Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

TOPIK UTAMA | APAKAH MANFAAT MEMBACA BIBLE?

Membuat Pembacaan Bible Lebih Menarik

Membuat Pembacaan Bible Lebih Menarik

Adakah pembacaan Bible anda membosankan atau menyegarkan? Hal ini bergantung pada cara anda membaca. Mari kita lihat bagaimana anda boleh menikmati pembacaan Bible.

Pilih terjemahan yang boleh dipercayai dan mudah difahami. Jika anda membaca terjemahan Bible yang menggunakan perkataan yang susah atau kuno, anda mungkin tidak akan menikmatinya. Maka, pilihlah Bible yang menggunakan bahasa yang mudah difahami dan menyentuh hati anda. Pada masa yang sama, Bible itu harus diterjemahkan dengan tepat. *

Gunakan teknologi moden. Hari ini, Bible bukan sahaja didapati dalam bentuk cetakan tetapi juga dalam bentuk elektronik. Sesetengah Bible boleh dibaca dalam talian atau dimuat turun ke dalam komputer, tablet, dan telefon bimbit. Sesetengah Bible elektronik membolehkan anda mencari ayat Bible berdasarkan topik, atau membandingkan beberapa jenis terjemahan Bible. Jika anda lebih suka mendengar daripada membaca, Bible juga boleh didapati dalam bentuk rakaman. Ramai orang mendengar pembacaan Bible semasa menggunakan pengangkutan awam, membuat kerja rumah, atau melakukan aktiviti lain. Cubalah kaedah yang sesuai dengan keadaan anda.

Gunakan alat penyelidikan Bible. Alat penyelidikan Bible boleh membantu anda mendapat lebih banyak manfaat daripada pembacaan Bible. Terdapat peta yang dapat membantu anda mencari lokasi peristiwa Bible tertentu dan membayangkan kisah Bible itu. Rencana yang terdapat dalam majalah ini atau dalam laman web jw.org dapat membantu anda menerokai maksud kandungan Bible.

Mempelbagaikan cara pembacaan anda. Jika anda berasa susah untuk membaca Bible dari mula hingga akhir, cuba mulakan pembacaan daripada bahagian Bible yang menarik minat anda. Jika anda ingin mengenali watak Bible tertentu, anda boleh membaca petikan mengenai watak itu seperti yang dicadangkan dalam kotak “ Menerokai Bible menerusi Watak-Wataknya.” Anda juga boleh membaca Bible mengikut topik atau urutan peristiwa. Cubalah salah satu cadangan ini.

^ per. 4 Ramai mendapati bahawa Bible Terjemahan Dunia Baru adalah tepat, boleh dipercayai, dan mudah dibaca. Bible ini diterbitkan oleh Saksi-Saksi Yehuwa dalam lebih daripada 130 bahasa. Anda boleh muat turun Bible ini menerusi laman web jw.org atau dengan menggunakan aplikasi JW Library. Anda juga boleh muat turun Kitab Yunani Kristian Terjemahan Dunia Baru dalam bahasa Melayu. Jika anda inginkan salinan Bible bercetak, Saksi-Saksi Yehuwa boleh menghantarnya ke rumah anda.