Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

CERITA 64

Salomo Membina Rumah Tuhan

Salomo Membina Rumah Tuhan

SEBELUM Daud meninggal, dia memberi Salomo pelan-pelan yang diberikan oleh Tuhan untuk membina Rumah Yehuwa. Salomo mula membina Rumah Tuhan pada tahun keempat pemerintahannya. Rumah Tuhan mengambil masa tujuh tahun setengah untuk disiapkan. Berpuluh-puluh ribu orang pekerja telah bekerja keras, dan banyak wang telah dibelanjakan untuk menyiapkan Rumah Tuhan. Hal ini adalah kerana banyak emas dan perak telah digunakan dalam kerja pembinaan ini.

Terdapat dua buah bilik yang utama di dalam Rumah Tuhan, sama seperti jumlah bilik yang terdapat di dalam khemah suci. Tetapi, bilik-bilik di dalam Rumah Tuhan adalah dua kali lebih besar daripada bilik-bilik di dalam khemah suci. Salomo meletakkan tabut perjanjian di dalam bilik yang terletak di bahagian belakang Rumah Tuhan. Barang-barang lain yang terdapat di dalam khemah suci diletakkan di dalam bilik yang satu lagi.

Apabila Rumah Tuhan tersebut disiapkan, Salomo mengadakan sebuah pesta yang besar. Seperti apa yang adik boleh lihat dalam gambar, Salomo sedang berlutut di hadapan Rumah Tuhan sambil berdoa. Dia berkata kepada Yehuwa, “Ya Tuhan, seluruh langit pun tidak cukup luas bagi-Mu, apalagi Rumah ini. Tetapi, dengarkanlah doa umat-Mu apabila mereka menghadap tempat ini dan berdoa.”

Selepas Salomo selesai berdoa, api turun dari langit dan membakar korban-korban yang telah dipersembahkan. Kemudian, cahaya yang terang daripada Yehuwa memenuhi Rumah Tuhan. Hal ini menunjukkan bahawa Yehuwa sedang mendengar doa Salomo dan Dia senang hati dengan pembinaan Rumah Tuhan serta doa yang diucapkan oleh Salomo. Sekarang, Rumah Tuhan akan menjadi tempat penyembahan bagi orang Israel manakala khemah suci tidak akan digunakan lagi.

Untuk suatu jangka masa yang panjang, Salomo memerintah dengan bijak, dan rakyatnya gembira. Namun begitu, Salomo mengahwini ramai wanita dari negeri-negeri lain yang tidak menyembah Yehuwa. Bolehkah adik lihat salah seorang isterinya yang sedang menyembah berhala? Akhirnya, isteri-isterinya berjaya memujuk dia untuk menyembah tuhan-tuhan yang lain. Tahukah adik apa yang berlaku apabila Salomo menyembah tuhan-tuhan yang lain? Salomo tidak berlaku baik terhadap rakyatnya lagi. Dia menjadi kejam dan rakyatnya tidak gembira.

Hal ini menyebabkan Yehuwa sangat marah kepada Salomo. Yehuwa memberitahunya, “Aku akan mengambil kerajaanmu dan memberikannya kepada seorang lelaki yang lain. Aku tidak akan melakukan hal ini semasa kamu hidup, tetapi hal ini akan berlaku pada masa pemerintahan anakmu. Namun begitu, Aku tidak akan mengambil seluruh kerajaan Israel daripadanya.” Marilah kita lihat bagaimana hal ini berlaku.