Belajarlah daripada Alam Semula Jadi
Belajarlah daripada Alam Semula Jadi
“Bertanyalah kepada binatang-binatang, dan kamu akan diajar; bertanyalah juga kepada burung-burung di langit, dan kamu akan diberi pemahaman. Perhatikanlah bumi, dan kamu akan mendapat ilmu; perhatikanlah juga ikan-ikan di laut, dan kamu akan menerima penjelasan.”—AYUB 12:7, 8.
KEBELAKANGAN ini, para ahli sains dan jurutera telah banyak belajar daripada tumbuh-tumbuhan dan haiwan. Mereka mengkaji dan meniru reka bentuk pelbagai jenis makhluk untuk menghasilkan produk baharu dan memperbaik produk yang sedia ada. Bidang ini dikenali sebagai bidang biomimetik. Seraya anda mempertimbangkan contoh-contoh yang berikut, tanyalah diri, “Siapa sebenarnya yang patut diiktiraf dan dipuji atas semua rekaan ini?”
Belajar daripada Sirip Ikan Paus
Apakah yang dapat dipelajari oleh pereka kapal terbang daripada ikan paus kelasa? Ada banyak yang boleh dipelajari. Berat seekor ikan paus kelasa yang dewasa ialah kira-kira 30 tan, iaitu seberat sebuah lori yang membawa muatan penuh. Ikan paus ini mempunyai badan yang agak keras, panjangnya mencecah 12 meter, dan siripnya besar dan seperti sayap. Namun, ikan paus ini dapat bergerak di dalam air dengan sangat lincah. Contohnya, untuk mencari makanan, ikan paus akan berenang di bawah krustasia atau ikan lain dalam bentuk bulatan sambil menuju ke permukaan air. Dengan meniup gelembung-gelembung, ikan paus dapat membentuk jaring gelembung yang diameternya sekurang-kurangnya 1.5 meter. Hasilnya, makanannya akan ditolak ke permukaan air lalu dilahap sekali gus!
Para penyelidik khususnya tertarik dengan cara binatang yang besar ini dapat berpusing dalam bulatan yang sangat kecil. Apakah rahsianya? Pinggir depan siripnya tidak licin seperti sayap sebuah kapal terbang, tetapi mempunyai bonjol-bonjol yang dipanggil tuberkel.
Semasa ikan paus membelah air, tuberkelnya meningkatkan daya angkat dan mengurangkan daya seret. Bagaimana? Majalah Natural History menjelaskan bahawa tuberkel menyebabkan air mengalir dengan cepat di atas sirip ikan paus biarpun ikan paus sedang berenang naik pada sudut yang sangat curam. Tetapi jika pinggir depan siripnya licin, daya angkat akan berkurang. Akibatnya, ini akan menjejaskan pergerakan ikan paus.
Bagaimanakah rekaan ini dapat membantu? Jika sayap kapal terbang dibina mengikut rekaan ini, sayapnya akan lebih ringkas dan tidak memerlukan peralatan tambahan untuk membantunya terbang dengan lancar. Sayap sebegitu juga lebih selamat dan mudah dijaga. Pakar biomekanik yang bernama John Long percaya bahawa tidak lama lagi “kita mungkin melihat setiap kapal terbang jet dengan bonjol-bonjol seperti yang terdapat pada sirip ikan paus kelasa.”
Meniru Sayap Burung Camar
Kita memang tahu bahawa sayap kapal terbang direka mengikut bentuk sayap burung. Namun, baru-baru ini para jurutera telah membuat kemajuan dalam meniru rekaan sayap burung. Menurut majalah New Scientist, “Para penyelidik di Universiti Florida . . . telah membina sebuah pesawat prototaip (drone) kawalan jauh dengan meniru keupayaan burung camar yang dapat terbang di tempat yang sama, menjunam, dan naik secara mendadak.”
Burung camar dapat bergerak dengan tangkas dan cekap. Pergerakannya yang menakjubkan dilakukan dengan melenturkan sayapnya pada sendi siku dan bahu. Dengan meniru reka bentuk sayap burung camar yang fleksibel, “drone prototaip yang berukuran 24 inci ini menggunakan sebuah motor kecil untuk mengawal beberapa batang logam yang menggerakkan sayapnya,” kata majalah itu. Sayap drone ini yang direka dengan bijak membolehkannya terbang setempat dan bergerak dengan cepat di celah bangunan-bangunan tinggi. Tentera Udara Amerika Syarikat mahu membina pesawat sebegini yang mudah dikendalikan untuk mencari senjata kimia dan biologi di bandar-bandar besar.
