Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

CERITA 15

Isteri Lot Menoleh ke Belakang

Isteri Lot Menoleh ke Belakang

LOT dan keluarganya tinggal di Kanaan bersama-sama Abraham. Pada suatu hari, Abraham berkata kepada Lot, “Tanah di sini tidak cukup luas untuk binatang-binatang ternakan kita. Oleh itu, adalah lebih baik jika kita berpisah. Pilihlah kawasan yang kamu suka. Jika kamu pergi ke sebelah sini, aku akan pergi ke sebelah sana.”

Jadi, Lot memandang sekelilingnya. Dia nampak sebuah kawasan yang cantik yang mempunyai banyak air dan rumput segar bagi binatang-binatangnya. Tempat ini ialah Daerah Yordan. Maka, Lot berpindah ke sana dengan keluarganya dan binatang-binatangnya. Mereka akhirnya menetap di kota Sodom.

Penduduk di Sodom sangat jahat. Apabila Lot melihat apa yang berlaku di sekelilingnya, dia berasa susah hati kerana dia seorang lelaki yang baik. Tuhan juga berasa susah hati. Akhirnya, Tuhan menghantar dua malaikat untuk memberitahu Lot bahawa Dia akan memusnahkan Sodom dan sebuah kota yang berhampiran, yang dipanggil Gomora kerana penduduk-penduduk di sana sangat jahat.

Malaikat-malaikat ini berkata kepada Lot, “Cepat! Bawalah isteri dan kedua-dua orang anak perempuanmu dan pergilah dari sini!” Tetapi, Lot dan keluarganya lambat meninggalkan kota itu. Jadi malaikat-malaikat ini memegang tangan mereka lalu membawa mereka keluar dari kota itu. Kemudian, salah satu malaikat berkata, “Larilah, selamatkanlah diri kamu! Jangan menoleh ke belakang. Larilah ke kawasan pergunungan supaya kamu tidak terbunuh.”

Lot dan anak-anak perempuannya mengikut kata-kata malaikat itu lalu berlari meninggalkan Sodom. Mereka tidak berhenti, dan mereka tidak menoleh ke belakang. Tetapi isteri Lot tidak mengikut kata-kata malaikat itu. Selepas mereka sudah berada agak jauh dari Sodom, isteri Lot berhenti dan menoleh ke belakang. Oleh itu, isteri Lot menjadi tiang garam. Bolehkah adik nampak isteri Lot di dalam gambar ini?

Apakah pengajaran yang boleh kita ambil daripada cerita ini? Ya, Tuhan akan menyelamatkan mereka yang taat kepada-Nya. Tetapi, mereka yang tidak taat kepada-Nya akan kehilangan nyawa mereka.