Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

CARA MENANGANI STRES

Apakah Itu Stres?

Apakah Itu Stres?

Stres merupakan reaksi tubuh anda terhadap situasi yang mencabar. Otak anda akan memberikan isyarat supaya hormon dihantar ke seluruh sistem badan. Hormon-hormon itu akan meningkatkan kadar denyutan jantung, pernafasan, dan tekanan darah, dan membuat otot anda menjadi tegang. Sebelum anda menyedari apa yang berlaku, tubuh anda sudah bersedia untuk bertindak. Apabila situasi yang mencabar itu berlalu, keadaan tubuh anda akan kembali seperti biasa.

STRES YANG BAIK DAN YANG BURUK

Stres merupakan gerak balas semula jadi yang membolehkan anda bersedia menghadapi situasi yang mencabar atau bahaya. Gerak balas ini bermula dalam otak. Stres yang baik dapat membantu anda bertindak dengan segera. Stres yang positif juga dapat membantu anda mencapai tujuan anda dan meningkatkan prestasi anda, contohnya semasa peperiksaan, temu duga, atau bersukan.

Namun, stres yang berpanjangan atau ekstrem memudaratkan. Jika tubuh anda selalu berada dalam keadaan tertekan, hal itu mungkin membawa masalah fizikal, emosi, dan mental. Kelakuan anda, termasuk cara anda melayan orang lain, mungkin berubah. Orang yang mengalami stres secara berpanjangan biasanya lebih mudah terjebak dalam tabiat-tabiat buruk seperti mabuk, mengambil dadah, merokok, dan sebagainya. Stres sebegini bahkan dapat menyebabkan kemurungan, kelesuan (burnout), dan keinginan untuk membunuh diri.

Kesan stres terhadap setiap orang berbeza-beza, tetapi stres dapat menyebabkan pelbagai jenis penyakit dan mempengaruhi hampir setiap bahagian tubuh.