Lompat ke kandungan

PEMBACA BERTANYA . . .

Siapakah yang Menciptakan Tuhan?

Siapakah yang Menciptakan Tuhan?

Bayangkan seorang bapa memberitahu anaknya yang berumur tujuh tahun tentang bagaimana segalanya diciptakan. Dia berkata, “Tuhan telah menciptakan bumi kita, bulan, bintang, dan matahari.” Kemudian anaknya pun tanya, “Siapa yang menciptakan Tuhan?”

Ayah pun jawab, “Tiada sesiapa yang ciptakan Tuhan. Dia sentiasa ada.” Anaknya puas dengan jawapan ini, tetapi seraya dia membesar dia mula berfikir lagi tentang soalan itu. Dia tertanya-tanya, “Bahkan alam semesta pun ada permulaan, jadi mana mungkin Tuhan tiada permulaan.”

Sebenarnya jawapan Bible lebih kurang sama dengan apa yang dikatakan oleh ayah itu. Musa menulis, “Ya Yehuwa, . . . sebelum gunung-ganang dilahirkan, bahkan sebelum Engkau menciptakan bumi dan tanah yang subur, Engkaulah Tuhan yang kekal selama-lamanya.” (Mazmur 90:1, 2) Nabi Yesaya juga berkata, “Tidakkah engkau tahu? Tidakkah engkau dengar? Yehuwa ialah Pencipta segala-galanya di bumi; Dia ialah Tuhan yang kekal”! (Yesaya 40:28) Penulis buku Yudas juga berkata bahawa Tuhan sudah wujud “dari dahulukala.”​—Yudas 25.

Ayat itu membuktikan bahawa Tuhan telah wujud dari dulu lagi. Rasul Paulus juga menyatakan, Tuhan ialah “Raja yang kekal.” (1 Timotius 1:17) Maksudnya Tuhan tiada permulaan dan tiada akhir. (Wahyu 1:8) Pernyataan ini hanya dapat merujuk kepada Tuhan Yang Maha Kuasa.

Tetapi kita mungkin berasa susah untuk memahaminya. Mengapa? Hal ini kerana konsep masa Tuhan adalah jauh berbeza daripada manusia. Bible berkata bahawa bagi Tuhan seribu tahun adalah bagaikan satu hari sahaja. (2 Petrus 3:8) Untuk lebih memahami contoh ini, mari kita fikir tentang contoh belalang. Belalang hanya hidup untuk sekitar 50 hari. Dapatkah belalang itu faham berapa panjangnya masa 70 atau 80 tahun? Pasti tidak! Begitu juga, jika dibandingkan dengan Tuhan, kita ini seperti belalang saja. Jadi kita tidak dapat faham sepenuhnya fikiran Tuhan yang sangat tinggi. (Yesaya 40:22; 55:8, 9) Maka tidak hairanlah manusia tidak dapat memahami konsep masa Tuhan.

Walaupun kita berasa susah untuk faham bahawa Tuhan tiada permulaan dan tiada akhir, hal ini sebenarnya sangat logik. Mengapa? Jika Tuhan perlu diciptakan oleh seseorang lagi, maksudnya Dia bukanlah Pencipta. Namun Bible berkata bahawa Tuhanlah Pencipta segala-galanya. (Wahyu 4:11) Selain itu, alam semesta juga mempunyai permulaan. (Kejadian 1:1, 2) Dari manakah datangnya alam semesta? Sudah pasti ada Pencipta yang sudah wujud dan telah menciptakannya. Dia juga telah menciptakan malaikat-malaikat lain dan Anak-Nya. (Ayub 38:4, 7; Kolose 1:15) Maka, Tuhan telah wujud sebelum segalanya diciptakan, dan Dia tidak diciptakan oleh sesiapa pun.

Maka, kewujudan kita, alam semesta, dan hukum-hukum alam membuktikan bahawa Pencipta kita ialah Tuhan yang kekal. Dialah sumber segala kehidupan.​—Ayub 33:4.