Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

“Semasa aku dalam kandungan ibuku, Engkau sudah melihat aku.”​—MAZMUR 139:16

Adakah Tuhan Memahami Anda?

Adakah Tuhan Memahami Anda?

PENGAJARAN DARIPADA CIPTAAN

Salah satu hubungan manusia yang paling akrab terjalin antara kembar seiras. Menurut Nancy Segal, pengarah Pusat Kajian Kembar yang juga merupakan seorang kembar, kembar seiras tahu rasanya “berkata sesuatu kepada seseorang yang faham sepenuhnya apa yang hendak disampaikan tanpa perlu penjelasan.” Seorang wanita juga mengatakan bahawa dia dan kembar seirasnya mengetahui segala-galanya tentang satu sama lain.

Mengapakah persefahaman sedemikian dapat wujud? Menurut kajian, persekitaran dan ibu bapa memainkan peranan yang penting. Namun, faktor yang terutama nampaknya ialah persamaan antara kod genetik kembar seiras.

FIKIRKAN: Pencipta kod genetik pasti sangat mengenali sifat setiap manusia. Penulis mazmur menyatakan, ‘Engkau melindungi aku di dalam rahim ibuku. Ketika aku membesar di dalam rahim ibuku, Engkau melihat tulang-tulangku. Sebelum bahagian-bahagian tubuhku wujud, hari-hari pertumbuhannya sudah tercatat dalam kitab-Mu.’ (Mazmur 139:13, 15, 16) Tuhan sahaja yang tahu dan faham sepenuhnya keadaan genetik kita, dan hanya Dia yang tahu setiap peristiwa dalam kehidupan kita yang telah membentuk keperibadian kita. Ya, pengetahuan Tuhan tentang kita dan kod genetik kita membuktikan bahawa Dia memahami segala butiran tentang kita.

AJARAN BIBLE TENTANG PEMAHAMAN TUHAN

Penulis mazmur berdoa, “Ya Yehuwa, Engkau menyelidiki aku, dan Engkau mengenali aku. Engkau mengetahui fikiranku dari jauh. Engkau tahu bila aku duduk dan bila aku berdiri. Ya Yehuwa, sebelum lidahku mengucapkan sepatah kata pun, Engkau sudah mengetahui apa yang akan aku katakan.” (Mazmur 139:1, 2, 4) Yehuwa juga “tahu fikiran dan keinginan” kita yang terpendam. (1 Tawarikh 28:9; 1 Samuel 16:6, 7) Apakah yang dapat kita pelajari tentang Tuhan?

Semasa berdoa, kita mungkin tidak memberitahu Tuhan setiap perasaan dan fikiran kita. Meskipun begitu, Pencipta kita bukan sahaja memperhatikan apa yang kita lakukan, malah memahami sebab kita melakukannya. Dia juga tahu hal-hal baik yang ingin kita lakukan, tetapi yang tidak mampu kita laksanakan. Memandangkan Tuhanlah yang menanamkan sifat kasih dalam hati kita, sudah pasti Dia ingin memerhatikan dan memahami fikiran dan niat kita yang didorong oleh kasih.​—1 Yohanes 4:7-10.

Tiada apa pun yang terlepas daripada pandangan Tuhan. Dia tahu akan kesusahan kita biarpun orang lain tidak menyedari atau memahaminya

Bible meyakinkan kita

  • “Mata Yehuwa melihat orang yang berbuat benar, dan telinga-Nya mendengar rayuan mereka.”​—1 PETRUS 3:12.

  • Tuhan berjanji, “Aku akan memberimu pengertian dan mengajarmu jalan yang harus ditempuh. Aku akan memberimu nasihat dan Aku akan memerhatikanmu.”​—MAZMUR 32:8.

TUHAN AMAT BERBELAS KASIHAN

Setelah mengetahui bahawa Tuhan memahami situasi dan perasaan kita, kita dapat dibantu untuk menghadapi kesusahan dengan tabah. Anna dari Nigeria berkata, “Keadaan saya begitu teruk sehingga saya rasa hidup saya tidak berguna. Saya seorang balu, dan saya perlu jaga anak perempuan di hospital yang menghidap penyakit hidrosefalus (cecair berlebihan di dalam otak). Kemudian saya didapati menghidap kanser payudara dan perlu menjalani pembedahan, kemoterapi, dan radioterapi. Saya rasa sangat susah kerana perlu dirawat ketika anak saya juga terlantar di hospital.”

Apakah yang membantu Anna? “Saya merenungkan ayat Bible seperti Filipi 4:6, 7, yang kata, ‘Kesejahteraan daripada Tuhan yang unggul akan menjaga hati dan fikiran kamu.’ Setiap kali saya teringat ayat ini, saya berasa dekat dengan Yehuwa, kerana Dia lebih memahami saya berbanding saya memahami diri sendiri. Saudara saudari di sidang Kristian juga banyak menggalakkan saya.

“Walaupun masalah kesihatan saya tidak hilang, keadaan saya dan anak perempuan saya sudah bertambah baik. Semasa kami menghadapi cabaran, kami dapat berfikiran positif kerana Yehuwa berada di sisi kami. Yakobus 5:11 kata, ‘Orang yang menghadapi cubaan dengan tabah ialah orang yang bahagia. Kamu sudah mendengar tentang ketabahan Ayub dan bagaimana Yehuwa memberkatinya pada akhirnya. Dengan ini, kamu tahu bahawa Yehuwa berbelas kasihan dan mempunyai kasih yang mendalam.’” Yehuwa memahami situasi Ayub dengan sepenuhnya, dan Dia pasti memahami apa sahaja kesusahan yang kita lalui.