Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

CERITA 44

Rahab dan Pengintip-pengintip

Rahab dan Pengintip-pengintip

KEDUA-DUA orang lelaki ini menghadapi masalah yang besar. Mereka harus melarikan diri. Jika tidak, mereka akan dibunuh. Mereka merupakan pengintip berbangsa Israel manakala wanita yang sedang membantu mereka ialah Rahab. Rahab tinggal di sebuah rumah yang dibina pada tembok kota Yerikho. Marilah kita lihat mengapa kedua-dua orang lelaki ini berada dalam kesusahan.

Orang Israel sudah bersedia untuk menyeberangi Sungai Yordan dan memasuki negeri Kanaan. Tetapi sebelum mereka berbuat demikian, Yosua menghantar dua orang pengintip untuk pergi ke sana. Dia memberitahu mereka, “Pergi dan selidiki negeri Kanaan dan kota Yerikho.”

Apabila pengintip-pengintip itu sampai di kota Yerikho, mereka pergi ke rumah Rahab. Tetapi, raja Yerikho telah diberitahu, “Malam ini, dua orang lelaki Israel telah datang untuk mengintip negeri ini.” Apabila raja Yerikho mendengar hal ini, dia menghantar orang ke rumah Rahab. Mereka memberi perintah ini kepada Rahab, “Bawa keluar lelaki yang berada di dalam rumah kamu!” Sebenarnya, Rahab telah menyembunyikan pengintip-pengintip itu di atas bumbung rumahnya. Maka, dia berkata, “Memang ada beberapa orang lelaki yang datang ke rumah saya, tetapi saya tidak tahu mereka berasal dari mana. Mereka telah pergi apabila hari mula menjadi gelap, sebelum pintu gerbang kota ditutup. Cepat, kejarlah mereka supaya kamu dapat menangkap mereka!” Maka mereka pun mengejar pengintip-pengintip itu.

Selepas orang yang dihantar oleh raja telah beredar, Rahab segera naik ke bumbung rumahnya. “Aku tahu Yehuwa akan memberi negeri ini kepada kamu,” dia memberitahu pengintip-pengintip itu. “Kami mendengar bahawa Dia telah mengeringkan Laut Merah semasa kamu meninggalkan Mesir. Kami juga mendengar bahawa kamu telah membunuh Raja Sihon dan Raja Og. Aku telah memperlakukan kamu dengan baik. Oleh itu, berjanjilah kepada aku bahawa kamu akan memperlakukan aku dengan baik. Selamatkanlah ibu bapa dan adik-beradikku.”

Pengintip-pengintip itu berjanji bahawa mereka akan menyelamatkan keluarga Rahab. Tetapi, Rahab perlu melakukan sesuatu. “Ambil dan ikatkan tali merah ini pada tingkap rumahmu dan kumpulkanlah semua saudara-mara kamu di dalam rumahmu,” kata pengintip-pengintip itu. “Semasa kami kembali untuk menawan Yerikho, kami akan melihat tali ini pada tingkap kamu dan kami tidak akan membunuh sesiapa pun yang berada di dalam rumah kamu.” Apabila kedua-dua orang pengintip kembali untuk menemui Yosua, mereka memberitahunya segala-gala yang telah berlaku.