jatuh sakit, tersandung, atau terseliuh dalam perlumbaannya. Hal-hal sebegini boleh berlaku kepada sesiapa pun, dan tidak semestinya disebabkan oleh Syaitan atau kuasa ghaib.

10. (a) Apakah dusta Syaitan yang kedua? (b) Mengapakah kita tahu hal itu tidak benar? Adakah anda setuju dengan hal ini?

10 Dusta Syaitan yang kedua ialah bahawa bomoh dapat meninggalkan tubuhnya dan bertemu dengan bomoh-bomoh lain untuk meragut nyawa mangsa mereka. Tetapi, hal ini tidak benar kerana manusia tidak mempunyai roh yang dapat meninggalkan tubuh. Maka, mustahil bomoh dapat memisahkan diri daripada tubuhnya lalu melakukan hal-hal sensasi yang diceritakannya.

Mustahil bomoh dapat memisahkan diri daripada tubuhnya

11. Bagaimanakah Syaitan membuat orang percaya bahawa mereka telah mengalami suatu kejadian yang sebenarnya tidak pernah dialami?

11 Jika begitu, mengapakah sesetengah bomoh percaya bahawa mereka betul-betul telah mengalami atau melakukan hal-hal yang luar biasa? Hal ini kerana Syaitan dapat menggunakan penglihatan untuk menyebabkan seseorang membayangkan hal itu. Penglihatan itu mungkin begitu realistik sehingga orang itu sangka dia sedang melakukan, mendengar, atau menyaksikan kejadian itu dengan mata sendiri. Melalui cara itu, Syaitan telah berjaya menyebabkan sesetengah orang fikir bahawa ajaran Bible tidak benar dan menjauhi Yehuwa.

12. (a) Adakah ilmu putih baik? (b) Apakah yang Bible kata tentang ilmu sihir?

12 Dusta ketiga yang disebarkan oleh Syaitan ialah ini: Ilmu putih ialah sesuatu yang baik kerana dapat melawan ilmu hitam. Tetapi Bible mengutuk semua perbuatan yang berkaitan dengan ilmu sihir. Perhatikan beberapa perintah yang telah Yehuwa berikan kepada bangsa Israel berkenaan amalan sihir:

  • “Jangan amalkan ilmu sihir.”​—Imamat 19:26.

  • Setiap lelaki atau wanita yang menjadi bomoh atau tukang tilik mesti dihukum mati.”​—Imamat 20:27.

  • “Jangan mengamalkan ilmu ramal atau ilmu sihir. Jangan mencari petanda atau menjadi tukang sihir. Jangan mengenakan jampi kepada orang lain, dan jangan mencari bomoh.”​—Ulangan 18:10-14.

13. Mengapakah Yehuwa memberikan perintah yang tegas berkenaan ilmu sihir?

13 Yehuwa memberikan perintah-perintah itu kerana Dia sangat mengasihi umat-Nya. Dia tidak mahu mereka dicengkam rasa takut atau menjadi hamba kepada kepercayaan karut. Dia tidak mahu mereka menjadi mangsa roh-roh jahat.

14. Bagaimanakah kita tahu bahawa Yehuwa lebih berkuasa daripada Syaitan?

14 Bible tidak menyatakan dengan terperinci tentang kuasa Syaitan dan roh-roh jahat. Tetapi Bible menunjukkan bahawa Tuhan Yehuwa jauh lebih berkuasa daripada mereka. Contohnya, Yehuwa telah mengusir Syaitan dari syurga. (Wahyu 12:9) Selain itu, Syaitan hanya dapat menguji Ayub kerana Yehuwa mengizinkannya untuk berbuat demikian. Namun, Yehuwa telah melarang Syaitan daripada membunuh Ayub.​—Ayub 2:4-6.

15. Kita harus bergantung pada siapa untuk mendapat perlindungan?

15 Amsal 18:10 kata, “Nama Yehuwa bagaikan menara yang kukuh; ke sanalah orang yang baik berlari dan mendapat perlindungan.” Maka kita harus bergantung pada Yehuwa untuk mendapatkan perlindungan, dan bukannya menggunakan azimat, tangkal, atau jampi untuk melawan Syaitan dan roh-roh jahat. Kita tidak perlu takut akan bomoh ataupun jampi kerana kita percaya sepenuhnya kata-kata berikut: “Yehuwa sentiasa mengawasi seluruh bumi untuk mencari orang yang menyembah-Nya dengan sepenuh hati agar Dia dapat menunjukkan kekuatan-Nya kepada mereka.”—2 Tawarikh 16:9.

16. Yakobus 4:7 meyakinkan kita tentang apa, tetapi apakah yang harus kita lakukan?

16 Yakobus 4:7 kata, “Taatlah kepada Tuhan dan lawanlah Iblis, maka Iblis akan lari daripada kamu.” Jika kita menyembah Yehuwa dengan setia, kita boleh yakin bahawa Dia akan sentiasa melindungi kita.