Lompat ke kandungan

Pertanyaan Pembaca

Pertanyaan Pembaca

Pertanyaan Pembaca

Adakah Saksi-Saksi Yehuwa menerima pecahan kecil darah?

Jawapan berikut ialah cetakan semula daripada terbitan 15 Jun 2000.

Saksi-Saksi Yehuwa tidak menerima darah. Pandangan Tuhan terhadap darah tidak berubah-ubah mengikut perkembangan masa. Namun, persoalan baharu timbul kerana darah utuh kini dapat diproses menjadi empat komponen utama dan pecahan-pecahan kecil. Sebelum membuat keputusan, seorang Kristian patut mempertimbangkan manfaat dan risiko prosedur perubatan. Tetapi yang lebih penting lagi, dia harus memikirkan pandangan Bible dan hubungannya dengan Tuhan.

Untuk membantu kita membuat keputusan yang menyenangkan hati Tuhan, mari kita kaji beberapa ayat Bible, sejarah umat Tuhan, dan maklumat bidang perubatan.

Tuhan Yehuwa memberitahu Nuh bahawa darah adalah suci. (Kejadian 9:3, 4) Kemudian, Tuhan memberitahu orang Israel, ‘Jika kamu atau orang asing makan darah sebarang makhluk, Aku pasti tidak akan menerima orang sedemikian.’ Jika mereka melanggar perintah itu, hal itu dapat mempengaruhi orang lain. Tuhan juga berfirman, “Aku akan membinasakan orang itu kerana dia makan darah.” (Imamat 17:10) Pada kemudian hari, para rasul dan penatua di Yerusalem menyatakan bahawa orang Kristian harus “menjauhi darah.” Hal ini sama penting dengan perintah untuk menjauhi perbuatan seks yang tidak bermoral dan penyembahan berhala.​—Kisah 15:28, 29.

Pada masa itu, apakah yang terangkum dalam perintah untuk “menjauhi darah”? Orang Kristian tidak akan makan atau minum darah. Mereka juga tidak akan memakan daging binatang yang darahnya tidak dicurahkan. Selain itu, larangan ini merangkumi makanan yang mengandungi darah, seperti sosej darah. Seseorang yang makan atau minum darah sedang melanggar hukum Tuhan.​—1 Samuel 14:32, 33.

Hal ini sangat berbeza dengan kebanyakan orang pada zaman itu. Menurut catatan Tertullian (pada abad kedua dan ketiga Masihi), terdapat sesetengah suku yang mengesahkan perjanjian dengan meminum darah. Dia juga menyatakan bahawa “semasa pertunjukan di arena, orang yang mendahagakan darah akan mengambil darah mangsa dan meminumnya . . . untuk menyembuhkan sawan (epilepsi).”

Amalan tersebut tidak diterima oleh orang Kristian (biarpun orang Roma melakukannya atas alasan kesihatan). Tertullian menulis mengenai orang Kristian, “Kami bahkan tidak makan darah binatang.” Sebenarnya, orang Roma tahu tentang hal itu. Maka mereka sengaja menggunakan makanan yang mengandungi darah untuk menguji kesetiaan orang Kristian. Tertullian menambah, “Jika [orang Kristian] tidak sanggup makan darah binatang, apa lagi darah manusia?”

Hari ini, ramai orang menerima sahaja arahan doktor untuk mengambil transfusi darah. Biarpun Saksi-Saksi Yehuwa sayang nyawa sendiri, kita ingin mematuhi perintah Yehuwa tentang darah. Bagaimanakah hal ini mempengaruhi keputusan kita dalam soal perubatan?

