Lompat ke kandungan

Pakaian dan Dandanan Halangan Terbesar Saya

Pakaian dan Dandanan Halangan Terbesar Saya

Pakaian dan Dandanan Halangan Terbesar Saya

DICERITAKAN OLEH EILEEN BRUMBAUGH

SAYA dibesarkan dalam agama Old Order German Baptist Brethren. Agama ini hampir sama dengan agama orang Amish dan Menno. Disebabkan pemulihan rohani yang dipanggil Pietism, gerakan Brethren bermula di Jerman pada 1708. Menurut The Encyclopedia of Religion, Pietism merujuk kepada “kesedaran bahawa manusia memerlukan injil tentang Kristus.” Hasilnya, beberapa kempen menginjil telah dijalankan di banyak negara.

Pada 1719, sekumpulan kecil orang yang diketuai oleh Alexander Mack tiba di tempat yang kini dipanggil Pennsylvania di Amerika Syarikat. Sejak itu, beberapa cabang daripada kumpulan asal itu telah dibentuk. Setiap kumpulan mempunyai pemahaman sendiri berkenaan ajaran Alexander Mack. Gereja kami ada kira-kira 50 ahli. Kami sangat mementingkan pembacaan Bible dan berusaha mengikut keputusan rasmi gereja.

Tiga generasi keluarga kami telah mengikut agama ini. Saya dibaptis dalam gereja ini semasa berumur 13 tahun. Sejak kecil, kami diajar bahawa adalah salah untuk memiliki atau menggunakan kenderaan, traktor, telefon, radio, atau alat-alat lain yang menggunakan elektrik. Wanita di gereja kami tidak memakai pakaian moden, barang kemas, atau bersolek. Kami berpakaian sederhana, selalu menudung kepala, dan tidak memotong rambut. Para lelaki pula menyimpan janggut. Bagi kami, inilah cara untuk menunjukkan kami rendah hati dan bukan sebahagian daripada dunia.

Kami juga diajar untuk menghormati Bible dan menganggapnya sebagai makanan rohani. Setiap pagi sebelum sarapan, kami akan berkumpul di ruang tamu dan mendengar ayah membaca satu bab daripada Bible. Kemudian kami semua akan berlutut semasa ayah ucapkan doa. Selepas itu, mak akan mengulangi Doa Bapa Kami. Saya sangat suka ibadat pagi kerana masa itulah kami sekeluarga dapat melakukan hal rohani bersama-sama.

Kami tinggal berdekatan Delphi, Indiana dan mengusahakan ladang sayur. Kami akan mengangkut hasil tanaman ke pekan dengan menggunakan kereta kuda dan menjualnya di jalanan dan dari rumah ke rumah. Kami menganggap kerja keras sebagai sebahagian daripada ibadat kepada Tuhan. Maka, kami mencurahkan banyak usaha untuk bekerja, kecuali pada hari Ahad. Tetapi, ada kalanya kami sangat sibuk di ladang dan susah bertumpu kepada hal rohani.

Berkahwin dan Berkeluarga

Pada 1963, semasa saya berumur 17 tahun, saya berkahwin dengan James, salah seorang ahli Old Brethren. Keluarganya sudah lama menganuti agama ini, bahkan dari moyangnya. Kami berdua ada keinginan yang kuat untuk menyembah Tuhan, dan kami percaya bahawa agama kamilah satu-satunya agama yang benar.

Pada tahun 1975, kami sudah mempunyai enam anak. Anak kami yang ketujuh dan yang terakhir lahir pada 1983. Rebecca, iaitu anak kami yang kedua, ialah satu-satunya anak perempuan kami. Kami selalu bekerja keras, berjimat cermat, dan hidup sederhana. Kami juga berusaha mengajar anak kami prinsip Bible yang kami belajar daripada ibu bapa dan ahli gereja.

Penganut Old Brethren sangat mementingkan penampilan luar. Oleh sebab tiada sesiapa pun yang dapat membaca hati, kami rasa pakaian dan dandanan seseorang mencerminkan apa yang ada dalam hatinya. Jadi kalau seseorang menggayakan sedikit rambutnya atau memakai corak baju yang sedikit menonjol, itu menunjukkan sifat kesombongan. Kadangkala, isu sebegitu menjadi lebih penting daripada ajaran Bible.

Pengalaman di Penjara

Pada hujung 1960-an, adik suami saya yang bernama Jesse telah dipenjarakan kerana menolak khidmat tentera. Jesse juga merupakan ahli gereja Old Brethren. Semasa di penjara, dia berjumpa dengan Saksi-Saksi Yehuwa. Dia mendapati mereka juga percaya bahawa khidmat tentera tidak selaras dengan prinsip Bible. (Yesaya 2:4; Matius 26:52) Selepas belajar Bible dengan para Saksi dan melihat sifat baik mereka, Jesse akhirnya dibaptis sebagai seorang Saksi-Saksi Yehuwa. Kami sangat terkejut dan kecewa.

