Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

CERITA 54

Lelaki yang Paling Kuat

Lelaki yang Paling Kuat

TAHUKAH adik siapa lelaki yang paling kuat yang pernah hidup di bumi? Dia ialah seorang hakim yang bernama Simson. Yehuwa telah memberi Simson kekuatannya. Malah sebelum Simson dilahirkan, Yehuwa telah memberitahu ibunya, “Tidak lama lagi engkau akan melahirkan seorang anak lelaki. Dia akan memimpin orang Israel supaya mereka dibebaskan daripada kuasa orang Filistin.”

Orang Filistin merupakan orang jahat yang tinggal di  Kanaan. Orang Filistin mempunyai ramai askar, dan mereka menganiaya orang Israel. Pada suatu hari, semasa Simson dalam perjalanannya ke tempat tinggal orang Filistin, dia bersemuka dengan seekor singa besar yang sedang mengaum. Simson berjaya membunuh singa itu dengan menggunakan tangannya sahaja. Dia juga membunuh beratus-ratus orang Filistin yang jahat.

Tidak lama kemudian, Simson jatuh cinta dengan seorang wanita yang bernama Delila. Setiap seorang daripada pemimpin orang Filistin berjanji untuk memberi Delila 1,100 kepingan perak jika dia memberitahu mereka rahsia di sebalik kekuatan Simson. Delila menginginkan semua wang yang telah dijanjikan oleh mereka. Dia bukan kawan yang setia kepada Simson dan umat Tuhan. Jadi dia asyik menanya Simson apa yang menjadikannya begitu kuat.

Akhirnya, Delila berjaya memujuk Simson untuk memberitahu rahsia di sebalik kekuatannya. “Rambutku tidak pernah dipotong,” kata Simson. “Sejak lahir, Tuhan telah memilih aku untuk menjadi salah seorang hamba-Nya yang istimewa yang dipanggil orang Nazir. Jika rambutku dipotong, aku akan hilang kekuatanku.”

Jadi, apabila Delila mendapat tahu tentang hal ini, dia membuat Simson tidur di pangkuannya. Selepas itu, dia memanggil seorang lelaki untuk memotong rambut Simson. Apabila Simson terjaga daripada tidur, dia telah kehilangan kekuatannya. Kemudian, orang Filistin datang untuk menangkapnya. Mereka membutakan Simson dan menjadikannya hamba mereka.

Pada suatu hari, orang Filistin mengadakan pesta yang besar untuk menyembah Dagon, dewa mereka. Mereka membawa Simson keluar dari penjara untuk mentertawakannya. Semasa Simson berada di penjara, rambutnya telah tumbuh semula. Simson berkata kepada budak lelaki yang memimpin tangannya, “Letakkan tanganku pada tiang-tiang utama bangunan ini.” Kemudian, Simson berdoa kepada Yehuwa untuk kekuatan lalu memegang tiang-tiang di sebelah kanan dan kirinya. Dia berseru, “Biarlah aku mati bersama-sama orang Filistin ini!” Sebanyak 3,000 orang Filistin menghadiri pesta itu. Apabila Simson membongkokkan badannya dan menolak tiang-tiang itu, bangunan itu roboh. Semua orang jahat yang berada di situ mati.