Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

CERITA 65

Sebuah Kerajaan Dibahagikan

Sebuah Kerajaan Dibahagikan

TAHUKAH adik mengapa lelaki ini sedang mengoyak-ngoyakkan jubahnya? Yehuwalah yang telah menyuruh dia untuk berbuat demikian. Lelaki ini ialah seorang penubuat Tuhan yang bernama Ahia. Tahukah adik apa itu seorang penubuat? Seorang penubuat ialah seseorang yang digunakan oleh Tuhan untuk memberitahu umat-Nya sesuatu yang akan berlaku.

Ahia sedang bercakap dengan Yerobeam. Salomo memberi Yerobeam tugas untuk menjaga sebahagian daripada kerja pembinaannya. Apabila Ahia bertemu dengan Yerobeam di tengah jalan, Ahia melakukan sesuatu yang aneh. Dia menanggalkan jubah baru yang dipakainya lalu mengoyakkan jubahnya kepada 12 bahagian. Dia berkata kepada Yerobeam, “Ambillah sepuluh bahagian untuk dirimu.” Tahukah adik mengapa Ahia memberi Yerobeam sepuluh bahagian?

Ahia memberitahu Yerobeam bahawa Yehuwa akan mengambil kerajaan Israel daripada Salomo. Dia berkata bahawa Yehuwa akan memberikan sepuluh suku bangsa Israel kepada Yerobeam. Hal ini bermaksud anak Salomo yang bernama Rehabeam akan memerintah dua suku bangsa Israel sahaja.

Apabila Salomo mendengar apa yang telah dikatakan oleh Ahia kepada Yerobeam, dia menjadi sangat marah. Dia mencuba membunuh Yerobeam. Tetapi Yerobeam melarikan diri ke Mesir. Tidak lama kemudian, Salomo meninggal. Salomo telah menjadi raja selama 40 tahun, tetapi sekarang anak lelakinya, Rehabeam dijadikan raja. Yerobeam yang berada di Mesir kembali ke Israel apabila dia mendapat berita tentang kematian Salomo.

Walau bagaimanapun, Rehabeam bukanlah seorang raja yang baik. Dia memperlakukan rakyatnya dengan buruk. Malah, dia adalah lebih kejam daripada bapanya, Salomo. Yerobeam dan beberapa orang besar yang lain pergi menghadap Raja Rehabeam untuk memohon agar dia memperlakukan rakyatnya dengan lebih baik. Tetapi Rehabeam tidak mendengar rayuan mereka. Malahan, dia menjadi lebih kejam daripada dahulu. Jadi, orang Israel menjadikan Yerobeam raja sepuluh suku bangsa Israel. Tetapi suku Benyamin dan Yehuda masih setia kepada Rehabeam.

Yerobeam tidak mahu rakyatnya pergi ke Rumah Tuhan di Yerusalem untuk menyembah Yehuwa. Oleh itu, dia membuat dua buah patung anak lembu emas dan menyuruh rakyat dari kerajaan sepuluh suku bangsa Israel menyembah patung-patung ini. Tidak lama kemudian, wilayah kerajaan sepuluh suku bangsa Israel ini dipenuhi dengan jenayah dan kekerasan.

Kerajaan dua suku bangsa Israel juga ditimpa kesusahan. Tidak sampai lima tahun selepas Rehabeam menjadi raja, raja Mesir menyerang Yerusalem. Raja Mesir merampas banyak harta dari Rumah Yehuwa. Oleh itu, Rumah Tuhan tidak kekal seperti keadaan asalnya.