Meniru Kaki Cicak
Banyak yang dapat kita belajar daripada binatang darat. Sebagai contoh, cicak dapat bergerak bebas di dinding dan di siling. Bible pun ada sebut tentang kebolehan cicak. (Amsal 30:28) Apakah rahsia kebolehan cicak?
Cicak boleh melekat pada permukaan yang sangat licin kerana tapak kakinya mempunyai banyak rerambut halus. Kaki cicak menggunakan suatu daya molekul yang dipanggil daya van der Waals. Biasanya, daya graviti lebih kuat daripada daya van der Waals. Itulah sebabnya kita tidak dapat memanjat dinding dengan hanya menggunakan tangan. Namun, ribuan rerambut halus pada kaki cicak menambahkan luas permukaan kakinya pada dinding lalu menghasilkan daya yang cukup kuat untuk menampung berat cicak.
Bagaimanakah rekaan ini dapat membantu? Pelekat sintetik yang lebih hebat daripada pelekat velkro * dapat dihasilkan. Majalah The Economist menyatakan bahawa pelekat yang meniru rekaan tapak kaki cicak dapat digunakan dalam “bidang perubatan terutamanya jika pelekat kimia tidak dapat digunakan.”
Siapakah yang Patut Dipuji?
Sementara itu, Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) sedang menghasilkan sebuah robot berkaki lapan yang berjalan seperti kala jengking. Selain itu, jurutera di negara Finland sudah pun menghasilkan sebuah traktor berkaki enam yang boleh melangkaui halangan seperti seekor serangga gergasi. Sesetengah penyelidik menghasilkan kain yang meniru cara kon pokok pain buka dan tutup. Sebuah pengeluar kereta sedang menghasilkan kenderaan yang meniru reka bentuk ikan kotak yang mempunyai daya seret yang rendah. Para penyelidik lain pula sedang mengkaji cangkerang abalone yang mampu menyerap kejutan dengan tujuan membuat perisai badan yang lebih ringan dan kuat.
Sememangnya, kita mendapat banyak idea yang hebat daripada alam semula jadi. Maka para penyelidik telah menyenaraikan ribuan sistem biologi yang berlainan. Ahli sains boleh menggunakan senarai ini untuk mencari “penyelesaian semula jadi kepada masalah reka cipta mereka,” kata The Economist. Sistem biologi yang terkandung di dalam senarai ini dikenali sebagai paten biologi. Biasanya, pemegang paten ialah seseorang atau sesebuah syarikat yang mendaftar hak cipta untuk idea atau mesin yang baharu secara sah. The Economist juga kata, “Para penyelidik memanggil idea atau reka cipta biomimetik sebagai ‘paten biologi.’ Maka, mereka sedang menunjukkan bahawa alam semula jadi ialah pemegang paten yang sebenar.”
Bagaimana mungkin alam semula jadi ada begitu banyak rekaan yang bijak? Ramai penyelidik menyatakan bahawa hal itu berlaku secara kebetulan menerusi proses evolusi yang memakan masa berjuta-juta tahun. Penyelidik yang lain pula membuat kesimpulan yang berbeza. Pada tahun 2005, seorang ahli mikrobiologi yang bernama Michael Behe menulis dalam The New York Times, “Jika reka cipta [dalam alam semula jadi] jelas menunjukkan bahawa seorang pereka diperlukan, janganlah kita menafikannya. Hal ini seperti jika rupa, cara berjalan, dan bunyi yang dikeluarkan oleh sesuatu menyerupai seekor itik, kita dapat menyimpulkan bahawa haiwan itu memanglah seekor itik, terutamanya jika tiada bukti kukuh lain yang menunjukkan sebaliknya.”
Tentu sekali, jurutera yang mereka bentuk sayap kapal terbang yang lebih selamat dan cekap layak diberi pengiktirafan. Begitu juga, pereka cipta yang menghasilkan pelekat yang lebih hebat, kain yang selesa, kenderaan yang lebih cekap, atau mesin yang lebih baik layak dipuji atas rekaannya. Sesungguhnya, orang yang meniru rekaan orang lain tetapi gagal untuk memberi pengiktirafan kepada pereka cipta yang asal boleh dianggap sebagai penjenayah.
Sekarang, pertimbangkan fakta-fakta ini: Bagi menyelesaikan masalah kejuruteraan yang rumit, para penyelidik yang berkelulusan tinggi meniru sistem alam semula jadi. Biarpun begitu, produk yang dihasilkan oleh mereka tidak setanding produk alam semula jadi. Namun, sesetengah daripada mereka menganggap bahawa rekaan alam semula jadi yang hebat wujud daripada proses evolusi. Adakah hal ini munasabah? Jika produk yang ditiru memerlukan seorang pereka yang bijak pandai, bagaimana pula dengan produk yang asal? Siapakah yang layak diberi lebih banyak pengiktirafan—pereka cipta asal atau penirunya?