Selepas Perang Dunia Kedua, transfusi darah utuh menjadi hal yang biasa. Saksi-Saksi Yehuwa tahu bahawa hal itu bertentangan dengan hukum Tuhan. Sampai sekarang, kita masih mempunyai pendirian yang sama. Namun, rawatan perubatan telah berubah dan kebanyakan transfusi darah tidak melibatkan darah utuh. Sebaliknya, salah satu daripada empat komponen utama darah digunakan. Empat komponen utama darah yang dimaksudkan ialah (1) sel darah merah, (2) sel darah putih, (3) platelet, dan (4) plasma (serum), bahagian cecair. Bergantung pada keadaan pesakit, doktor mungkin memberinya salah satu komponen itu. Kaedah ini membolehkan satu unit darah utuh diberikan kepada lebih banyak pesakit. Tapi Saksi-Saksi Yehuwa tidak menerima empat komponen utama darah. Keputusan mereka yang berdasarkan Bible telah melindungi mereka daripada banyak penyakit seperti hepatitis dan AIDS.

Memandangkan empat komponen utama itu dapat diproses menjadi pecahan-pecahan kecil, apakah pandangan Saksi tentang hal itu? Mari kita kaji lebih lanjut tentang pecahan kecil darah.

Darah sangat kompleks. Contohnya, plasma terdiri daripada 90 peratus air, dan mengandungi hormon, garam tak organik, enzim, dan nutrien seperti mineral dan gula. Plasma juga mempunyai protein seperti albumin, faktor pembekuan, dan antibodi untuk melawan penyakit. Ahli perubatan dapat mengasingkannya dan menggunakan pelbagai protein plasma. Contohnya, faktor pembekuan VIII diberikan kepada pesakit hemofilia yang cenderung mengalami pendarahan. Jika seseorang dijangkiti penyakit tertentu, doktor mungkin memberikan suntikan gamma globulin yang diekstrak daripada plasma orang yang mempunyai keimunan. Protein plasma lain juga digunakan. Tapi contoh di atas menunjukkan bagaimana komponen utama darah, seperti plasma, dapat diproses untuk memperoleh pecahan-pecahan kecil daripadanya. *

Selain plasma, komponen utama darah lain (sel darah merah, sel darah putih, platelet) juga dapat diproses untuk menjadi pecahan-pecahan kecil. Contohnya, sel darah putih mempunyai interferon dan interleukin, yang digunakan untuk merawat sesetengah jangkitan virus dan kanser. Pecahan kecil platelet pula dapat digunakan untuk menghasilkan ubat yang mempercepat penyembuhan luka. Terdapat ubatan lain yang sedang dihasilkan daripada pecahan kecil darah. Ubat dan rawatan sebegini tidak melibatkan transfusi komponen utama darah tetapi menggunakan pecahan kecil komponen itu. Patutkah orang Kristian menerima rawatan yang menggunakan pecahan kecil darah? Bible tidak memberikan butiran terperinci tentang hal ini. Maka, setiap orang mesti membuat keputusan berdasarkan hati nurani masing-masing kerana kita bertanggungjawab kepada Tuhan.

Ada yang akan menolak semua pecahan kecil darah (termasuk pecahan kecil yang digunakan untuk memberi keimunan). Mengapa? Fikirkan contoh berikut: Untuk menyediakan faktor pembekuan darah dan gamma globulin, darah mesti dikumpulkan dan diproses. Memandangkan Bible memerintahkan kita untuk “menjauhi darah” dan darah yang dikeluarkan harus ‘dicurahkan ke tanah,’ mereka tidak mahu menerima apa-apa yang ada kaitan dengan darah. (Ulangan 12:22-24) Pendirian mereka yang berdasarkan hati nurani haruslah dihormati.

Yang lain pula akan menolak transfusi darah utuh dan komponen utama darah, tetapi mereka mungkin menerima rawatan yang menggunakan pecahan kecil darah. Meskipun demikian, keputusan setiap orang berkenaan pecahan kecil darah pun mungkin berbeza-beza. Sebagai contoh, seorang Kristian mungkin menerima suntikan gamma globulin, tetapi menolak pecahan yang diambil daripada sel darah merah atau putih. Mengapakah sesetengah orang Kristian membuat keputusan untuk menerima rawatan yang mengandungi pecahan kecil darah?

