Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

CERITA 37

Khemah untuk Menyembah Tuhan

Khemah untuk Menyembah Tuhan

ADAKAH adik tahu apa binaan ini? Binaan ini merupakan khemah khas yang digunakan untuk menyembah Yehuwa. Binaan ini dipanggil khemah suci. Binaan ini siap didirikan oleh orang Israel setahun selepas mereka meninggalkan Mesir. Tahukah adik siapa yang mencadangkan kerja pembinaan ini?

Cadangan untuk membangunkan khemah ini merupakan cadangan Yehuwa. Semasa Musa berada di atas Gunung Sinai, Yehuwa telah memberitahu Musa cara untuk membina khemah ini. Yehuwa menyuruh Musa membina khemah ini supaya dapat diceraikan dengan mudah. Dengan cara ini khemah ini dapat dibawa ke tempat yang lain dan dipasangkan semula. Jadi, apabila orang Israel berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain di padang belantara, mereka dapat membawa khemah ini bersama-sama mereka.

Jika adik melihat ke dalam bilik kecil yang terletak di hujung khemah ini, adik boleh melihat sebuah kotak, atau peti. Kotak ini dipanggil tabut perjanjian. Dua malaikat atau kerub yang diperbuat daripada emas diletakkan pada penutup tabut ini. Terdapat satu malaikat pada setiap hujung penutup tabut. Di dalam tabut perjanjian ini terdapat dua keping batu leper yang mengandungi Sepuluh Hukum. Batu-batu leper ini telah ditulis semula oleh Yehuwa selepas Musa memecahkan kedua-dua keping batu leper yang pertama. Di dalam tabut ini juga terdapat sebuah balang yang diisi dengan manna. Adakah adik masih ingat apa itu manna?

Abang Musa, Harun dipilih oleh Yehuwa untuk menjadi penghentar agung. Dia memimpin orang Israel untuk menyembah Yehuwa. Anak-anak lelakinya menjadi penghentar juga.

Sekarang, lihatlah bilik besar di dalam khemah ini. Saiznya dua kali lebih besar daripada saiz bilik yang kecil. Bolehkah adik nampak sebuah kotak, atau peti kecil yang berasap di dalam bilik itu? Inilah mazbah yang digunakan oleh para penghentar untuk membakar dupa. Dupa ialah suatu bahan yang berbau harum. Terdapat juga sebuah kaki pelita dengan tujuh buah pelita di dalam bilik itu. Benda ketiga yang terdapat di dalam bilik tersebut ialah sebuah meja. Dua belas buku roti diletakkan di atas meja itu.

Terdapat sebuah mangkuk besar, atau sebuah besen yang dipenuhi air di halaman khemah suci. Para penghentar mencuci tangan dan kaki mereka di sini. Di halaman khemah ini ada sebuah mazbah yang besar juga. Binatang-binatang yang telah disembelih dibakar sebagai korban kepada Yehuwa di sini. Khemah suci ini terletak di tengah-tengah kawasan perkhemahan orang Israel.