Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Matlamat bagaikan pelan pembinaan. Jika anda berusaha, anda mampu mengubah matlamat menjadi realiti

KAUM MUDA

12: Matlamat

12: Matlamat

MAKSUDNYA

Matlamat bukan sekadar impian atau angan-angan. Matlamat memerlukan rancangan, kebolehan menyesuaikan diri, dan kegigihan.

Terdapat matlamat jangka pendek (yang dapat dicapai dalam beberapa hari atau minggu), jangka sederhana (beberapa bulan), dan jangka panjang (satu tahun atau lebih). Matlamat jangka panjang dapat dicapai melalui beberapa matlamat jangka pendek atau sederhana.

MENGAPA PENTING

Dengan mencapai matlamat, anda akan menjadi lebih yakin, menjalin persahabatan yang lebih erat, dan lebih bahagia.

Keyakinan diri: Apabila anda menetapkan dan mencapai matlamat kecil, anda akan lebih yakin untuk mengejar matlamat yang lebih besar. Anda juga akan lebih yakin semasa menghadapi cabaran seharian, seperti tekanan rakan sebaya.

Persahabatan: Orang suka bersahabat dengan mereka yang ada matlamat, iaitu mereka yang tahu apa yang diingini dan yang rela berusaha untuk mencapainya. Tambahan lagi, apabila anda berusaha bersama orang lain untuk mencapai matlamat yang sama, persahabatan anda dengannya akan bertambah kukuh.

Kebahagiaan: Apabila anda mencapai matlamat yang anda tetapkan, anda akan berasa puas hati.

“Saya suka tetapkan matlamat. Saya dapat bertumpu kepadanya dan mengejarnya. Apabila kamu mencapai suatu matlamat, kamu dapat fikir kembali usaha kamu selama ini dan kata, ‘Wah, saya sudah berjaya melakukannya!’”​—Christopher.

PRINSIP BIBLE: “Sesiapa yang menunggu hingga angin dan cuaca baik, tidak akan menabur ataupun menuai apa-apa.”​—Pengkhutbah 11:4, Alkitab Berita Baik.

LANGKAH-LANGKAH

Cubalah kaedah berikut untuk menetapkan dan mencapai matlamat anda:

Kenal pasti. Tuliskan beberapa matlamat dan senaraikannya mengikut keutamaan.

Rancang. Untuk setiap matlamat, lakukan hal berikut:

  • Tentukan tarikh akhir yang munasabah.

  • Fikirkan langkah-langkah yang terlibat.

  • Fikirkan halangan yang mungkin timbul dan cara mengatasinya.

Bertindak. Jangan tunggu sehingga semua butiran tersedia, barulah anda hendak mula. Tanyalah diri, “Apakah langkah pertama yang dapat saya ambil?” Kemudian, lakukannya. Catatkan kemajuan anda langkah demi langkah.

PRINSIP BIBLE: “Rancangan yang dibuat dengan teliti pasti membawa kejayaan.”​—Amsal 21:5.