Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAHAGIAN 8

Umat Israel Memasuki Negeri Kanaan

Umat Israel Memasuki Negeri Kanaan

Yosua memimpin orang Israel untuk menakluki negeri Kanaan. Yehuwa memberi kuasa kepada hakim-hakim untuk membebaskan umat-Nya daripada belenggu penindasan

BERABAD-ABAD sebelum orang Israel memasuki negeri Kanaan, Yehuwa telah menjanjikan tanah itu kepada keturunan Abraham. Kini, di bawah pimpinan Yosua, umat Israel sudah bersedia untuk memiliki Tanah yang Dijanjikan itu.

Tuhan telah menghakimi orang Kanaan dan mendapati bahawa mereka patut dibinasakan. Negeri mereka bukan sahaja sarat dengan perbuatan-perbuatan seks yang sangat hina malah penuh dengan pertumpahan darah yang dahsyat. Maka, kota-kota di Kanaan yang ditakluki oleh orang Israel harus dimusnahkan sama sekali.

Sebelum Yosua menakluki negeri itu, dia mengutus dua orang pengintip ke kota Yerikho. Di sana, mereka tinggal dengan seorang wanita yang bernama Rahab. Walaupun Rahab tahu bahawa mereka berbangsa Israel, dia menyambut pengintip-pengintip itu ke dalam rumahnya dan melindungi mereka. Rahab menaruh iman kepada Tuhan yang disembah oleh orang Israel kerana dia telah mendengar tentang cara-cara Yehuwa menyelamatkan umat-Nya. Rahab meminta pengintip-pengintip itu bersumpah supaya dia dan keluarganya tidak dibunuh.

Selepas itu, semasa orang Israel memasuki negeri Kanaan dan menyerang kota Yerikho, Yehuwa telah menyebabkan tembok Yerikho roboh secara mukjizat. Angkatan tentera Yosua menyerbu ke dalam kota itu dan memusnahkannya. Tetapi, mereka tidak membunuh Rahab dan keluarganya. Yosua telah menakluki sebahagian besar Tanah yang Dijanjikan dalam masa enam tahun sahaja. Kemudian, tanah tersebut dibahagikan antara suku-suku bangsa Israel.

Pada penghujung kerjayanya yang panjang, Yosua mengumpulkan orang Israel dan mengingatkan mereka tentang apa yang telah dilakukan oleh Yehuwa untuk nenek moyang mereka. Dia menggalakkan mereka menyembah Yehuwa. Namun, selepas kematian Yosua dan orang tua-tua yang hidup sezaman dengannya, orang Israel meninggalkan Yehuwa untuk menyembah tuhan-tuhan palsu. Selama kira-kira 300 tahun, ketaatan mereka kepada Yehuwa dan hukum-hukum-Nya sering berubah-ubah. Pada masa itu, Yehuwa mengizinkan musuh-musuh Israel, contohnya orang Filistin, untuk menindas mereka. Tetapi apabila orang Israel berdoa kepada Yehuwa untuk memohon bantuan-Nya, Dia melantik hakim-hakim untuk menyelamatkan mereka. Secara keseluruhannya, 12 orang hakim telah dilantik Tuhan untuk membantu mereka.

Zaman para hakim, seperti yang tercatat dalam buku Hakim-Hakim bermula dengan Otniel dan berakhir dengan Simson, lelaki terkuat yang pernah hidup di muka bumi. Kebenaran asas yang ditonjolkan berulang kali di dalam buku Hakim-Hakim adalah ini: Ketaatan kepada Yehuwa membawa berkat, manakala keingkaran mengundang malapetaka.

—Berdasarkan Yosua; Hakim-Hakim; Imamat 18:24, 25.