Lompat ke kandungan

ERITREA

Dipenjarakan kerana Iman Mereka​—Eritrea

Dipenjarakan kerana Iman Mereka​—Eritrea

Selama bertahun-tahun, kerajaan Eritrea telah menangkap dan memenjarakan Saksi-Saksi Yehuwa, termasuk wanita dan orang yang lanjut usia, tanpa perbicaraan atau surat dakwaan rasmi atas sebab menjalankan kegiatan agama atau sebab-sebab yang tidak dijelaskan. Presiden Afwerki juga membatalkan kewarganegaraan Saksi-Saksi Yehuwa melalui perintah presiden yang dikuatkuasakan pada 25 Oktober 1994 kerana mereka enggan menyertai referendum kemerdekaan pada tahun 1993, dan menolak untuk melibatkan diri dalam khidmat tentera atas dasar hati nurani. Sebelum khidmat tentera diwajibkan, pihak berkuasa di Eritrea membenarkan orang melakukan khidmat awam alternatif. Meskipun di bawah pemerintahan kerajaan yang berlainan, para Saksi pada masa itu dibenarkan untuk melakukan khidmat awam. Pihak berkuasa juga menganugerahkan sijil kepada para Saksi yang telah menyelesaikan khidmat awam alternatif, dan bahkan selalu memberikan pujian atas penglibatan mereka. Namun, sejak perintah presiden dikeluarkan, pasukan keselamatan telah memenjarakan, menyeksa, dan mengganggu Saksi-Saksi Yehuwa agar mereka meninggalkan kepercayaan mereka.

Kini, 39 orang Saksi-Saksi Yehuwa masih dipenjarakan (27 lelaki dan 12 wanita). Pada 4 Disember 2020, seramai 28 Saksi (26 lelaki dan 2 wanita) telah dibebaskan setelah dipenjarakan antara 5 hingga 26 tahun kerana iman mereka. Pada 29 Januari 2021, seorang Saksi lelaki telah dibebaskan selepas dipenjarakan untuk lebih daripada 12 tahun, dan tiga lagi Saksi dibebaskan pada 1 Februari 2021 (satu lelaki dan dua wanita). Mereka telah dipenjarakan antara empat hingga sembilan tahun.

Saksi-Saksi Yehuwa Meninggal kerana Keadaan yang Teruk di Penjara

Empat orang Saksi telah mati semasa dipenjarakan di Eritrea, manakala tiga orang Saksi yang lanjut usia mati sejurus selepas dibebaskan kerana keadaan yang amat teruk semasa di dalam penjara.

Pada 2018, dua orang Saksi mati selepas dipindahkan ke Penjara Mai Serwa. Pada 3 Januari, Habtemichael Tesfamariam yang berusia 76 tahun telah mati, dan Habtemichael Mekonen yang berusia 77 tahun mati pada 6 Mac. Pihak berkuasa Eritrea telah memenjarakan dua orang Saksi tersebut pada 2008 tanpa sebarang dakwaan.

Pada 2011 dan 2012, dua orang Saksi mati di Kem Penjara Meitir kerana diperlakukan dengan tidak berperikemanusiaan. Pada bulan Julai 2011, Misghina Gebretinsae, yang berusia 62 tahun, mati kerana terdedah kepada suhu yang panas sekali semasa dia dikurung dalam sebuah tempat hukuman yang digelar sebagai “bawah tanah.” Yohannes Haile, yang berusia 68 tahun, juga dikurung di tempat yang sama selama empat tahun, dan dia mati pada 16 Ogos 2012. Ketiga-tiga Saksi yang lanjut usia, iaitu Kahsai Mekonnen, Goitom Gebrekristos, dan Tsehaye Tesfariam, telah meninggal selepas dibebaskan kerana keadaan yang amat teruk semasa dipenjarakan di Kem Meitir.

Cadangan daripada Badan Hak Asasi Manusia yang Lebih Tinggi Tidak Dihiraukan

Kerajaan Eritrea enggan menuruti standard yang ditetapkan oleh hak asasi manusia antarabangsa. Kebanyakan badan hak asasi manusia menentang tindakan Eritrea yang mencabuli hak asasi, dan Eritrea digesa untuk membetulkan keadaan.

Pada 2014, Majlis Hak Asasi Manusia (HRC) memberikan tanggapan yang positif terhadap laporan yang diberikan oleh Pelapor Khas mengenai isu hak asasi di Eritrea. Menurut laporan, pihak berkuasa Eritrea digesa untuk menghormati hak asasi seseorang untuk menolak khidmat tentera atas dasar hati nurani “yang selaras dengan standard antarabangsa.” Eritrea juga harus memastikan “keadaan kesihatan setiap tahanan dijamin; menyediakan rawatan perubatan yang diperlukan . . . dan memperbaik keadaan di penjara sesuai dengan standard antarabangsa.” Dalam sebuah keputusan yang dikeluarkan pada tahun 2015, Majlis Hak Asasi Manusia menggesa kerajaan Eritrea “mengakui pendirian seseorang untuk tidak menyertai khidmat tentera atas dasar hati nurani.”

Pada 2016, Suruhanjaya Siasatan mengenai Hak Asasi Manusia di Eritrea menyimpulkan bahawa pihak berkuasa Eritrea telah melakukan “jenayah terhadap kemanusiaan” kerana menganiaya Saksi-Saksi Yehuwa dan orang lain atas dasar “agama dan bangsa.”

