Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

CERITA 23

Mimpi-Mimpi Firaun

Mimpi-Mimpi Firaun

DUA tahun telah berlalu dan Yusuf masih berada di dalam penjara. Pengurus minuman Firaun masih tidak ingat akan Yusuf. Kemudian, pada suatu malam, Firaun mengalami dua mimpi yang sangat istimewa. Dia tertanya-tanya akan erti mimpinya. Bolehkah adik lihat Firaun yang sedang tidur dalam gambar ini? Pada keesokan pagi, Firaun memanggil semua orang yang berilmu di Mesir lalu memberitahu mereka mimpinya. Tetapi mereka tidak dapat menjelaskan erti mimpinya.

Pada ketika itu, pengurus minuman Firaun teringat akan Yusuf. Dia berkata kepada Firaun, “Apabila hamba berada di penjara, ada seorang lelaki di sana yang dapat menjelaskan erti mimpi-mimpi.” Dengan serta-merta, Firaun memberi perintah supaya Yusuf dikeluarkan dari penjara.

Firaun memberitahu Yusuf mimpinya, “Beta nampak tujuh ekor lembu yang gemuk dan cantik. Kemudian, beta nampak tujuh ekor lembu yang kurus kering. Lembu-lembu yang kurus itu memakan lembu-lembu yang gemuk.”

“Dalam mimpi beta yang kedua, beta nampak tujuh bulir gandum yang berisi dan masak pada satu tangkai. Kemudian, beta nampak tujuh lagi bulir gandum yang kempis dan layu. Bulir yang kempis itu menelan ketujuh-tujuh bulir gandum yang berisi.”

Yusuf berkata kepada Firaun, “Kedua-dua mimpi Firaun membawa erti yang sama. Tujuh ekor lembu yang gemuk dan tujuh bulir gandum yang berisi melambangkan tujuh tahun, sementara tujuh ekor lembu yang kurus dan tujuh bulir gandum yang kempis melambangkan tujuh tahun lagi. Seluruh Mesir akan kelimpahan makanan selama tujuh tahun. Sangat sedikit makanan akan dihasilkan selama tujuh tahun yang berikutnya.”

Selanjutnya Yusuf memberitahu Firaun, “Pilihlah seorang lelaki yang bijaksana dan berinya kuasa untuk memungut makanan selama tujuh tahun yang pertama. Dengan berbuat demikian, orang tidak akan kebuluran pada tujuh tahun yang berikutnya apabila hanya sedikit makanan boleh didapati.”

Firaun suka akan cadangan Yusuf. Dia melantik Yusuf untuk memungut dan menyimpan makanan. Jadi, Yusuf menjadi orang yang kedua penting di Mesir.

Lapan tahun kemudian, pada masa kebuluran, Yusuf nampak beberapa orang lelaki datang ke Mesir. Tahukah adik siapa mereka? Rupa-rupanya, mereka ialah abang-abangnya! Ayah mereka, Yakub telah menyuruh mereka pergi ke Mesir kerana mereka hampir kehabisan makanan di Kanaan. Yusuf mengenal kesemua sepuluh orang abangnya tetapi mereka tidak mengenalnya. Tahukah adik mengapa mereka tidak kenal Yusuf? Hal ini adalah kerana Yusuf lebih tua sekarang dan pakaiannya juga berbeza.

Yusuf teringat akan mimpinya sewaktu dia masih seorang budak. Dalam mimpinya, abang-abangnya telah bersujud kepadanya. Adakah adik masih ingat akan mimpi tersebut? Yusuf sedar bahawa Tuhanlah yang telah menghantarnya ke Mesir atas sebab yang baik. Apakah yang dilakukan oleh Yusuf? Marilah kita lihat.