Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Mengapa Kita Perlu Harapan?

Mengapa Kita Perlu Harapan?

Mengapa Kita Perlu Harapan?

MARI kita fikir balik tentang kisah Daniel. Andai kata Daniel tidak putus harapan, adakah dia akan terus hidup sampai sekarang? Mungkinkah penyakitnya sembuh? Sebenarnya, kita sedar bahawa sekadar mempunyai harapan tidak dapat mengubati semua penyakit. Bahkan orang yang percaya bahawa harapan dapat membantu tidak akan membuat kesimpulan itu. Jadi kita harus mempunyai pandangan yang seimbang.

Dalam sebuah temu ramah dengan Berita CBS, Dr. Nathan Cherney mengingatkan kita agar tidak berfikir bahawa harapan dapat membawa mukjizat. Dia kata, “Sesetengah isteri yang mempunyai tumor dimarahi oleh suami mereka. Suami mereka tuduh mereka tidak berfikiran positif dan tidak cukup membuat meditasi. Itulah sebabnya tumor itu menjadi semakin teruk.” Dr. Cherney menyambung, “Sesetengah orang berfikir bahawa sekadar mempunyai harapan dapat mengubati penyakit. Tapi hal ini tidak benar sama sekali.”

Sebenarnya, orang yang sakit tenat memang sedang menderita dengan teruk. Jika kita buat mereka rasa bersalah, hal itu hanya membuat mereka lebih sengsara. Jadi dapatkah harapan membantu orang yang menderita?

Tentu sekali! Dr. Cherney merupakan pakar dalam rawatan paliatif. Rawatan ini ialah kaedah yang digunakan untuk melegakan dan mengurangkan rasa tidak selesa bagi orang yang sakit tenat, dan bukannya untuk merawat atau menyembuhkannya. Doktor dalam rawatan paliatif percaya bahawa sikap positif dapat membawa banyak manfaat. Mari kita lihat bukti-bukti yang menunjukkan bahawa harapan memang dapat membantu.

Harapan Sangat Penting

“Harapan ialah terapi yang sangat berkesan,” kata Dr. W. Gifford-Jones. Dia memeriksa hasil kajian tentang kebaikan sokongan emosi yang diberikan kepada orang yang sakit tenat. Dia mendapati bahawa pesakit yang menerima sokongan emosi lebih positif dan tidak cepat putus harapan. Satu kajian yang dilakukan pada tahun 1989 juga menunjukkan bahawa pesakit yang menerima sokongan emosi dapat hidup lebih lama. Walaupun kajian baru-baru ini tidak dapat membuktikannya, kajian lain telah menunjukkan bahawa sokongan emosi mengurangkan kesakitan dan rasa murung bagi orang yang sakit tenat.

Perhatikan satu lagi kajian yang menunjukkan kaitan penyakit jantung dengan sikap seseorang. Dalam kajian ini, lebih daripada 1,300 lelaki telah dinilai untuk melihat sama ada mereka mempunyai pandangan yang positif atau negatif tentang kehidupan. Dalam kajian susulan yang dilakukan 10 tahun kemudian, lebih daripada 12 peratus lelaki itu didapati menghidap penyakit jantung. Hampir dua pertiga daripada mereka bersikap negatif. Laura Kubzansky, pembantu profesor di Harvard School of Public Health menyatakan, “Sebelum ini, tiada bukti yang kukuh yang menunjukkan bahawa jika anda bersikap positif, hal itu baik untuk kesihatan anda. Tapi kajian ini jelas membuktikan bahawa pemikiran seseorang ada kaitan langsung dengan kesihatan jantungnya.”

Satu kajian dilakukan terhadap sekumpulan orang sebelum menjalani pembedahan. Mereka diminta untuk menilai keadaan kesihatan mereka. Kumpulan yang didapati bersikap positif mempunyai hasil yang lebih baik selepas pembedahan. Selain itu, satu lagi kajian dibuat untuk melihat kesan sikap negatif atau positif terhadap orang tua dan umur yang panjang. Semasa kajian itu, sekumpulan orang tua ditunjukkan mesej-mesej ringkas yang mengaitkan usia tua dengan kebijaksanaan dan kematangan. Hasilnya, mereka berjalan dengan lebih bertenaga dan bersemangat, seolah-olah telah melakukan program senaman selama 12 minggu.

