Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

CERITA 66

Izebel—Permaisuri yang Fasiq

Izebel—Permaisuri yang Fasiq

SELEPAS Raja Yerobeam meninggal, setiap raja yang memerintah kerajaan sepuluh suku bangsa Israel di utara merupakan raja yang jahat. Raja Ahab ialah raja yang paling jahat. Tahukah adik mengapa? Salah satu sebabnya ialah isterinya yang fasiq, Permaisuri Izebel.

Izebel bukanlah seorang wanita berbangsa Israel. Dia merupakan anak kepada raja Sidon. Dia menyembah tuhan yang palsu, iaitu Baal. Dia berjaya membuat Ahab dan banyak orang Israel menyembah Baal juga. Izebel membenci Yehuwa dan dia membunuh ramai daripada penubuat Yehuwa. Penubuat-penubuat yang lain pula terpaksa menyembunyikan diri di dalam gua-gua agar mereka tidak dibunuh. Jika Izebel menginginkan sesuatu, dia sanggup membunuh untuk mendapatkannya.

Pada suatu hari, Raja Ahab berasa sangat sedih. Jadi Izebel bertanya kepadanya, “Mengapakah tuanku kelihatan sedih hari ini?”

“Kata-kata Nabot mengecewakan beta,” jawab Ahab. “Beta mahu membeli ladang anggurnya. Tetapi Nabot tidak mahu memberikannya kepada beta.”

“Janganlah bimbang,” kata Izebel. “Hamba akan mendapatkan ladang itu untuk tuanku.”

Jadi, Izebel menulis surat kepada beberapa orang pemimpin kawasan kediaman Nabot. “Dapatkan beberapa orang jahat dan suruh mereka berkata bahawa Nabot telah mengutuk Tuhan dan raja,” dia memberitahu mereka. “Kemudian, bawalah Nabot ke luar kota lalu lontarinya dengan batu sampai dia mati.”

Sebaik sahaja Izebel menerima berita bahawa Nabot sudah mati, dia berkata kepada Ahab, “Sekarang tuanku boleh mengambil ladang anggurnya.” Adakah adik setuju bahawa Izebel patut dihukum kerana dia telah melakukan perkara yang jahat ini?

Oleh itu, Yehuwa menghantar seorang lelaki yang bernama Yehu untuk menghukum Izebel. Apabila Izebel mendengar bahawa Yehu sedang dalam perjalanannya, dia mewarnai kening dan matanya serta berusaha untuk mencantikkan dirinya. Tetapi apabila Yehu sampai dan nampak Izebel di jendela, dia menjerit kepada orang di dalam istana, “Campakkanlah dia ke bawah!” Seperti apa yang adik boleh nampak di dalam gambar, mereka menurut kata-kata Yehu. Mereka mencampakkan Izebel ke bawah dan dia pun mati. Demikianlah kesudahan Permaisuri Izebel yang fasiq.