Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

CERITA 18

Yakub Pergi ke Haran

Yakub Pergi ke Haran

YAKUB sedang bercakap dengan beberapa orang lelaki. Tahukah adik siapa mereka? Selepas perjalanan Yakub yang mengambil masa berhari-hari lamanya, Yakub telah berjumpa dengan mereka di sebuah perigi. Pada masa itu, mereka sedang menjaga biri-biri. Yakub menanya mereka, “Dari manakah kamu datang?”

“Dari Haran,” jawab mereka.

Yakub bertanya lagi, “Adakah kamu kenal akan Laban?”

“Ya, kami kenal dia,” jawab mereka. “Lihat! Itu dia Rahel, anak perempuan Laban. Dia sedang membawa ternakan bapanya ke perigi ini.” Bolehkah adik nampak Rahel yang sedang berjalan ke arah mereka?

Apabila Yakub nampak Rahel dengan biri-biri Laban, bapa saudaranya, dia menggulingkan batu yang menutup perigi ke tepi supaya biri-biri itu dapat minum. Kemudian, Yakub mencium Rahel lalu memperkenalkan dirinya. Rahel berasa sangat gembira. Dia berlari pulang untuk memberitahukan hal ini kepada bapanya, Laban.

Laban berbesar hati kerana Yakub setuju untuk tinggal di rumahnya. Apabila Yakub memberitahu Laban bahawa dia ingin mengahwini Rahel, Laban berasa sangat gembira. Tetapi, dia meminta Yakub untuk bekerja di ladangnya selama tujuh tahun. Oleh sebab Yakub mencintai Rahel dengan mendalam, dia sanggup berbuat demikian. Namun begitu, apabila tiba masanya bagi Yakub untuk mengahwini Rahel, tahukah adik apa yang berlaku?

Laban sepatutnya memberikan Rahel kepada Yakub. Tetapi, dia telah memberikan Lea, iaitu kakak Rahel kepada Yakub. Namun begitu, apabila Yakub bersetuju untuk bekerja di ladang Laban selama tujuh tahun lagi, Laban memberikan Rahel kepada Yakub sebagai isterinya juga. Pada masa itu, Tuhan membenarkan seorang lelaki untuk mempunyai lebih daripada seorang isteri. Tetapi sekarang, seperti yang dinyatakan dalam Bible, seorang lelaki harus mempunyai seorang isteri sahaja.