Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

CERITA 58

Daud dan Goliat

Daud dan Goliat

SEKALI lagi, orang Filistin datang untuk melawan orang Israel. Tiga orang abang Daud yang tertua sedang berkhidmat dalam tentera Saul. Jadi pada suatu hari, Isai memberitahu Daud, “Bawalah biji-bijian serta beberapa buku roti dan hantarkan semua makanan ini kepada abang-abangmu. Tanyalah khabar abang-abangmu.”

Apabila Daud sampai di khemah tentera orang Israel, dia berlari ke barisan pertempuran untuk mencari abang-abangnya. Pada masa itu, gergasi Filistin yang bernama Goliat datang mengejek orang Israel. Dia melakukan perkara ini tiap-tiap pagi dan petang, selama 40 hari. Dia menjerit, “Pilihlah seorang askar untuk melawan aku. Jika dia menang dan berjaya membunuh aku, kami akan menjadi hamba kamu. Tetapi jika aku menang dan berjaya membunuhnya, kamu akan menjadi hamba kami. Aku mencabar kamu untuk memilih seorang lelaki untuk melawan aku.”

Daud menanya beberapa orang askar, “Apakah yang akan diberikan kepada lelaki yang dapat membunuh lelaki Filistin ini dan membebaskan Israel daripada penghinaan ini?”

Salah seorang daripada askar-askar itu berkata, “Saul akan memberikan orang itu banyak kekayaan. Dia juga akan mengahwinkan puterinya kepada orang itu.”

Tetapi semua orang Israel takut akan Goliat kerana saiznya sangat besar. Tingginya melebihi sembilan kaki (kira-kira tiga meter), dan seorang askar berjalan di hadapannya untuk membawa perisainya.

Sesetengah askar pergi menghadap Raja Saul lalu memberitahunya bahawa Daud hendak melawan Goliat. Tetapi Saul memberitahu Daud, “Engkau tidak berupaya melawan orang Filistin itu. Engkau masih seorang budak sedangkan dia merupakan seorang askar sepanjang hidupnya.” Daud menjawab, “Hamba pernah membunuh seekor beruang dan seekor singa yang menyerang biri-biri bapa hamba, dan lelaki Filistin ini akan menjadi seperti beruang dan singa itu. Yehuwa pasti akan membantu hamba.” Maka Saul berkata, “Pergilah. Semoga Yehuwa menyertai engkau.”

Daud pun pergi ke sebatang sungai kecil dan mengumpulkan lima biji batu yang licin lalu memasukkan batu-batu itu ke dalam begnya. Kemudian dia mengambil ali-alinya lalu keluar untuk bertemu dengan gergasi itu. Apabila Goliat melihat Daud, Goliat tidak percaya apa yang dilihat olehnya. Goliat berfikir bahawa dia dapat membunuh Daud dengan mudah sekali.

“Datanglah kepada aku,” Goliat berkata, “dan aku akan memberikan tubuhmu kepada burung dan binatang sebagai makanan.” Tetapi Daud berkata, “Engkau datang melawan aku dengan pedang, tombak, dan lembing. Tetapi aku datang dengan nama Yehuwa untuk melawan engkau. Hari ini, Yehuwa akan menyerahkan engkau ke dalam tanganku dan aku akan membunuh engkau.”

Dengan itu, Daud berlari ke arah Goliat. Dia mengeluarkan sebiji batu daripada begnya, meletakkan batu itu pada ali-alinya, dan melontarkan batu itu dengan sekuat-kuat hatinya. Batu itu mengena kepala Goliat lalu dia jatuh dan mati! Apabila orang Filistin nampak pahlawan mereka rebah di atas tanah, mereka berundur lalu melarikan diri. Orang Israel mengejar mereka dan menang dalam pertempuran itu.