Lompat ke kandungan

TOPIK UTAMA

Adakah Tunjuk Perasaan Penyelesaiannya?

Adakah Tunjuk Perasaan Penyelesaiannya?

Saksi-Saksi Yehuwa, penerbit majalah ini, bersikap neutral dari segi politik. (Yohanes 17:16; 18:36) Biarpun rencana ini menyebut tentang beberapa contoh pergolakan sivil, kami tidak menyokong sebarang isu politik atau berpihak kepada mana-mana kerajaan dunia.

MOHAMED BOUAZIZI yang berumur 26 tahun ialah seorang penjaja di Tunisia. Hidupnya sangat susah kerana dia tidak dapat mencari kerja yang lebih baik. Dia juga tidak tahan dengan pegawai yang suka minta rasuah. Pada 17 Disember 2010, polis merampas bekalan pear, pisang, dan epalnya. Apabila mereka mengambil penimbangnya, dia mula melawan balik. Menurut beberapa saksi, seorang polis wanita telah menamparnya.

Mohamed marah kerana dihina, lalu dia pergi ke pejabat kerajaan yang berhampiran untuk membuat aduan. Sedihnya, aduannya tidak dihiraukan. Dia mula berteriak di depan bangunan itu, “Macam mana mahu hidup kalau begini?” Kemudian dia menuang gasolin pada tubuhnya dan membakar dirinya hidup-hidup. Tiga minggu kemudian, dia telah meninggal.

Tindakan Mohamed Bouazizi telah membawa kesan yang mendalam terhadap rakyat Tunisia dan tempat lain. Banyak orang menganggap perbuatannya sebagai pencetus pemberontakan yang menggulingkan kerajaan Tunisia. Tidak lama kemudian, hal ini juga menyebabkan tunjuk perasaan di negara Arab yang lain. Parlimen Eropah telah menganugerah Bouazizi dan empat orang lagi Hadiah Sakharov 2011 bagi Kebebasan Berfikir. Selain itu, The Times London juga menamakannya tokoh bagi tahun 2011.

Contoh tadi menunjukkan bahawa tunjuk perasaan dapat membawa kesan yang besar. Tetapi, apakah punca banyak tunjuk perasaan baru-baru ini? Selain protes, adakah terdapat cara penyelesaian yang lebih baik?

Mengapa Makin Banyak Protes Berlaku?

Banyak protes berlaku kerana:

  • Orang tidak puas hati dengan sistem sosial. Kalau rakyat yakin bahawa kerajaan tempatan dan ekonomi negara dapat memenuhi keperluan mereka, mereka tidak perlu protes kerana mereka dapat mencari bantuan melalui sistem yang sedia ada. Sebaliknya, apabila orang rasa kerajaan tidak jujur dan hanya mengutamakan golongan tertentu, rakyat pun lebih cenderung memberontak.

  • Peristiwa yang memicunya. Kejadian tertentu dapat menyebabkan sesetengah orang tergerak untuk bertindak. Sebagai contoh, perbuatan Mohamed Bouazizi telah mencetuskan protes besar-besaran di Tunisia. Di India pula, seorang aktivis antirasuah yang bernama Anna Hazare melancarkan mogok lapar, dan perbuatannya mendorong pengikutnya di 450 bandar dan pekan untuk mengadakan tunjuk perasaan.

Mengenai dunia kita, Bible kata, “Sesetengah orang mempunyai kuasa, sedangkan yang lain terpaksa menderita di bawah kekuasaan mereka.” (Pengkhutbah 8:9, Alkitab Berita Baik) Maka, hal yang tidak adil dan rasuah akan semakin kerap berlaku. Lagipun, disebabkan kemajuan teknologi seperti Internet, telefon pintar, dan berita 24 jam, orang lebih sedar tentang kelemahan sistem politik dan ekonomi negara mereka. Hal ini juga menyebabkan peristiwa di tempat yang kecil mencetuskan protes di tempat-tempat lain.

Apakah yang dicapai oleh tunjuk perasaan?

