Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

CERITA 47

Seorang Pencuri di Israel

Seorang Pencuri di Israel

LIHAT! Apakah yang sedang disembunyikan oleh lelaki ini di dalam khemahnya? Dia sedang menyembunyikan sehelai jubah yang cantik, seketul jongkong emas, dan beberapa kepingan perak. Barang-barang ini telah diambilnya dari kota Yerikho. Tetapi, apakah yang sepatutnya dilakukan dengan barang-barang di Yerikho? Adakah adik masih ingat akan arahan Yehuwa?

Mereka patut membakar semua benda di kota itu manakala barang yang dibuat daripada emas dan perak patut dibawa ke tempat simpanan harta benda Yehuwa di khemah suci. Jadi, orang yang kita lihat di dalam gambar ini tidak mematuhi arahan Tuhan. Mereka telah mencuri barang milik Tuhan. Nama lelaki ini ialah Akhan dan mereka yang ada bersama-samanya ialah ahli-ahli keluarganya. Marilah kita lihat apa yang telah berlaku.

Selepas Akhan mencuri barang-barang ini, Yosua menghantar beberapa orang askar Israel untuk menyerang kota Ai. Tetapi mereka telah dikalahkan. Ada dalam kalangan mereka dibunuh sementara yang lain pula melarikan diri. Yosua berasa sangat sedih. Dia berbaring dengan mukanya menghadap ke tanah sambil berdoa kepada Yehuwa, “Mengapakah Engkau mengizinkan hal ini berlaku kepada kami?”

Yehuwa menjawab, “Bangunlah! Umat Israel telah berdosa. Mereka telah mengambil barang-barang yang sepatutnya dibakar atau dibawa ke khemah suci Aku. Mereka telah mencuri dan menyembunyikan sehelai jubah yang cantik. Selagi engkau tidak memusnahkan jubah itu dan membunuh orang yang telah mengambil barang-barang itu, Aku tidak akan memberkati engkau.” Yehuwa mengatakan bahawa Dia akan menunjukkan penjahat itu kepada Yosua.

Jadi, Yosua mengumpulkan semua orang Israel dan Yehuwa menunjukkan kepada Yosua bahawa penjahat itu ialah Akhan. Akhan berkata, “Saya telah berdosa. Saya nampak sehelai jubah yang cantik, seketul jongkong emas, dan beberapa kepingan perak. Saya sangat menginginkan barang-barang ini jadi saya mengambilnya. Barang-barang ini tertanam di dalam khemah saya.”

Apabila barang-barang ini ditemui dan dibawa kepada Yosua, Yosua berkata kepada Akhan, “Mengapakah kamu mendatangkan kesusahan ke atas kami? Sekarang Yehuwa akan mendatangkan kesusahan ke atas kamu!” Maka, semua orang melontar batu pada Akhan dan keluarganya sehingga mereka mati. Tidakkah cerita ini menunjukkan bahawa kita tidak patut mengambil barang-barang bukan kepunyaan kita?

Selepas itu, orang Israel menyerang kota Ai sekali lagi. Kali ini, Yehuwa membantu umat-Nya dan mereka berjaya menawan kota itu.