Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Pengenalan

Pengenalan

BUKU ini mengandungi cerita-cerita benar. Cerita-cerita ini diambil daripada buku yang terulung di dunia, iaitu Bible. Cerita-cerita ini mengisahkan sejarah dunia dari masa Tuhan mula-mula mencipta segala sesuatu sehingga masa kini. Cerita-cerita ini juga memberitahu kita tentang apa yang akan dilakukan oleh Tuhan pada masa hadapan.

Buku ini memberi adik sedikit sebanyak pengetahuan tentang apa yang terkandung di dalam Bible. Buku ini memberitahu kita tentang manusia yang hidup pada zaman Bible dan perkara-perkara yang telah dilakukan oleh mereka. Buku ini juga memberitahu kita tentang harapan yang telah diberikan oleh Tuhan kepada manusia, iaitu harapan untuk menikmati kehidupan kekal di dalam firdaus di bumi.

Terdapat 116 buah cerita di dalam buku ini. Cerita-cerita ini dibahagikan kepada lapan bahagian. Muka surat pertama setiap bahagian memberitahu kita secara ringkas tentang apa yang terkandung di dalam bahagian tersebut. Cerita-cerita ini disusun mengikut urutan sejarah. Hal ini membantu adik mengetahui bila sesuatu peristiwa terjadi berbanding dengan peristiwa-peristiwa lain dalam sejarah.

Cerita-cerita ini ditulis dalam bahasa yang mudah difahami. Adik-adik boleh membaca cerita-cerita ini sendiri. Ibu bapa yang membaca buku ini kepada anak-anak mereka akan mendapati bahawa anak-anak mereka suka mendengar cerita-cerita ini berulang kali. Buku ini dapat menarik minat sesiapa pun, baik yang muda mahupun yang tua.

Pada akhir setiap cerita terdapat ayat-ayat rujukan daripada Bible. Adik digalakkan untuk membaca ayat-ayat tersebut. Selepas membaca setiap cerita, adik juga digalakkan untuk mencari jawapan kepada soalan-soalan bagi cerita berkenaan. Soalan pembelajaran ini terdapat selepas Cerita 116.