Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

CERITA 34

Makanan yang Baru

Makanan yang Baru

TAHUKAH adik apa yang sedang dipungut oleh orang dalam gambar ini? Rupanya seperti salji, warnanya putih, saiznya kecil, dan bentuknya leper. Namun begitu, benda itu bukanlah salji tetapi merupakan sejenis makanan.

Kira-kira sebulan sahaja telah berlalu semenjak orang Israel meninggalkan Mesir. Sekarang, mereka berada di padang belantara. Hanya sedikit tumbuh-tumbuhan yang boleh tumbuh di sini. Jadi mereka bersungut, “Lebih baik kami dibunuh oleh Yehuwa di Mesir. Di sana, sekurang-kurangnya kami dapat makan apa-apa sahaja yang kami inginkan.”

Oleh itu, Yehuwa berkata, “Aku akan menghujani kamu dengan makanan dari langit.” Dan apa yang dikatakan oleh Tuhan telah berlaku! Pada pagi yang berikutnya, orang Israel nampak benda-benda putih di atas tanah yang telah jatuh dari langit. Mereka menanya satu sama lain, “Apakah benda ini?”

Musa memberitahu mereka, “Inilah makanan yang diberikan oleh Yehuwa kepada kamu.” Mereka menamakan makanan itu MANNA. Rasa manna adalah seperti kuih nipis yang dibuat dengan madu.

Musa memberitahu mereka lagi, “Tiap-tiap orang boleh mengumpulkan seberapa banyak manna yang diperlukan untuk dirinya.” Jadi, setiap pagi mereka mengumpulkan manna yang diperlukan. Kemudian, apabila matahari keluar dan cuaca menjadi semakin panas, manna yang tertinggal di atas tanah mencair.

Musa juga memberitahu mereka, “Tiada sesiapa boleh menyimpan manna walau sedikit pun sehingga esok.” Tetapi terdapat beberapa orang yang tidak mendengar kata-kata Musa. Tahukah adik apa yang telah berlaku? Pada keesokan paginya, manna yang telah disimpan itu dipenuhi ulat dan mula berbau busuk!

Namun begitu, pada hari yang keenam, Yehuwa menyuruh mereka mengumpulkan dua kali lebih banyak manna daripada apa yang biasa dikumpulkan. Yehuwa menyuruh mereka menyimpan manna ini sehingga hari yang berikutnya kerana Dia tidak akan menghujani manna pada hari ketujuh. Manna yang disimpan sehingga hari ketujuh tidak dipenuhi ulat dan tidak berbau busuk! Satu lagi mukjizat telah berlaku!

Sepanjang masa orang Israel berada di padang belantara, Yehuwa memberi mereka manna sebagai makanan.