Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

CERITA 55

Budak yang Berkhidmat kepada Tuhan

Budak yang Berkhidmat kepada Tuhan

BUDAK lelaki ini comel, bukan? Namanya Samuel. Lelaki yang sedang meletakkan tangannya di atas kepala Samuel ialah penghentar agung Israel yang bernama Eli. Bapa Samuel bernama Elkana dan ibunya bernama Hana. Mereka ada di sisinya. Mereka membawa Samuel untuk berjumpa dengan Eli.

Pada masa itu, usia Samuel kira-kira empat atau lima tahun sahaja. Namun begitu, dia akan tinggal di khemah suci Yehuwa bersama-sama Eli dan penghentar-penghentar yang lain. Mengapakah Elkana dan Hana menyerahkan seorang budak yang begitu kecil untuk berkhidmat kepada Yehuwa di khemah suci-Nya? Marilah kita lihat jawapannya.

Beberapa tahun sebelum ini, Hana berasa sangat sedih kerana dia tidak dapat melahirkan anak. Tetapi, dia sangat menginginkan seorang cahaya mata. Jadi, pada suatu hari, semasa Hana berada di khemah suci Yehuwa, dia berdoa, “Ya Yehuwa, jangan lupakanku! Jika Tuhan memberiku seorang anak lelaki, aku berjanji akan menyerahkannya kepada-Mu agar dia dapat berkhidmat kepada-Mu sepanjang hayatnya.”

Yehuwa menjawab doa Hana. Beberapa bulan kemudian, Hana telah melahirkan Samuel. Hana sangat mengasihi anak lelakinya. Dia mula mengajar Samuel tentang Yehuwa semenjak Samuel masih kecil lagi. Dia memberitahu suaminya, “Sebaik sahaja Samuel tidak perlu disusui lagi, aku akan membawanya ke khemah suci untuk berkhidmat kepada Yehuwa.”

Maka, Hana dan Elkana sedang melakukan hal ini, seperti yang adik boleh nampak dalam gambar. Oleh sebab Samuel dididik oleh ibu bapanya dengan begitu baik, dia berasa gembira untuk berkhidmat di khemah Yehuwa. Setiap tahun, Hana dan Elkana datang ke khemah yang istimewa ini untuk menyembah Yehuwa dan untuk melawat anak lelaki mereka. Dan setiap tahun, Hana membawa sehelai jubah baru yang tidak berlengan yang telah dijahitnya untuk Samuel.

Bertahun-tahun sudah berlalu dan Samuel terus berkhidmat kepada Yehuwa di khemah suci-Nya. Dia disukai oleh Yehuwa dan semua orang. Tetapi anak-anak lelaki Eli yang bernama Hofni dan Pinehas bukanlah orang yang baik. Mereka melakukan banyak perkara yang jahat. Mereka juga menggalakkan orang lain untuk melanggar perintah Yehuwa. Eli sepatutnya mengambil tindakan untuk memastikan bahawa mereka tidak berkhidmat sebagai penghentar lagi, tetapi Eli tidak berbuat demikian.

Walaupun Samuel yang masih muda itu melihat perkara-perkara buruk berlaku di khemah suci, dia tidak berhenti berkhidmat kepada Yehuwa. Oleh sebab orang yang benar-benar mengasihi Yehuwa pada masa itu sangatlah sedikit, Yehuwa sudah lama tidak bercakap kepada manusia. Tetapi apabila Samuel menjadi lebih besar, peristiwa berikut telah berlaku.

Samuel sedang tidur di khemah suci apabila suatu suara membangunkannya. Dia menjawab, “Ya tuan!” Maka dia bangun dan berlari mencari Eli lalu berkata, “Tuan memanggil saya maka saya datang.”

Tetapi Eli menjawab, “Aku tidak memanggil engkau. Pergilah tidur.” Jadi Samuel kembali ke tempat tidurnya.

Kemudian, Samuel terdengar namanya dipanggil untuk kali kedua. Jadi, Samuel bangun dan berlari mencari Eli sekali lagi. Dia berkata, “Tuan memanggil maka saya datang.” Tetapi Eli berkata, “Aku tidak memanggil engkau, anakku. Pergilah tidur semula.” Maka Samuel kembali ke tempat tidurnya.

“Samuel!” suara itu memanggil namanya untuk kali ketiga. Jadi Samuel berlari mencari Eli. “Kali ini sudah pasti tuan telah memanggil saya maka saya datang,” katanya. Eli sedar bahawa Yehuwalah yang sedang memanggil Samuel. Jadi dia memberitahu Samuel, “Pergilah tidur sekali lagi. Jika engkau dipanggil lagi, engkau mesti menjawab, ‘Berfirmanlah Yehuwa, hamba-Mu sedang mendengar.’”

Demikianlah jawapan Samuel apabila Yehuwa memanggilnya lagi. Yehuwa kemudiannya memberitahu Samuel bahawa Dia akan menghukum Eli dan anak-anak lelakinya. Tidak lama kemudian, Hofni dan Pinehas mati dalam pertempuran dengan orang Filistin. Sewaktu Eli mendengar apa yang telah berlaku, dia terjatuh dari tempat duduknya. Lehernya patah dan dia mati. Jadi kata-kata Yehuwa terbukti benar.

Apabila Samuel dewasa, dia menjadi hakim Israel yang terakhir. Apabila dia sudah tua, orang Israel berkata, “Lantiklah seorang raja untuk memerintah kami.” Samuel tidak mahu melakukan hal ini kerana Yehuwalah raja mereka yang sebenar. Tetapi Yehuwa menyuruh Samuel mendengar kata-kata orang Israel.