Pada 2017, Jawatankuasa Pakar Hak dan Kebajikan Kanak-Kanak di Afrika (ACERWC) menyuarakan kerisauan mereka. Biarpun kanak-kanak diberikan perlindungan undang-undang, “anak-anak Saksi-Saksi Yehuwa” tidak mendapat perlindungan tersebut dan menghadapi layanan yang teruk. ACERWC mencadangkan agar Eritrea “mengakui dan menguatkuasakan hak asasi kanak-kanak untuk mempunyai kebebasan berfikir, kebebasan untuk mengikut hati nurani, dan kebebasan beragama tanpa diskriminasi.”

Pada 2018, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia dan Penduduk Afrika menggesa Eritrea agar “bertindak selaras dengan hak asasi setiap individu yang ditahan, termasuk . . . Saksi-Saksi Yehuwa” dan menyiasat kes para Saksi yang mati di penjara. Suruhanjaya itu juga menekankan bahawa Eritrea perlu “mengekalkan hak kewarganegaraan” Saksi-Saksi Yehuwa.

Pada Mei 2019, Jawatankuasa Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (CCPR) menggesa kerajaan Eritrea untuk menghormati hak kebebasan beragama rakyatnya serta mengizinkan mereka mengamalkan kepercayaan mereka. Eritrea juga patut “membebaskan semua orang yang ditangkap atau ditahan kerana mengamalkan agama mereka, termasuk Saksi-Saksi Yehuwa.” CCPR juga meminta Eritrea untuk “mengiktiraf secara sah hak seseorang dalam menolak khidmat tentera atas dasar hati nurani dan menyediakan khidmat awam alternatif kepada mereka.”

Dalam laporan yang bertarikh 12 Mei 2021, Pelapor Khas PBB menggesa kerajaan Eritrea untuk “segera membebaskan tanpa syarat semua orang yang dipenjarakan tanpa perbicaraan atau dakwaan kerana mengamalkan agama mereka, termasuk 20 orang Saksi-Saksi Yehuwa.” Kerajaan Eritrea juga harus “menilai semula keputusan untuk membatalkan kewarganegaraan Saksi-Saksi Yehuwa kerana agama mereka, menghormati cadangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia dan Penduduk Afrika untuk mengekalkan hak kewarganegaraan Saksi-Saksi Yehuwa, serta menyiasat kes para Saksi yang mati di penjara.”

Dipenjarakan untuk Masa yang Tidak Ditentukan

Kebanyakan Saksi lelaki dihukum penjara untuk masa yang tidak ditentukan. Mereka tidak akan dibebaskan kecuali mereka sudah mati atau hampir mati. Memandangkan tiada undang-undang yang dapat melindungi mereka, hukuman yang diterima mereka dapat disamakan dengan hukuman seumur hidup.

Garis Masa

  1. 17 Jun 2024

    Sebanyak 39 orang Saksi dipenjarakan.

  2. 1 Februari 2021

    Tiga orang Saksi dibebaskan dari penjara.

  3. 29 Januari 2021

    Seorang Saksi dibebaskan dari penjara.

  4. 4 Disember 2020

    Seramai 28 orang Saksi dibebaskan dari penjara.

  5. 6 Mac 2018

    Habtemichael Mekonen, 77 tahun, meninggal selepas dipindahkan ke Penjara Mai Serwa.

  6. 3 Januari 2018

    Habtemichael Tesfamariam, 76 tahun, meninggal selepas dipindahkan ke Penjara Mai Serwa.

  7. Julai 2017

    Semua Saksi yang dipenjarakan di Kem Meitir dipindahkan ke Penjara Mai Serwa yang terletak di luar kota Asmara.

  8. 25 Julai 2014

    Kebanyakan orang yang ditangkap pada 14 April telah dibebaskan, tetapi 20 orang yang ditangkap pada 27 April masih dipenjarakan.

  9. 27 April 2014

    Sebanyak 31 orang Saksi ditangkap semasa perjumpaan pembelajaran Bible.

  10. 14 April 2014

    Lebih daripada 90 orang Saksi ditangkap semasa menyambut Peringatan kematian Kristus.

  11. 16 Ogos 2012

    Yohannes Haile, 68 tahun, meninggal akibat keadaan yang teruk di dalam penjara.

  12. Julai 2011

    Misghina Gebretinsae, 62 tahun, meninggal akibat keadaan yang teruk di dalam penjara.

  13. 28 Jun 2009

    Pihak berkuasa menyerbu rumah seorang Saksi kerana perjumpaan agama diadakan di sana. Kesemua 23 orang, yang berusia antara 2 hingga 80 tahun, telah ditangkap.

  14. 28 April 2009

    Pihak polis memindahkan hampir semua Saksi-Saksi Yehuwa yang ditahan di balai polis ke Kem Penjara Meitir. Hanya seorang yang tidak dipindahkan.

  15. 8 Julai 2008

    Polis mula menyerbu rumah-rumah dan tempat kerja untuk menangkap 24 orang Saksi. Kebanyakan Saksi yang ditangkap perlu menyara keluarga mereka.

  16. Mei 2002

    Pihak kerajaan menyekat semua agama yang tidak tergolong dalam empat agama yang diluluskan.

  17. 25 Oktober 1994

    Perintah presiden telah membatalkan kewarganegaraan dan hak sivil bagi Saksi-Saksi Yehuwa.

  18. 17 September 1994

    Paulos Eyasu, Isaac Mogos, dan Negede Teklemariam dipenjarakan tanpa dakwaan atau perbicaraan.

  19. 1950-an

    Kumpulan Saksi-Saksi Yehuwa mula ditubuhkan di Eritrea.