Jesse telah mengongsi hal-hal yang dipelajarinya dengan James. Dia juga membuat aturan supaya James mendapat majalah Menara Pengawal dan Sedarlah! secara tetap. Majalah itu telah membangkitkan lagi minat James terhadap ajaran Bible. Selama ini, James ingin menyembah Tuhan tetapi dia rasa jauh daripada-Nya. Jadi, dia sangat berminat terhadap apa-apa saja yang dapat membantunya menghampiri Tuhan.

Pemimpin gereja kami menggalakkan kami untuk membaca majalah agama orang Amish, Menno, dan gereja Old Brethren yang lain biarpun kami menganggap mereka sebagai sebahagian daripada dunia. Oleh sebab ayah berprasangka terhadap para Saksi, dia tidak mahu kami membaca majalah Menara Pengawal dan Sedarlah! Jadi, semasa saya nampak James membaca majalah-majalah itu, saya sangat risau dia akan disesatkan oleh ajaran palsu.

Sebenarnya, dari dulu lagi James tidak setuju dengan sesetengah ajaran Old Brethren. Contohnya, gereja mengajar bahawa orang yang bekerja atau mencabut lalang pada hari Ahad telah berdosa. Pada masa yang sama, jika seseorang memberi minum kepada ternakannya pada hari Ahad, itu tidak salah. Apabila James meminta pemimpin gereja untuk menunjukkan bukti ajaran ini daripada Bible, mereka gagal berbuat demikian. Lama-kelamaan, saya juga mula ragu-ragu terhadap ajaran sebegitu.

Namun, memandangkan kami sudah lama percaya bahawa gereja kami ialah gereja yang benar, kami rasa susah untuk meninggalkannya. Kami juga sedar jika kami membuat keputusan itu, hal itu akan membawa kesan yang buruk kepada kami. Tetapi, hati nurani kami begitu terganggu kerana kami tahu ajaran gereja tidak selaras dengan Bible. Maka pada 1983, kami menulis surat dan menjelaskan sebab kami ingin menarik diri dari gereja. Kami juga meminta agar surat itu dibaca kepada seluruh sidang. Setelah itu, kami disingkirkan.

Mencari Agama yang Benar

Kami sangat berusaha mencari agama yang benar. Bagi kami, penganut agama yang benar haruslah mengamalkan apa yang mereka ajar kepada orang lain. Kami menolak agama yang terlibat dalam perang. Tetapi, kami masih tertarik kepada agama yang “hidup dan berpakaian sederhana” kerana kami rasa itulah tanda bahawa mereka terasing daripada dunia. Jadi pada 1983 hingga 1985, kami menjelajahi seluruh negara untuk mengkaji agama yang “hidup sederhana,” seperti kumpulan Menno, Quaker, dan lain-lain.

Sekitar waktu itu, Saksi-Saksi Yehuwa mengunjungi ladang kami yang berdekatan Camden, Indiana. Kami sudi mendengar mesej mereka, tetapi kami minta mereka untuk menggunakan Bible versi King James. Saya menghormati pendirian Saksi yang tidak terlibat dalam perang, tetapi saya susah terima cara penampilan mereka. Bagi saya, cara pemakaian yang “tidak sederhana” menunjukkan mereka bersikap sombong dan merupakan sebahagian daripada dunia. Jadi tidak mungkin agama mereka ialah agama yang benar.

James pula mula mengikuti perjumpaan Saksi-Saksi Yehuwa dan membawa anak kami bersamanya. Dia sangat tersentuh melihat kelakuan para Saksi. Tapi saya sangat marah dan tidak setuju dengan perbuatannya. Dia mengajak saya untuk mengikutnya, tetapi saya tidak mahu. Suatu hari, dia kata, “Kamu tidak perlu terima ajaran mereka, tetapi datanglah untuk lihat sendiri cara mereka layan satu sama lain.”

Akhirnya, saya memutuskan untuk pergi tetapi saya sangat berhati-hati. Saya memakai pakaian dan topi saya yang sederhana, dan beberapa anak kami berkaki ayam. Namun, kami disambut dengan baik sekali. Saya fikir, “Walaupun kami begitu berbeza, mereka masih ramah terhadap kami.”

Saya sangat suka sikap mereka yang pengasih tapi saya masih berdegil. Semasa mereka berdiri untuk bernyanyi, saya akan terus duduk dan enggan nyanyi. Selepas perjumpaan, saya akan tanya mereka banyak soalan tentang sesetengah amalan mereka dan maksud ayat Bible tertentu. Kadangkala, saya agak kasar tetapi mereka sangat baik hati dan prihatin terhadap saya. Saya juga kagum kerana walaupun saya tanya soalan yang sama kepada ahli sidang yang berbeza, jawapan mereka tetap sama. Ada kalanya, mereka mencatatkan jawapannya supaya saya dapat mengkajinya sendiri.

