Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

CERITA 30

Pokok Kecil yang Bernyala

Pokok Kecil yang Bernyala

MUSA telah datang dari jauh ke Gunung Horeb untuk mencari rumput bagi biri-birinya. Di sini, dia nampak sepohon pokok kecil yang bernyala. Tetapi, pokok itu tidak terbakar!

“Aneh!” fikir Musa. “Biarlah aku pergi lebih dekat supaya aku dapat lihat dengan jelas.” Apabila dia berbuat demikian, kedengaran suatu suara dari pohon kecil itu berkata, “Jangan datang lebih dekat lagi. Tanggalkan kasutmu kerana engkau sedang berdiri di atas tanah yang suci.” Pada ketika itu, Musa menutup mukanya kerana Tuhanlah yang sedang bercakap menerusi malaikat-Nya.

Kemudian Tuhan berkata, “Aku telah nampak penderitaan umat-Ku di Mesir. Maka, Aku akan membebaskan mereka dan Aku akan menghantar engkau untuk membawa umat-Ku keluar dari Mesir.” Yehuwa akan membawa umat-Nya ke sebuah negeri yang cantik yang dipanggil Kanaan.

Tetapi Musa berkata, “Aku cuma seorang manusia biasa. Bagaimanakah aku akan lakukan hal ini? Jikalau aku pergi ke Mesir dan orang Israel bertanya, ‘Siapakah yang menghantar kamu?’ Apakah yang harus aku katakan kepada mereka?”

Yehuwa menjawab, “Beritahulah mereka bahawa Aku, YEHUWA, Tuhan Abraham, Ishak, dan Yakub telah menghantar engkau kepada mereka.” Kemudian, Yehuwa berkata lagi, “Inilah nama-Ku untuk selama-lamanya.”

“Tetapi, bagaimana pula jika mereka tidak mempercayai aku walaupun aku memberitahu mereka bahawa Engkaulah yang menghantar aku?” tanya Musa lagi.

“Apakah yang engkau pegang itu?” Tuhan bertanya.

Musa menjawab, “Sebatang tongkat.”

“Campakkanlah tongkat itu ke tanah,” kata Tuhan. Apabila Musa berbuat demikian, tongkatnya menjadi seekor ular. Selepas itu, Yehuwa menunjukkan satu lagi mukjizat kepada Musa. Dia berkata, “Masukkanlah tanganmu ke dalam jubahmu.” Musa memasukkan tangannya ke dalam jubahnya, dan apabila dia mengeluarkan tangannya, tangannya kelihatan putih seperti salji! Tangannya seolah-olah telah dijangkiti sejenis penyakit teruk yang dipanggil penyakit kusta. Seterusnya, Yehuwa memberi Musa kuasa untuk melakukan mukjizat yang ketiga. Kemudian Dia berkata, “Apabila engkau melakukan mukjizat-mukjizat ini, orang Israel akan percaya bahawa Akulah yang menghantarmu.”

Selepas itu, Musa balik ke rumah Yitro. Dia berkata kepada Yitro, “Izinkan saya pulang ke Mesir untuk melihat keadaan saudara-mara saya.” Maka Yitro mengucapkan selamat tinggal kepada Musa, dan Musa memulakan perjalanannya ke Mesir.