Lompat ke kandungan

Kumpulan Penterjemah Bahasa Sepanyol Berpindah ke Sepanyol

Kumpulan Penterjemah Bahasa Sepanyol Berpindah ke Sepanyol

Yesus berkata bahawa berita baik tentang Kerajaan Tuhan akan disebarkan ke seluruh bumi. (Matius 24:14) Sejak tahun 1909, Saksi-Saksi Yehuwa menerbitkan bahan bacaan Bible dalam bahasa Sepanyol. Bahan-bahan ini membantu orang di serata dunia untuk mendengar berita Kerajaan Tuhan dalam bahasa ibunda mereka. Kini, sekitar setengah bilion orang bertutur dalam bahasa Sepanyol di serata dunia. Berdasarkan sebuah laporan mengenai bahasa yang paling banyak dituturkan, bahasa Cina menduduki tempat pertama, dan diikuti oleh bahasa Sepanyol.

“Bahasa Sepanyol ialah bahasa dunia dan dituturkan di negara-negara yang mempunyai adat dan budaya yang berlainan. Pembaca kami mempunyai tahap pendidikan, latar belakang, dan taraf hidup yang berbeza. Matlamat kami adalah untuk menghasilkan terjemahan yang dapat mencapai hati mereka,” kata William, seorang penterjemah dalam kumpulan bahasa Sepanyol. Hal ini tidak mudah dilakukan. Oleh itu, para penterjemah dari negara Amerika Syarikat, Argentina, Colombia, El Salvador, Guatemala, Mexico, Puerto Rico, Uruguay, Venezuela, dan Sepanyol bekerja bersama untuk menghasilkan terjemahan yang mudah difahami.

Selama puluhan tahun, Saksi-Saksi Yehuwa di Amerika Syarikat menterjemahkan bahan bacaan ke dalam bahasa Sepanyol dengan bantuan para penterjemah dari negara Argentina, Mexico, dan Sepanyol. Namun, pada tahun 1993, semua penterjemah bahasa Sepanyol berpindah ke Puerto Rico agar dapat bekerja bersama di satu lokasi.

Pada bulan Mac 2012, keputusan telah dibuat untuk memindahkan Bahagian Penterjemahan bahasa Sepanyol ke pejabat cawangan Saksi-Saksi Yehuwa di Sepanyol. Edward berkata, “Kami bukan sahaja harus berpindah, tetapi kami perlu memindahkan barang-barang kami dan semua peralatan. Yang penting sekali, kami juga perlu membawa semua bahan rujukan dari perpustakaan kami.” Perpustakaan ini mengandungi sekitar 2,500 bahan rujukan, termasuk lebih daripada 100 terjemahan Bible dalam bahasa Sepanyol.

Sambutan mesra sewaktu tiba di Sepanyol

Pada 29 Mei 2013, Bahagian Penterjemah bahasa Sepanyol tiba di pejabat cawangan Sepanyol. Mereka disambut mesra oleh ahli Bethel di sana. Dengan perancangan teliti dan usaha yang dicurahkan, perpindahan tersebut berjalan dengan lancar. Pada masa yang sama, orang masih dapat menerima bahan bacaan dalam bahasa Sepanyol tepat pada masanya. Edward berkata, “Berita tentang Kerajaan Tuhan ialah perkara yang paling penting. Kami mahu lebih banyak orang yang bertutur dalam bahasa Sepanyol untuk membaca tentang berita ini.”