Pada musim panas 1985, keluarga kami telah pergi ke konvensyen Saksi-Saksi Yehuwa di Memphis, Tennessee. Kami mahu lihat apa yang berlaku di sana. Pakaian kami biasa-biasa saja dan James pula masih berjanggut. Walaupun demikian, pada waktu rehat, selalu ada orang yang menyapa kami. Mereka sangat pengasih, bersatu padu, prihatin, dan ramah. Kami juga sangat kagum kerana ajaran mereka tetap sama di setiap perjumpaan yang kami hadiri.

Semua ini mendorong James untuk mula belajar Bible dengan mereka. Dia mengkaji semua ajaran mereka dengan teliti kerana ingin memastikan apa yang dipelajarinya adalah daripada Bible. (Kisah 17:11; 1 Tesalonika 5:21) Akhirnya, James yakin dia telah menjumpai kebenaran. Tapi hati saya masih berbelah bahagi. Saya mahu buat apa yang betul, tapi saya tidak bersedia untuk mengikut “hidup yang moden” dan dipandang sebagai “orang duniawi.” Semasa perbincangan Bible, saya akan membandingkan Bible versi King James dengan Terjemahan Dunia Baharu yang menggunakan bahasa moden. Saya mahu pastikan saya tidak disesatkan.

Saya Mula Yakin Inilah Kebenaran

Semasa menyelidiki Bible dengan para Saksi, kami belajar bahawa Tuhan yang benar hanya satu dan Dia bukan sebahagian daripada Tritunggal. Kami juga belajar bahawa manusia ialah jiwa, dan bukannya mempunyai jiwa atau roh yang tidak dapat mati. (Kejadian 2:7; Ulangan 6:4; Yehezkiel 18:4; 1 Korintus 8:5, 6) Titik perubahan bagi saya adalah sewaktu saya memahami kebenaran tentang neraka. Selama ini, gereja Old Brethren mempunyai pandangan yang berbeza-beza tentangnya. Akhirnya, kami tahu bahawa neraka bukanlah tempat seksaan, sebaliknya merupakan kuburan umum manusia.​—Ayub 14:13; Mazmur 16:10; Pengkhutbah 9:5, 10; Kisah 2:31.

Tetapi, saya masih susah terima bahawa Saksi-Saksi Yehuwa ialah agama yang benar. Bagi saya, mereka masih sebahagian daripada dunia kerana mereka tidak “hidup sederhana.” Namun pada masa yang sama, saya boleh nampak mereka sedang mentaati perintah Yesus untuk menginjil kepada semua orang. Saya keliru betul!​—Matius 24:14; 28:19, 20.

Apa yang banyak membantu saya masa itu ialah kasih para Saksi. Selain guru Bible kami, seluruh sidang pun sangat mengambil berat terhadap kami. Ada kalanya, mereka akan singgah di rumah kami untuk membeli susu dan telur. Maka, kami mempunyai peluang untuk mengenali mereka dan kami dapat lihat mereka memang orang yang baik. Bila-bila saja mereka ada berdekatan rumah kami, mereka akan menjenguk kami. Kami sangat hargai kasih dan keprihatinan mereka.

Sebenarnya, bukan hanya satu sidang yang mengambil berat tentang kami. Bahkan ahli sidang dari tempat lain pun menunjukkan kasih kepada kami. Kay Briggs, seorang Saksi dari sidang berdekatan, telah melawat saya. Oleh sebab dia juga berpakaian sederhana dan tidak bersolek, saya rasa selesa untuk bercakap dengannya. Seorang lagi Saksi yang membantu saya ialah Lewis Flora. Saudara itu mempunyai latar belakang yang sama dengan saya. Semasa melawat saya, dia boleh nampak saya sangat keliru. Maka dia menulis surat yang panjangnya 10 halaman untuk melegakan hati saya. Kebaikan hatinya buat saya terharu dan menangis, dan saya membaca suratnya berulang kali.

Pada suatu hari, saya tanya Saudara O’Dell, seorang penyelia lawatan, tentang ayat di Yesaya 3:18-23 dan 1 Petrus 3:3, 4. Saya tanya, “Bukankah ayat-ayat ini menunjukkan bahawa kita mesti berpakaian sederhana untuk menyenangkan hati Tuhan?” Dia menjawab, “Adakah kamu rasa salah untuk menocang rambut atau memakai topi dan bonet?” Semasa di agama Old Brethren dulu, kami dibenarkan menocang rambut anak perempuan, dan wanita boleh memakai topi dan bonet. Saat itu saya sedar bahawa agama saya dulu mempunyai ajaran yang tidak konsisten. Kesabaran dan kebaikan hati penyelia lawatan itu sangat menyentuh hati saya.