Bahagian “Pertanyaan Pembaca” dalam terbitan 1 Jun 1990 majalah Menara Pengawal menjelaskan bahawa protein plasma (pecahan kecil darah) mengalir daripada ibu kepada anak dalam rahim. Dengan demikian, imunoglobulin dapat diberikan kepada janinnya. Selain itu, apabila jangka hayat sel darah merah janin sudah berakhir, bahagian yang membawa oksigen mula diproses dan menjadi bilirubin. Kemudian, bilirubin kembali kepada ibu melalui plasenta untuk disingkirkan semasa proses perkumuhan. Memandangkan pecahan-pecahan kecil darah juga dapat bergerak daripada ibu kepada janin dan sebaliknya, sesetengah orang Kristian menyimpulkan bahawa mereka dapat menerima pecahan kecil darah daripada plasma atau sel darah.

Memandangkan setiap orang Kristian akan membuat keputusan yang berbeza berdasarkan hati nuraninya, adakah hal ini bermaksud bahawa keputusan mereka boleh dipandang remeh? Tidak. Ini hal yang serius. Seperti yang dijelaskan dalam rencana ini, Saksi-Saksi Yehuwa menolak transfusi darah utuh dan komponen-komponen utamanya. Keputusan ini berdasarkan arahan Bible untuk ‘menjauhi apa sahaja yang dipersembahkan kepada berhala, menjauhi darah, dan menjauhi perbuatan seks yang tidak bermoral.’ (Kisah 15:29) Bagi pecahan kecil darah pula, setiap orang Kristian harus mempertimbangkan dengan mendalam setelah berdoa dan membuat keputusan yang tidak mengganggu hati nuraninya.

Ramai orang hari ini sudi menerima apa-apa saja rawatan yang dapat membawa manfaat segera, biarpun rawatan itu mempunyai risiko kesihatan. Namun orang Kristian berusaha untuk mempunyai pandangan yang wajar dengan mengambil kira perintah Pencipta dan Sumber kehidupan. (Mazmur 36:9) Saksi-Saksi Yehuwa inginkan rawatan yang terbaik, dan mempertimbangkan manfaat dan risiko setiap rawatan. Sebelum membuat keputusan berkenaan rawatan yang berkaitan dengan darah, mereka memikirkan bagaimana keputusan mereka mempengaruhi hubungan mereka dengan Tuhan.

Dengan demikian, mereka mencerminkan keyakinan seperti yang dicatatkan oleh pemazmur dalam Bible, “Tuhan Yehuwa ialah matahari dan perisai; Dia mengurniakan perkenan dan kemuliaan. Yehuwa tidak akan menahan apa-apa yang baik daripada orang yang berjalan dengan integriti. Ya Yehuwa, . . . berbahagialah orang yang percaya kepada-Mu”!​—Mazmur 84:11, 12.

[Nota kaki]

^ per. 13 Syarikat farmasi telah menghasilkan produk-produk sintetik yang tidak dibuat daripada darah dan dapat diberikan kepada pesakit.

[Kotak pada muka surat 31]

SOALAN-SOALAN YANG BOLEH DIAJUKAN KEPADA DOKTOR

Jika anda perlu menjalani pembedahan atau rawatan yang mungkin melibatkan produk darah, tanyalah soalan-soalan yang berikut:

Adakah semua kakitangan perubatan yang terlibat tahu bahawa sebagai seorang Saksi-Saksi Yehuwa, saya menolak transfusi darah, (darah utuh, sel darah merah, sel darah putih, platelet, atau plasma) tidak kira dalam apa jua keadaan?

Jika ubat yang disyorkan mungkin dibuat daripada sel darah merah, sel darah putih, platelet, atau plasma, tanya:

Jika ubat yang disyorkan mengandungi pecahan kecil darah, apakah komposisinya?

Berapa banyak daripada ubat ini akan diberikan, dan bagaimana?

Jika hati nurani membenarkan saya menerima pecahan kecil darah, apakah risiko perubatan yang akan dihadapi?

Jika hati nurani tidak membenarkan saya menerima pecahan kecil darah, apakah terapi alternatif yang tersedia?

Selepas mempertimbangkan hal ini, bilakah saya harus memberitahu doktor tentang keputusan saya?