Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Di Manakah Anda Dapat Menemui Harapan Sejati?

Di Manakah Anda Dapat Menemui Harapan Sejati?

Di Manakah Anda Dapat Menemui Harapan Sejati?

BAYANGKAN jam tangan anda telah rosak. Jadi anda pun mencari seseorang yang dapat membaikinya, tetapi terdapat begitu banyak kedai yang menawarkan perkhidmatan itu. Mana satukah yang harus anda pilih? Ketika itu, anda mendapat tahu jiran anda merupakan pereka jam itu. Yang lebih menggembirakan lagi, dia sudi membaiki jam anda dengan percuma! Pilihan anda sekarang sangat jelas, bukan?

Sekarang, fikirkan tentang keupayaan manusia untuk menaruh harapan pada sesuatu. Banyak orang hari ini hilang harapan kerana keadaan dunia sangat teruk. Siapakah yang dapat membantu anda memiliki harapan? Ramai orang menawarkan bantuan dan nasihat, tetapi nasihat-nasihat itu mungkin bercanggah dan mengelirukan. Jadi, bukankah lebih baik untuk mencari Pencipta kita yang telah menyemat kebolehan ini dalam hati kita? Bible kata bahawa Tuhan “sebenarnya tidak jauh daripada kita masing-masing” dan Dia sangat rela membantu kita.​—Kisah 17:27; 1 Petrus 5:7.

Harapan—Maksud yang Sebenar

Perkataan harapan membawa maksud yang lebih luas dan bukannya seperti apa yang dikatakan sesetengah doktor, ahli sains, dan ahli psikologi. Dalam bahasa asal Bible, “harapan” bermaksud menantikan sesuatu dengan bersungguh-sungguh dan menginginkan sesuatu yang baik. “Harapan” merangkumi dua hal ini: (1) Keinginan akan sesuatu yang baik, dan (2) asas yang kukuh untuk percaya bahawa hal itu akan menjadi kenyataan.

Nampaknya, harapan dan iman (atau kepercayaan) ada persamaannya. Kedua-duanya mesti berasaskan bukti yang kukuh. (Ibrani 11:1) Tetapi, apakah perbezaan antara harapan dengan iman?​—1 Korintus 13:13.

Mari lihat contoh ini: Anda telah minta bantuan daripada seorang kawan rapat anda. Anda berharap dia akan bantu anda. Sebenarnya, anda juga percaya bahawa dia akan berbuat demikian kerana dia seorang yang baik dan murah hati. Jadi, walaupun harapan dan kepercayaan berbeza, kedua-duanya saling berkaitan. Persoalannya ialah, mengapakah anda dapat berharap kepada Tuhan?

Asas Harapan yang Kukuh

Yehuwalah sumber harapan yang sejati. Sejak dahulu lagi, Yehuwa dipanggil “harapan Israel.” (Yeremia 14:8) Umat Israel memang dapat percaya harapan daripada Tuhan. Mengapa? Kerana selama ratusan tahun, Dia tidak pernah memungkiri janji-Nya. Yosua kata kepada orang Israel, ‘Kamu semua memang tahu bahawa tiada satu pun antara semua perkara baik yang dijanjikan oleh Yehuwa, Tuhan kamu, kepada kamu telah gagal ditunaikan.’​—Yosua 23:14.

Walaupun ribuan tahun telah berlalu, Yehuwa tetap boleh dipercayai. Daripada sejarah, kita lihat banyak janji dan nubuat dalam Bible telah menjadi kenyataan. Memandangkan janji Yehuwa pasti ditunaikan, ada kalanya penulis Bible mencatatkan janji-Nya seolah-olah hal itu sudah berlaku.

Sememangnya, Bible ialah sebuah buku yang memberi harapan. Apabila kita mengkaji cara Tuhan memperlakukan umat-Nya, kita akan sedar bahawa Yehuwa memang dapat dipercayai. Hasilnya, harapan kita akan menjadi semakin kukuh. Rasul Paulus menulis, “Segala yang tertulis sejak dahulu lagi ditulis untuk mengajar kita, supaya kita memiliki harapan kerana Ayat-Ayat Suci melegakan hati kita dan membantu kita bertabah hati.”​—Roma 15:4.