Secara perlahan-lahan, saya mula yakin bahawa inilah kebenaran. Tapi masih ada sesuatu yang saya tidak dapat terima: Wanita Saksi memotong rambut mereka. Penatua menjelaskan kepada saya bahawa rambut sesetengah wanita tidak dapat tumbuh begitu panjang, dan yang lain pula dapat tumbuh sangat panjang. Adakah ini bermaksud wanita yang rambutnya lebih panjang, lebih baik dan alim? Selepas itu, mereka membantu saya memahami bagaimana hati nurani dapat membimbing kita dalam soal pakaian dan dandanan. Mereka juga memberi saya sedikit maklumat untuk dibaca.

Menerapkan Apa yang Dipelajari

Yesus kata, “Jika kamu saling mengasihi, semua orang akan tahu bahawa kamulah murid-muridku.” (Yohanes 13:35) Apabila kami bandingkan Saksi-Saksi Yehuwa dengan kata-kata Yesus, kami yakin mereka ialah pengikut Yesus yang sejati. Tetapi, adalah tidak mudah bagi dua anak kami, Nathan dan Rebecca, untuk menerima agama ini kerana mereka telah dibaptis dan dibesarkan dalam agama Old Brethren. Secara beransur-ansur, mereka tersentuh dengan kebenaran Bible yang kami kongsi dan kasih yang ditunjukkan para Saksi.

Contohnya, Rebecca sudah lama menginginkan hubungan yang akrab dengan Tuhan. Setelah belajar bahawa Tuhan tidak menakdirkan kehidupan seseorang, dia rasa lebih senang untuk berdoa. Rebecca juga rasa lebih dekat kepada Tuhan apabila mengetahui bahawa Dia bukan sebahagian daripada Tritunggal atau suatu misteri yang mustahil dikenali. Sebaliknya, Tuhan memperkenalkan diri-Nya dan ingin kita meniru sifat-sifat-Nya. (Efesus 5:1) Rebecca juga rasa gembira kerana tidak lagi perlu menggunakan bahasa kuno semasa berdoa. Selain itu, kebenaran Bible bahawa manusia boleh hidup selama-lamanya di bumi Firdaus telah membantunya memupuk hubungan yang rapat dengan Penciptanya.​—Mazmur 37:29; Wahyu 21:3, 4.

Menikmati Peluang untuk Berkhidmat kepada Yehuwa

Pada 1987, saya, James, dan lima orang anak kami, Nathan, Rebecca, George, Daniel, dan John, telah dibaptis. Harley dibaptis pada 1989, dan Simon pula pada 1994. Sampai sekarang, keluarga kami tetap sibuk dalam kerja menginjil yang diperintahkan oleh Yesus.

Nathan, George, Daniel, John, Harley, dan Rebecca, berpeluang berkhidmat di pejabat cawangan Saksi-Saksi Yehuwa di Amerika. George yang telah bekerja di pejabat cawangan selama 14 tahun masih berkhidmat di sana. Simon yang baru habis sekolah pada 2001 juga mula berkhidmat di sana. Anak-anak lelaki kami merupakan penatua atau pembantu sidang. Suami saya merupakan penatua di Sidang Thayer, di Missouri, dan saya pula tetap sibuk dalam kerja menginjil.

Kami sangat gembira melihat tiga orang cucu kami, Jessica, Latisha, dan Caleb, dibesarkan dalam kebenaran. Kami sekeluarga bersyukur kerana dapat menghampiri Yehuwa, mengenali umat-Nya, dan merasakan kasih yang sejati.

Kami amat memahami perasaan orang yang mahu menyembah Tuhan tetapi terpaksa bergelut dengan latar belakang mereka. Dulu, kami pergi dari rumah ke rumah untuk menjual hasil tanaman. Sekarang pula, kami menikmati sukacita kerana membawa mesej Kerajaan Tuhan. Kami harap suatu hari nanti, orang yang berhati jujur juga dapat rasakan sukacita yang sama. Hati saya dipenuhi rasa syukur dan penghargaan apabila mengenang kembali kesabaran dan kasih yang ditunjukkan oleh umat Yehuwa.

[Gambar]

Semasa saya berumur tujuh tahun dan semasa dewasa

[Gambar]

James, George, Harley, dan Simon, dalam pakaian yang sederhana

[Gambar]

Gambar saya membawa hasil tanaman ke pasar muncul dalam surat khabar

[Sumber]

Journal and Courier, Lafayette, Indiana

[Gambar]

Kami sekeluarga hari ini