Kesimpulan yang Logik
Setelah meninjau bukti tentang reka cipta dalam dunia semula jadi, ramai orang bersetuju dengan penulis Bible yang berkata, “Betapa banyaknya perbuatan-Mu, ya Yehuwa! Engkau telah menciptakan semuanya dengan bijaksana. Bumi penuh dengan hasil karya-Mu.” (Mazmur 104:24) Penulis Bible yang bernama Paulus juga menulis, “Sejak dunia diciptakan, sifat-sifat [Tuhan] yang tidak kelihatan, iaitu kuasa-Nya yang kekal dan kedudukan-Nya sebagai Tuhan, dapat dilihat dengan jelas melalui segala yang diciptakan-Nya.”—Roma 1:19, 20.
Tetapi, banyak orang yang percaya kepada Tuhan dan menghormati ajaran Bible kata bahawa Tuhan telah menggunakan evolusi untuk menciptakan segala sesuatu? Adakah hal ini selaras dengan ajaran Bible?
[Nota kaki]
^ per. 15 Velkro ialah sejenis kancing yang diperbuat daripada dua jenis kain yang akan berpaut pada satu sama lain. Velkro direka cipta berdasarkan biji benih sejenis tumbuhan (burdock).
[Petikan pada muka surat 5]
Bagaimana mungkin alam semula jadi ada begitu banyak rekaan yang bijak?
[Petikan pada muka surat 6]
Siapakah pemegang paten alam semula jadi?
[Kotak/Gambar pada muka surat 7]
Jika produk yang ditiru memerlukan seorang pereka cipta, bagaimana pula dengan produk yang asal?
Sayap kapal terbang direka mengikut bentuk sayap burung camar
Tapak kaki cicak tidak menjadi kotor, tidak meninggalkan kesan, senang melekat dan diangkat daripada permukaan, dan dapat melekat pada semua jenis permukaan kecuali Teflon. Para penyelidik berusaha untuk menirunya
Pengeluar kereta meniru reka bentuk ikan kotak yang mempunyai daya seret yang rendah
[Sumber]
Airplane: Kristen Bartlett/University of Florida; gecko foot: Breck P. Kent; box fish and car: Mercedes-Benz USA
[Kotak/Gambar pada muka surat 8]
NALURI PENGEMBARA YANG HEBAT
Ada banyak makhluk hidup di bumi yang “bijak secara semula jadi.” (Amsal 30:24, 25) Perhatikan dua contoh berikut.
▪ Sistem Lalu Lintas Semut Bagaimanakah semut yang keluar untuk mencari makanan dapat kembali ke sarang? Para penyelidik di United Kingdom mendapati bahawa selain meninggalkan jejak bau, sesetengah semut juga menggunakan bentuk geometri yang membantu mereka kembali ke sarang. Contohnya, semasa semut firaun keluar dari sarang, mereka “akan membuat jalan bercabang. Sudut cabangnya adalah 50 hingga 60 darjah,” kata majalah New Scientist. Mengapakah rekaan ini hebat? Dengan menggunakan bentuk geometri, semut yang sampai di cabang tahu bahawa jalan yang paling lurus akan membawanya kembali ke sarang. Dengan demikian, mereka dapat mengambil laluan itu untuk pulang dengan selamat. Majalah itu menyambung, “Bentuk geometri juga membantu semut mengelakkan kesesakan lalu lintas, terutamanya apabila semut-semut berjalan dalam dua hala. Mereka juga dapat jimatkan tenaga kerana tidak sesat jalan.”
▪ Kompas Burung Banyak burung tidak sesat jalan walaupun harus terbang jarak yang sangat jauh dan dalam segala macam cuaca. Bagaimanakah burung dapat melakukan hal itu? Para penyelidik mendapati bahawa burung-burung dapat mengesan medan magnet bumi. Tetapi, “medan magnet bumi berbeza dari tempat ke tempat dan tidak selalunya menunjukkan arah utara benar,” tulis majalah Science. Apakah yang membantu burung yang berhijrah agar tidak sesat? Nampaknya, burung ada kompas biologi yang akan diselaraskan semasa matahari terbenam setiap hari. Memandangkan kedudukan matahari berubah mengikut latitud dan musim, para penyelidik menyimpulkan bahawa burung mempunyai “jam biologi untuk mengenal pasti musim dan masa,” kata majalah Science.
Bagaimanakah semut dapat memiliki keupayaan untuk memahami geometri? Siapakah yang memberi burung kompas, jam biologi, dan kebolehan untuk mentafsirkan semua maklumat itu? Adakah semua itu wujud secara evolusi? Atau terdapat Pencipta yang bijaksana?
[Sumber]
© E.J.H. Robinson 2004