Apakah Harapan yang Tuhan Janjikan?

Setiap orang mempunyai satu musuh yang tidak dapat dikalahkan, iaitu maut. Apabila kita atau orang yang tersayang berdepan dengan ancaman maut, itulah masanya kita sangat memerlukan harapan. Memandangkan tiada orang dapat melepaskan diri daripada kematian, Bible menyebutnya sebagai “musuh terakhir” kita.​—1 Korintus 15:26.

Bagaimanakah harapan dapat membantu kita semasa berdepan dengan kematian? Bible menjanjikan bahawa musuh terakhir itu “akan dilenyapkan.” Dapatkah Yehuwa menewaskan maut? Sudah tentu! Bagaimana? Dengan membangkitkan orang yang sudah mati. Terdapat sembilan contoh pembangkitan yang dicatatkan dalam Bible.

Salah satu contoh yang menakjubkan adalah semasa Yehuwa memberi Yesus kuasa untuk membangkitkan Lazarus. Walaupun Lazarus telah mati selama empat hari, Yesus telah membangkitkannya di hadapan ramai orang.​—Yohanes 11:38-48, 53; 12:9, 10.

Anda mungkin tertanya-tanya, “Apa gunanya orang dibangkitkan? Akhirnya mereka mati juga.” Walaupun itu benar, Yehuwa memastikan kisah pembangkitan dicatatkan dalam Bible untuk meneguhkan harapan kita. Kisah-kisah ini ialah bukti bahawa harapan pembangkitan bukanlah janji kosong.

Yesus kata, “Akulah pembangkitan dan kehidupan.” (Yohanes 11:25) Dia akan diberi kuasa daripada Yehuwa untuk membangkitkan orang di seluruh dunia. Bible kata, “Masanya akan tiba apabila semua orang di dalam makam peringatan akan mendengar suara [Kristus] lalu keluar.” (Yohanes 5:28, 29) Ya, semua orang yang tidur dalam kematian ada harapan untuk dibangkitkan di bumi firdaus.

Apakah keadaan pada masa itu? Nabi Yesaya menulis, “Umat-Mu yang sudah mati akan hidup semula! Mayat mereka akan bangkit semula. Semua yang sudah dimasukkan ke dalam kubur, akan bangun dan bernyanyi dengan sukacita. Seperti embun yang berkilau-kilau menyegarkan bumi, demikian juga Tuhan akan menghidupkan mereka yang sudah lama mati.”​—Yesaya 26:19, Alkitab Berita Baik.

Tidakkah kata-kata itu melegakan anda? Orang kesayangan kita yang sudah meninggal sedang menantikan masanya untuk dibangkitkan. Buat masa sekarang, mereka berada di tempat yang paling selamat, iaitu dalam ingatan Tuhan Yang Maha Kuasa. (Lukas 20:37, 38) Sepertimana bayi yang baru lahir disambut dengan penuh kasih dan sukacita, orang tersayang kita yang dihidupkan semula juga akan disambut dengan tangisan kegembiraan.

Apakah Manfaat Harapan bagi Anda?

Rasul Paulus menyatakan bahawa harapan adalah seperti topi besi. (1 Tesalonika 5:8) Ini ialah bahagian yang penting dalam seluruh perlengkapan perang rohani. Apakah maksudnya? Pada zaman dulu, askar akan memakai topi besi untuk melindungi kepalanya semasa berperang. Begitu juga, harapan adalah seperti topi besi rohani yang dapat melindungi fikiran kita. Semasa ditimpa masalah, kita tidak akan cepat tawar hati dan hilang semangat. Sebaliknya, kita akan tetap bertenang dan berharap pada janji Tuhan.

