Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAHAGIAN 24

Paulus Menulis kepada Sidang-Sidang Kristian

Paulus Menulis kepada Sidang-Sidang Kristian

Surat-surat yang ditulis oleh Paulus menguatkan iman orang Kristian abad pertama

SIDANG Kristian yang baru ditubuhkan akan terus memainkan peranan yang penting dalam pelaksanaan tujuan Yehuwa. Namun, tidak lama selepas ditubuhkan, sidang Kristian pada abad pertama menghadapi serangan daripada penentang-penentang kebenaran. Adakah mereka akan berpegang teguh pada integriti mereka apabila berdepan dengan penganiayaan daripada luar sidang mahupun bahaya-bahaya yang datang daripada dalam sidang? Kitab Yunani Kristian mempunyai 21 pucuk surat yang menawarkan nasihat dan galakan yang diperlukan.

Empat belas pucuk surat, iaitu buku Roma hingga buku Ibrani, ditulis oleh Rasul Paulus. Surat-surat ini dinamakan sempena penerimanya, sama ada seorang individu atau sebuah sidang. Marilah kita membaca tentang sesetengah subjek yang dibincangkan dalam surat-surat Paulus.

Nasihat tentang moral dan kelakuan. Mereka yang mengamalkan perbuatan seks yang haram, mengadakan hubungan seks sebelum bernikah, dan melakukan dosa-dosa lain yang menjijikkan “tidak akan menikmati Pemerintahan [Tuhan].” (Galatia 5:19-21; 1 Korintus 6:9-11) Penyembah-penyembah Tuhan mestilah bersatu padu tanpa mengira bangsa. (Roma 2:11; Efesus 4:1-6) Mereka harus menghulurkan bantuan dengan murah hati kepada rakan seiman mereka yang memerlukan pertolongan. (2 Korintus 9:7) “Berdoalah sentiasa,” kata Paulus. Penyembah Tuhan digalakkan untuk meluahkan isi hati mereka kepada Yehuwa melalui doa. (1 Tesalonika 5:17; 2 Tesalonika 3:1; Filipi 4:6, 7) Hanya doa-doa yang diucapkan dengan iman kepada Tuhan akan didengari-Nya.Ibrani 11:6.

Apakah yang dapat membantu keluarga untuk menikmati kehidupan yang bahagia? Para suami mesti mengasihi isteri mereka seperti mengasihi tubuh sendiri. Kaum isteri mesti mempunyai rasa hormat yang mendalam terhadap suami mereka. Anak-anak perlu taat kepada ibu bapa mereka kerana hal ini menyenangkan hati Tuhan. Ibu bapa harus membimbing dan melatih anak-anak mereka dengan penuh kasih dan dengan menggunakan prinsip-prinsip di dalam Bible.Efesus 5:22–6:4; Kolose 3:18-21.

Memahami tujuan Tuhan. Banyak aspek Hukum Musa bertindak sebagai pelindung dan pembimbing kepada orang Israel sehingga ketibaan Kristus. (Galatia 3:24) Namun begitu, orang Kristian tidak perlu mematuhi Hukum itu untuk menyembah Tuhan. Apabila Paulus menulis kepada orang Ibrani, iaitu orang Kristian yang mempunyai latar belakang Yahudi, dia menjelaskan kepada mereka erti di sebalik Hukum Musa dan bagaimana tujuan Tuhan dilaksanakan melalui Kristus. Paulus menjelaskan bahawa pelbagai aturan di bawah Hukum itu membawa makna yang istimewa bagi masa hadapan. Misalnya, persembahan binatang-binatang sebagai korban melambangkan kematian Yesus yang akan membawa pengampunan dosa yang sebenar. (Ibrani 10:1-4) Melalui kematian Yesus, Tuhan membatalkan Perjanjian Hukum Musa kerana perjanjian itu tidak lagi diperlukan.Kolose 2:13-17; Ibrani 8:13.

Arahan tentang cara yang betul untuk mengaturkan hal ehwal sidang. Semua lelaki yang ingin memikul tanggungjawab di dalam sidang mesti mempunyai piawaian moral yang tinggi dan harus memenuhi kelayakan seperti yang tercatat di dalam Bible. (1 Timotius 3:1-10, 12, 13; Titus 1:5-9) Penyembah Tuhan harus berkumpul dengan rakan-rakan seiman mereka secara tetap untuk saling memberikan dorongan. (Ibrani 10:24, 25) Perjumpaan untuk penyembahan harus bersifat membina dan dapat mengajar para hadirin.1 Korintus 14:26, 31.

Apabila Paulus menulis surat keduanya kepada Timotius, dia berada di Roma; dia berada dalam tahanan dan sedang menunggu keputusan penghakimannya. Hanya beberapa orang sahaja yang sanggup membahayakan nyawa mereka untuk melawatnya. Paulus tahu bahawa tidak lama lagi, dia akan mati. Paulus berkata, “Aku sudah berusaha dengan sebaik-baiknya dalam perlumbaan dan aku sudah sampai di garis akhir. Aku tetap setia . . . sampai akhir.” (2 Timotius 4:7) Mungkin tidak lama selepas itu, Paulus telah dibunuh kerana mempertahankan kepercayaannya. Namun, surat-surat rasul ini membimbing penyembah sejati hingga ke hari ini.

—Berdasarkan Roma; 1 Korintus; 2 Korintus; Galatia; Efesus; Filipi; Kolose; 1 Tesalonika; 2 Tesalonika; 1 Timotius; 2 Timotius; Titus; Filemon; Ibrani.