Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

CERITA 1

Tuhan Menciptakan Segala Sesuatu

Tuhan Menciptakan Segala Sesuatu

SEGALA sesuatu yang baik datang daripada Tuhan. Dia telah menciptakan matahari untuk memberi kita cahaya pada waktu siang, dan bulan serta bintang-bintang supaya kita mempunyai sedikit cahaya pada waktu malam. Tuhan juga menciptakan bumi untuk kita.

Tetapi matahari, bulan, bintang-bintang, dan bumi bukanlah ciptaan Tuhan yang pertama. Tahukah adik apa ciptaan Tuhan yang pertama? Mula-mula, Tuhan menciptakan makhluk-makhluk yang mempunyai tubuh seperti diri-Nya. Sepertimana kita tidak dapat melihat Tuhan, kita juga tidak dapat melihat makhluk-makhluk ini. Dalam Bible, makhluk-makhluk ini dipanggil malaikat. Tuhan menciptakan malaikat untuk hidup bersama-sama-Nya di syurga.

Malaikat pertama yang diciptakan oleh Tuhan merupakan malaikat yang sangat istimewa. Dia ialah Anak Sulung Tuhan. Dia bekerja bersama-sama Bapanya. Dia membantu Tuhan untuk menciptakan segala sesuatu. Dia telah membantu Tuhan menciptakan matahari, bulan, bintang-bintang, dan bumi kita.

Apakah keadaan bumi pada masa itu? Pada mulanya, tidak ada sesiapa pun yang dapat hidup di bumi. Tiada apa-apa yang didapati di bumi selain daripada sebuah lautan yang besar. Tetapi, Tuhan mahu manusia hidup di bumi. Jadi, apakah yang telah dilakukan oleh Tuhan? Dia mula menyediakan bumi ini untuk dijadikan sebagai tempat tinggal kita.

Mula-mula, bumi memerlukan cahaya. Jadi, Tuhan telah membenarkan cahaya daripada matahari untuk menyinari bumi. Tuhan memastikan bumi mengalami waktu malam dan waktu siang. Kemudian, Tuhan menyebabkan darat timbul dari lautan.

Pada masa itu, tidak ada apa-apa yang ada di atas daratan. Bumi adalah seperti apa yang adik dapat lihat dalam gambar ini. Tidak ada bunga, pokok, atau binatang di bumi. Malah tidak ada seekor ikan pun yang boleh dijumpai di dalam lautan. Oleh itu, banyak kerja perlu dilakukan oleh Tuhan supaya bumi ini menjadi cantik dan sesuai sebagai tempat tinggal bagi manusia dan binatang.