Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAHAGIAN 12

Hidup Berpandukan Kebijaksanaan Tuhan

Hidup Berpandukan Kebijaksanaan Tuhan

Buku Amsal merupakan penyusunan nasihat yang diilhami Tuhan dan yang memberi panduan untuk kehidupan seharian. Kebanyakan amsal ditulis oleh Salomo

ADAKAH Yehuwa Pemerintah yang bijaksana? Satu cara kita dapat menjawab soalan ini adalah dengan mempertimbangkan nasihat-nasihat yang diberikan oleh-Nya. Adakah nasihat-nasihat-Nya berkesan? Adakah penerapan nasihat-nasihat-Nya menjadikan kualiti kehidupan kita lebih baik dan lebih bermakna? Raja Salomo yang bijak telah merakamkan ratusan amsal atau pepatah yang menyentuh hampir setiap aspek kehidupan kita. Mari kita lihat beberapa contoh.

Mempercayai Tuhan. Kepercayaan merupakan kunci kepada perhubungan yang baik dengan Yehuwa. Salomo telah menulis, “Percayalah kepada [Yehuwa] dengan sepenuh hatimu. Jangan bergantung kepada pengertianmu sendiri. Ingatlah akan TUHAN dalam segala perbuatanmu, dan Dia akan menunjukkan cara hidup yang baik kepadamu.” (Amsal 3:5, 6) Jika kita mempercayai Tuhan, mentaati-Nya, dan bergantung pada panduan-Nya, kehidupan kita akan menjadi lebih bermakna. Dengan berbuat demikian, seorang manusia boleh menggembirakan hati Tuhan dan membantu Yehuwa untuk menyangkal dakwaan musuh-Nya, Syaitan.Amsal 27:11.

Memperlakukan orang lain dengan bijak. Nasihat Tuhan untuk suami, isteri, dan anak-anak sangat sesuai untuk diamalkan, lebih-lebih lagi pada masa kini. Tuhan menasihati para suami, “Bersukacitalah dengan gadis yang kamu kahwini.” Hal ini bermaksud seorang suami harus kekal setia kepada isterinya. (Amsal 5:18-20) Bagi isteri-isteri, buku Amsal mengandungi sebuah gambaran menarik tentang seorang isteri cekap yang dikagumi oleh suami dan anaknya. (Amsal, bab 31) Anak-anak pula digalakkan untuk mentaati ibu bapa mereka. (Amsal 6:20) Buku ini juga menunjukkan kepentingan persahabatan kerana seseorang yang mengasingkan diri akan menyemarakkan sifat mementingkan diri. (Amsal 18:1) Sahabat-sahabat kita dapat mempengaruhi kita untuk melakukan apa yang baik atau apa yang buruk. Maka, kita harus memilih sahabat kita dengan bijak.Amsal 13:20; 17:17.

Menjaga diri dengan bijak. Buku Amsal mengandungi nasihat yang tidak ternilai tentang cara untuk menghindari penyalahgunaan alkohol, memupuk emosi yang positif dan melawan emosi yang negatif, serta cara untuk menjadi seorang pekerja yang rajin. (Amsal 6:6; 14:30; 20:1) Kita juga diingatkan bahawa jika kita menaruh keyakinan pada nasihat manusia yang tidak selaras dengan nasihat yang diberikan oleh Tuhan, kita akan mengundang masalah. (Amsal 14:12) Kita digesa untuk melindungi batin, atau pemikiran kita yang paling dalam, daripada pengaruh-pengaruh yang boleh menjejaskan akhlak. Hal ini adalah ‘kerana pemikiran kita menentukan hidup kita.’Amsal 4:23.

Jutaan orang dari semua pelosok dunia mendapati bahawa pengamalan nasihat-nasihat ini membawa kehidupan yang lebih baik. Maka, mereka mempunyai banyak sebab untuk menerima Yehuwa sebagai Pemerintah mereka.

—Berdasarkan buku Amsal.