Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Anda Dapat Melawan Sikap Negatif

Anda Dapat Melawan Sikap Negatif

Anda Dapat Melawan Sikap Negatif

BAGAIMANAKAH anda menghadapi situasi yang mengecewakan dalam hidup? Banyak pakar percaya bahawa cara anda menanganinya menunjukkan sama ada anda seorang yang bersikap positif atau negatif. Kita semua menghadapi banyak masalah. Ada antara kita yang dapat mengharunginya dengan tabah, tetapi ada pula yang cepat putus asa apabila masalah melanda. Mengapa?

Fikirkanlah contoh ini. Bayangkan anda pergi temu duga untuk cari kerja, tetapi anda gagal mendapat kerja itu. Adakah anda akan mula menyalahkan diri dan membiarkan peristiwa ini mempengaruhi pandangan anda terhadap diri sendiri? Mungkin anda fikir, “Tiada orang akan ambil saya sebagai pekerja.” Atau lebih teruk lagi, adakah anda akan membiarkan satu peristiwa ini menjejaskan seluruh kehidupan anda? Adakah anda akan fikir, “Saya sangat tidak berguna, dan apa-apa saya buat, saya pasti akan gagal.” Inilah yang sering bermain dalam fikiran seseorang yang berpandangan negatif.

Cara Melawan Fikiran Negatif

Mula-mula, anda perlu fikir sama ada anda cenderung untuk bersikap negatif. Kemudian, barulah anda dapat melawannya. Bagaimana? Anda boleh memikirkan beberapa kemungkinan yang menyebabkan keadaan itu terjadi. Fikirlah kembali tentang contoh temu duga tadi. Adakah anda ditolak kerana anda langsung tiada kemahiran? Atau adakah majikan itu sedang mencari pekerja dengan kelayakan yang lain?

Selepas memikirkan alasan-alasan yang munasabah, anda dapat menangkis pemikiran negatif yang keterlaluan itu. Fikirkanlah juga tentang aspek-aspek kehidupan yang lain. Contohnya, adakah anda mempunyai hubungan baik dengan keluarga dan sahabat, atau pernah mencapai matlamat rohani tertentu? Hal-hal ini menunjukkan bahawa anda pun ada kekuatan tertentu. Kadangkala, kita mungkin fikir semua yang kita lakukan tidak akan berjaya. Tetapi pandangan sebegitu tidaklah realistik. Contohnya, bagaimana mungkin anda tahu bahawa anda langsung tidak akan mendapat kerja untuk seumur hidup? Selain cara-cara ini, ada lagi hal lain yang dapat anda lakukan.

Fikiran Positif dan Mempunyai Matlamat

Sesetengah pakar menyatakan bahawa harapan ialah keyakinan bahawa kita akan mencapai matlamat dalam hidup kita. Sebenarnya, seperti yang kita akan belajar dalam rencana seterusnya, perkataan “harapan” membawa maksud yang lebih luas daripada itu. Tetapi penjelasan ini juga dapat bantu kita lihat bahawa matlamat hidup dapat menyumbang kepada sikap yang positif.

Adakah anda mempunyai matlamat dalam hidup? Jika tidak, berusahalah untuk menetapkan matlamat yang kecil. Dengan demikian, anda akan memupuk keyakinan apabila anda berjaya mencapainya. Sesetengah orang berasa susah untuk menetapkan matlamat dalam hidup kerana mereka terlalu sibuk. Lama sebelum ini, Bible sudah menasihati kita untuk “mengenal pasti perkara-perkara yang lebih penting.” (Filipi 1:10) Jadi, kita harus menetapkan keutamaan hidup yang betul.

Selepas itu, kita boleh buat matlamat dalam beberapa aspek kehidupan kita. Contohnya, dalam keluarga, hal rohani, ataupun kerja. Ingatlah, jangan buat terlalu banyak matlamat atau tetapkan matlamat yang terlalu susah untuk dicapai. Jika demikian, anda mungkin cepat putus asa. Sebaliknya, buatlah beberapa matlamat jangka pendek yang kecil.

Selepas menetapkan matlamat, kita perlu ada tekad, keinginan, dan usaha supaya dapat mencapainya. Bak kata pepatah, “Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.” Jika anda menghadapi kesusahan untuk mencapai matlamat anda, jangan pandang cabaran itu sebagai jalan mati. Sebaliknya, fikirkanlah manfaat yang dapat anda raih jika anda terus bertekad untuk mencapainya.

C. R. Snyder, seorang pengarang yang telah membuat banyak kajian tentang harapan, memberikan nasihat ini. Dia berkata bahawa adalah penting untuk mencari beberapa jalan untuk mencapai satu matlamat. Jadi, jika satu cara tidak membawa hasil, kita boleh mencuba cara-cara yang lain.

Snyder juga berkata bahawa kadangkala kita perlu menukar matlamat kita. Jika satu matlamat tidak kesampaian, mungkin kita perlu mengubah haluan kita. Jika kita berkeras, hal itu akan buat kita kecil hati dan putus asa. Sebaliknya, jika kita berusaha untuk mencapai matlamat lain yang lebih munasabah, hal itu dapat membangkitkan semangat dan harapan kita.

Bible juga mengandungi satu contoh yang menegaskan hal ini. Semasa Raja Daud ingin membina Rumah Tuhan, Yehuwa berkata bahawa bukan dia yang akan melakukannya. Sebaliknya, anaknya Salomo yang akan membina Rumah Tuhan. Adakah Daud merajuk dan berkeras ingin melakukannya? Tidak. Dia mengubah matlamatnya dan berusaha sedaya upaya untuk mengumpulkan bahan-bahan dan wang yang diperlukan oleh anaknya untuk melaksanakan projek itu.​—1 Raja-Raja 8:17-19; 1 Tawarikh 29:3-7.

Sememangnya, kita dapat mengukuhkan harapan dalam hidup kita dengan memiliki pandangan yang positif dan menetapkan matlamat. Tetapi masih ada banyak hal yang berlaku di sekeliling kita yang di luar kawalan kita. Misalnya kemiskinan, peperangan, jenayah, penyakit, dan kematian dapat menggugat harapan kita. Jadi, bagaimanakah kita dapat terus memiliki harapan biarpun keadaan dunia sangat teruk?

[Gambar pada muka surat 7]

Jika anda tidak diterima untuk pekerjaan tertentu, adakah anda terus membuat kesimpulan bahawa anda tidak akan mendapat kerja untuk seumur hidup?

[Gambar pada muka surat 8]

Raja Daud rela mengubah matlamatnya