Paulus juga menggambarkan harapan sebagai “sauh bagi jiwa kita.” (Ibrani 6:19) Paulus tahu betapa pentingnya sauh bagi kapal. Hal ini kerana dia sendiri pernah mengalami nahas kapal laut beberapa kali. Bagaimanakah sauh dapat membantu kapal? Semasa badai melanda, pelaut akan menurunkan sauh ke dasar laut agar kapal tidak hanyut dibawa arus.

Janji-janji Tuhan ialah harapan yang “teguh dan pasti.” Jika kita terus berpegang padanya, kita dapat mengharungi ribut badai hidup. Yehuwa berjanji bahawa tidak lama lagi, kita tidak akan mengalami perang, jenayah, kesedihan, dan kematian. (Lihat kotak pada muka surat 10.) Harapan daripada Tuhan juga membantu kita untuk mengelakkan perbuatan tidak bermoral yang berleluasa hari ini. Sebaliknya, kita akan hidup mengikut haluan Tuhan.

Yehuwa menawarkan harapan ini kepada anda juga. Dia mahu anda menikmati masa depan yang indah itu. Bible kata, Tuhan mahu “segala macam orang diselamatkan.” Namun, apakah yang harus kita lakukan? Kita mesti “memperoleh pengetahuan yang tepat tentang kebenaran.” (1 Timotius 2:4) Maka, berusahalah untuk menimba pengetahuan tentang kebenaran Bible dan belajarlah tentang harapan Tuhan yang menakjubkan.

Dengan adanya harapan ini, Tuhan akan memberi anda kekuatan untuk mencapai matlamat hidup yang selaras dengan haluan-Nya. (2 Korintus 4:7; Filipi 4:13) Jadi janganlah putus asa. Harapan yang sejati memang wujud dan dapat menjadi milik anda!

[Kotak/Gambar pada muka surat 10]

Sebab-Sebab untuk Memiliki Harapan

Ayat-ayat Bible ini dapat mengukuhkan harapan anda:

Tuhan menjanjikan masa depan yang gembira.

Bible berkata bahawa bumi akan menjadi sebuah tempat yang cantik. Manusia akan bersatu padu dan hidup gembira.​—Mazmur 37:11, 29; Yesaya 25:8; Wahyu 21:3, 4.

Tuhan tidak dapat bercakap bohong.

Perbuatan membohong atau memperdaya orang lain sangat dibenci Tuhan. Tuhan Yehuwa suci dan tidak dapat berdusta.​—Amsal 6:16-19; Yesaya 6:2, 3; Titus 1:2; Ibrani 6:18.

Kuasa Tuhan tiada batasnya.

Yehuwalah satu-satunya Tuhan yang maha kuasa. Tiada apa-apa yang dapat menghalang janji-Nya daripada ditunaikan.​—Keluaran 15:11; Yesaya 40:25, 26.

Tuhan mahu anda hidup selama-lamanya.

​—Yohanes 3:16; 1 Timotius 2:3, 4.

Tuhan tidak putus harapan terhadap kita.

Yehuwa melihat sifat baik dan usaha kita. Dia tidak bertumpu kepada kelemahan atau kesalahan kita. (Mazmur 103:12-14; 130:3; Ibrani 6:10) Dia berharap agar kita buat apa yang benar dan Dia senang hati jika kita berbuat demikian.​—Amsal 27:11.

Tuhan akan membantu anda melakukan hal-hal yang selaras dengan kehendak-Nya.

Orang yang setia kepada Tuhan tidak akan hilang harapan. Tuhan sentiasa memberi kita kuasa suci-Nya, iaitu kuasa yang paling hebat di seluruh alam semesta.​—Filipi 4:13.

Tuhan tidak akan mengecewakan kita.

Tuhan boleh dipercayai dan Dia tidak akan menghampakan anda.​—Mazmur 25:3.

[Gambar pada muka surat 12]

Sepertimana topi besi melindungi kepala, harapan melindungi fikiran

[Gambar pada muka surat 12]

Harapan yang teguh bagaikan sauh

[Sumber]

Courtesy René Seindal/Su concessione del Museo Archeologico Regionale A. Salinas di Palermo