Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

CERITA 57

Tuhan Memilih Daud

Tuhan Memilih Daud

BOLEHKAH adik lihat apa yang telah berlaku? Budak lelaki ini telah menyelamatkan seekor anak biri-biri daripada seekor beruang. Beruang tersebut menangkap biri-biri ini dan hendak memakannya. Tetapi budak lelaki ini telah mengejar beruang tersebut dan menyelamatkan anak biri-biri ini. Semasa beruang tersebut berdiri untuk menyerang, budak lelaki ini memegang lehernya lalu memukulnya sampai mati! Pada suatu masa yang lain pula, dia telah menyelamatkan seekor biri-biri daripada seekor singa. Dia seorang budak yang berani, bukan? Tahukah adik siapa dia?

Budak ini ialah Daud. Dia masih muda lagi. Dia tinggal di kota Betlehem. Datuknya, Obed, merupakan anak lelaki Rut dan Boas. Adakah adik masih ingat akan mereka? Bapa Daud ialah Isai. Daud menjaga biri-biri bapanya. Daud dilahirkan sepuluh tahun selepas Yehuwa memilih Saul sebagai raja.

Pada suatu hari, Yehuwa memberitahu Samuel, “Ambillah sedikit minyak khas dan pergilah ke rumah Isai di Betlehem. Aku telah memilih salah seorang anak lelakinya untuk menjadi raja.” Apabila Samuel nampak anak sulung Isai yang bernama Eliab, Samuel berkata di dalam hatinya, “Sudah pasti dia ialah lelaki yang dipilih oleh Yehuwa.” Tetapi Yehuwa memberitahu Samuel, “Jangan perhatikan ketinggian atau kekacakannya. Bukan dia yang Aku pilih sebagai raja.”

Jadi, Isai memanggil anak lelakinya Abinadab dan membawanya kepada Samuel. Tetapi Samuel berkata, “Bukan dia. Yehuwa tidak memilihnya juga.” Seterusnya, Isai membawa anak lelakinya yang bernama Syama. “Bukan dia. Yehuwa tidak memilihnya juga,” kata Samuel. Isai membawa tujuh orang anak lelakinya untuk bertemu dengan Samuel tetapi tidak seorang pun antara mereka dipilih oleh Yehuwa. “Hanya inikah anak-anak lelakimu?” tanya Samuel.

“Masih ada seorang lagi, yang bongsu,” Isai berkata. “Tetapi dia sedang menjaga biri-biri.” Apabila Daud masuk ke dalam rumah, Samuel mendapati bahawa dia seorang pemuda yang sangat tampan. “Inilah orangnya,” Yehuwa berkata. “Tuangkan minyak ke atas kepalanya.” Samuel membuat apa yang disuruh oleh Yehuwa. Masanya akan tiba apabila Daud akan menjadi raja Israel.