Orang yang menyokong tunjuk perasaan kata bahawa perbuatan mereka telah membawa perubahan yang baik. Contohnya:

  • Kelegaan untuk orang miskin. Pada Zaman Meleset yang berlaku pada 1930-an, terdapat ramai di Chicago, Illinois, A.S. yang diberi notis pengusiran kerana tidak dapat membayar sewa. Tetapi selepas tunjuk perasaan diadakan secara besar-besaran, pegawai bandar telah membatalkan notis itu dan membantu sesetengah daripada mereka untuk mencari kerja. Protes yang serupa telah berlaku di New York. Hasilnya, 77,000 keluarga dapat pulang ke rumah mereka.

  • Mendapat keadilan. Di Montgomery, Alabama, A.S., boikot bas yang berlaku pada 1955/1956 telah mendorong pemansuhan undang-undang berkenaan pengasingan tempat duduk dalam bas bagi orang kulit hitam dan putih.

  • Menghentikan projek pembinaan. Pada Disember 2011, ribuan orang telah mengadakan tunjuk perasaan untuk membantah pembinaan loji jana kuasa arang batu berdekatan Hong Kong kerana mereka risau tentang pencemaran. Akibatnya, projek itu dibatalkan.

Tunjuk perasaan mungkin dapat mencapai sesetengah hal, tapi Kerajaan Tuhan menjanjikan penyelesaian yang jauh lebih baik

Malangnya, para perusuh tidak selalu mendapat apa yang mereka mahu. Kadangkala, pihak berkuasa melawan balik dan enggan berganjak untuk memenuhi tuntutan mereka. Contohnya, presiden sebuah negara di Timur Tengah kata mengenai protes di kawasannya, “Kami harus guna kekerasan untuk melawan kekerasan.” Akibatnya, ribuan orang hilang nyawa semasa pemberontakan itu.

Kadangkala perusuh dapat mencapai hasrat mereka. Tetapi tindakan mereka sering membawa masalah lain. Seorang lelaki yang membantu menggulingkan pemimpin di sebuah negara Afrika memberitahu majalah Time tentang pemerintah baharu, “Mula-mula semuanya aman damai, tapi dalam sekelip mata semuanya huru-hara lagi.”

Apakah penyelesaian yang lebih baik?

Banyak orang ternama berasa bahawa memprotes sistem yang tidak adil ialah kewajipan kita. Contohnya, bekas presiden Czech yang bernama Václav Havel pernah dipenjarakan selama bertahun-tahun kerana berusaha membela hak asasi manusia. Dia menulis pada 1985, “Pembangkang yang ingin memperjuangkan pendiriannya haruslah bersedia menggadaikan nyawanya.”

Tindakan Mohamed Bouazizi dan orang lain menunjukkan bahawa mereka setuju dengan kata-kata Havel. Di sebuah negara Asia, puluhan orang telah membakar diri untuk memprotes penindasan agama dan politik. Seorang lelaki menjelaskan kepada majalah Newsweek mengapa orang sanggup bertindak begitu ekstrem. Dia berkata, “Kami tiada senjata, dan kami tidak mahu guna kekerasan. Jadi apa lagi yang dapat kami lakukan?”

Bible menawarkan penyelesaian yang sempurna kepada ketidakadilan, rasuah, dan penindasan. Bible menyebut tentang kerajaan yang ditubuhkan oleh Tuhan di syurga. Kerajaan itu akan menggantikan sistem politik dan ekonomi dunia ini. Nubuat tentang pemerintah kerajaan ini kata, “Dia akan menyelamatkan orang miskin yang berseru meminta tolong, dan dia akan membantu orang yang lemah dan orang yang diabaikan. Dia akan menyelamatkan mereka daripada keganasan dan penindasan.”​—Mazmur 72:12, 14.

Saksi-Saksi Yehuwa percaya bahawa Kerajaan Tuhanlah satu-satunya harapan sejati bagi manusia. (Matius 6:9, 10) Itulah sebabnya Saksi-Saksi Yehuwa tidak terlibat dalam tunjuk perasaan. Tetapi, adakah realistik untuk mempercayai bahawa Kerajaan Tuhan dapat menyelesaikan semua masalah kita? Ada yang mungkin rasa tidak. Namun banyak orang rasa yakin terhadap pemerintahan Kerajaan Tuhan. Kami menjemput anda untuk mengkaji hal ini dan mencapai kesimpulan sendiri.