Mengapakah harapan dan sikap yang positif baik untuk kesihatan? Ahli sains dan doktor tidak dapat menjawab soalan ini kerana mereka tidak memahami otak dan tubuh manusia dengan sepenuhnya. Tetapi, seorang profesor otak menyimpulkan bahawa “kita dapat kesihatan yang baik apabila kita gembira dan ada harapan dalam hidup. Ini buat kita rasa bagus dan kurang stres.”

Sesetengah doktor, ahli psikologi, dan ahli sains mungkin rasa kagum dengan maklumat ini. Tetapi, hampir 3,000 tahun yang lalu, Raja Salomo menulis, “Hati yang gembira bagaikan ubat yang mujarab, tetapi hati yang hancur mematahkan semangat.” (Amsal 17:22) Perhatikan bahawa ayat ini sangat seimbang. Bible tidak kata bahawa hati yang gembira dapat menyembuhkan segala jenis penyakit, tetapi merupakan ubat yang berkesan.

Bayangkan jika doktor dapat memberikan harapan dalam bentuk ubat, sudah tentu mereka akan melakukannya! Namun, harapan bukan sekadar baik untuk kesihatan kita.

Kaitan Sikap Positif, Sikap Negatif, dan Hidup Anda

Para penyelidik mendapati bahawa orang yang positif mendapat hasil yang lebih baik di sekolah, tempat kerja, dan dalam bidang sukan. Sebagai contoh, kajian dilakukan terhadap satu pasukan lumba lari. Mula-mula, pelatih menilai setiap ahli berdasarkan kemahiran mereka dari segi sukan. Pada masa yang sama, setiap wanita itu disuruh untuk menilai diri dan apa yang mereka harap untuk capai. Hasil kajian menunjukkan bahawa kumpulan wanita yang mendapat penilaian yang bagus daripada pelatih tidak semestinya mencapai prestasi yang terbaik. Sebaliknya, mereka yang mempunyai pandangan yang positif terhadap diri telah mendapat pencapaian yang lebih baik.

Banyak kajian juga dilakukan tentang pengaruh sikap yang negatif. Sekitar 1960-an, para penyelidik telah membuat beberapa eksperimen untuk mengkaji kelakuan binatang. Hasil kajian itu menunjukkan bahawa bahkan binatang yang kuat mula percaya bahawa mereka lemah dan tidak berdaya apabila diletakkan dalam keadaan tertentu. Gejala ini, yang digelar sebagai “ketidakupayaan yang dipelajari,” juga dapat berlaku kepada manusia. Contohnya, sekumpulan orang didedahkan kepada bunyi yang bising. Kemudian, mereka diberitahu bahawa jika mereka menekan beberapa butang, bunyi itu akan berhenti. Apabila mereka ikut arahan itu, mereka dapat menghentikan bunyi itu.

Kumpulan yang kedua juga diberitahu hal yang sama. Tetapi bezanya kali ini, butang-butang itu tidak berfungsi. Selepas seketika waktu, ramai antara mereka mula putus asa. Dalam ujian susulan yang dibuat, mereka langsung tidak mahu melakukan apa-apa. Mereka fikir bahawa tindakan mereka tidak akan berhasil. Walaupun begitu, terdapat beberapa orang yang bersikap positif dalam kumpulan itu enggan putus harapan.

Dr. Martin Seligman, yang membantu mencipta eksperimen-eksperimen itu, telah meluangkan banyak masa untuk mengkaji kesan sikap yang positif dan negatif. Dia mendapati bahawa sikap negatif atau senang putus asa dapat menjejaskan kehidupan seseorang dan bahkan membuatnya rasa susah untuk menjalankan aktiviti seharian. Selepas membuat kajian selama 25 tahun, dia menyimpulkan, “Jika kita cenderung berfikiran negatif, menganggap semua masalah ialah akibat kesilapan kita, dan bahawa tiada apa-apa yang dapat dilakukan untuk mengatasinya, keadaan kita akan menjadi lebih teruk daripada seseorang yang berfikiran positif.”

Sekali lagi, orang mungkin rasa penemuan ini ialah sesuatu yang baharu. Tetapi sejak dulu lagi, Bible berkata, “Jika kamu tawar hati pada masa kesusahan, kekuatanmu akan berkurang.” (Amsal 24:10) Bible menjelaskan bahawa perasaan negatif dan kekecewaan dapat melemahkan kita. Jadi, apakah yang dapat anda lakukan untuk melawan perasaan negatif dan menjadi lebih positif?

[Gambar pada muka surat 4, 5]

Harapan membawa banyak manfaat