Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

CERITA 53

Janji Yefta

Janji Yefta

PERNAHKAH adik berjanji dengan seseorang dan kemudiannya mendapati janji itu susah untuk ditunaikan? Demikianlah halnya dengan lelaki di dalam gambar ini. Oleh itu, dia kelihatan begitu sedih. Lelaki ini ialah seorang hakim yang berani dari Israel. Namanya Yefta.

Yefta hidup semasa orang Israel tidak menyembah Yehuwa lagi. Sekali lagi, mereka membuat perkara-perkara yang jahat. Oleh itu, Yehuwa mengizinkan orang Amon untuk menganiaya mereka. Hal ini menyebabkan orang Israel memohon bantuan Yehuwa. Mereka berkata, “Kami telah berdosa terhadap-Mu. Tolong selamatkan kami!”

Orang Israel sesal akan perkara-perkara jahat yang telah dilakukan oleh mereka. Mereka menunjukkan bahawa mereka telah insaf dengan menyembah Yehuwa semula. Maka sekali lagi, Yehuwa membantu mereka.

Yefta telah dipilih oleh orang Israel untuk melawan orang Amon yang jahat. Yefta amat mengharapkan bantuan Yehuwa untuk mendapat kemenangan dalam pertempuran itu. Jadi dia berjanji kepada Yehuwa, “Jika Engkau memberi aku kemenangan ke atas orang Amon, orang pertama yang keluar dari rumahku untuk menyambut aku apabila aku kembali dari peperangan, akan aku berikan kepada Engkau.”

Yehuwa mendengar janji Yefta dan membantunya untuk memenangi pertempuran itu. Tahukah adik siapa orang yang pertama yang keluar untuk menyambut Yefta apabila dia pulang ke rumah? Anak perempuan Yeftalah yang keluar untuk menyambutnya. Dia merupakan anak tunggalnya. “Aduhai anakku!” Yefta meraung dengan sedih. “Mengapakah anakku harus menjadikan hatiku pedih? Namun, aku telah berjanji kepada Yehuwa dan aku tidak boleh memungkiri janjiku.”

Apabila anak perempuan Yefta mendapat tahu tentang janji ayahnya, pada mulanya, dia berasa sedih juga. Dia tidak sampai hati untuk meninggalkan ayahnya dan kawan-kawannya. Walau bagaimanapun, dia akan berpeluang untuk berkhidmat di khemah suci Yehuwa di Silo sepanjang hidupnya. Maka, dia memberitahu ayahnya, “Jika ayah telah berjanji kepada Yehuwa, ayah mesti menepati janji ayah.”

Jadi, anak perempuan Yefta pergi ke Silo. Dia berkhidmat di khemah suci Yehuwa sepanjang hidupnya. Wanita-wanita di Israel melawat anak perempuan Yefta tiap-tiap tahun. Mereka akan menghabiskan empat hari bersama-samanya. Orang Israel mengasihi anak perempuan Yefta kerana dia seorang hamba Yehuwa yang baik.