Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

CERITA 12

Manusia Membina Menara Besar

Manusia Membina Menara Besar

BERTAHUN-TAHUN telah berlalu. Cucu-cucu Nuh semakin banyak. Cucu-cucu Nuh menjadi dewasa dan mereka juga mempunyai anak-anak sendiri. Maka, tidak lama kemudian, terdapat banyak orang di bumi.

Salah seorang cicit Nuh bernama Nimrod. Dia seorang lelaki yang jahat. Dia memburu dan membunuh binatang serta manusia. Nimrod juga menjadikan dirinya sebagai raja supaya dia dapat memerintah orang lain. Tuhan tidak suka akan Nimrod.

Semua orang yang hidup pada masa itu menggunakan satu bahasa sahaja. Nimrod mahu mereka tinggal di tempat yang sama supaya dia dapat memerintah mereka. Tahukah adik apa yang telah dibuat olehnya? Dia menyuruh mereka membina sebuah kota yang mempunyai sebuah menara yang besar. Lihatlah gambar ini. Mereka sedang membuat batu bata.

Tuhan Yehuwa tidak suka akan pembinaan bangunan ini. Tuhan tidak mahu semua orang hidup di satu tempat sahaja. Dia mahu orang tinggal di seluruh bumi. Tetapi, mereka berkata, “Marilah kita bina sebuah kota dengan sebuah menara yang puncaknya sampai ke langit dan kita akan menjadi masyhur!” Mereka hendak memuliakan diri mereka dan bukannya Tuhan.

Jadi, Tuhan telah menghentikan kerja pembinaan menara itu. Tahukah adik bagaimana Tuhan melakukan hal ini? Dengan tiba-tiba, Dia telah menyebabkan mereka bercakap dalam bahasa-bahasa yang berlainan. Jadi, pembina-pembina menara itu tidak memahami satu sama lain lagi. Inilah sebabnya kota mereka dipanggil Babel atau Babilon, yang bermaksud “Kekeliruan.”

Sekarang, mereka mula meninggalkan Babel. Mereka berpindah ke tempat-tempat yang berlainan di bumi. Mereka yang bercakap dalam bahasa yang sama tinggal di tempat yang sama.