Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

CERITA 69

Gadis Membantu Lelaki yang Berkuasa

Gadis Membantu Lelaki yang Berkuasa

TAHUKAH adik apa yang sedang dikatakan oleh budak perempuan ini? Dia sedang memberitahu wanita ini tentang seorang penubuat Yehuwa yang bernama Elisa, dan perkara-perkara menakjubkan yang telah dilakukan oleh Elisa dengan bantuan Yehuwa. Wanita ini tidak tahu tentang Yehuwa kerana dia bukan seorang wanita berbangsa Israel. Marilah kita lihat mengapa gadis ini berada di rumah wanita ini.

Wanita ini berbangsa Siria. Suaminya yang bernama Naaman ialah ketua tentera Siria. Budak perempuan ini telah ditangkap oleh orang Siria dan dijadikan hamba isteri Naaman.

Naaman dijangkiti sejenis penyakit teruk yang dipanggil penyakit kusta. Penyakit ini boleh menyebabkan daging seseorang reput lalu gugur. Jadi, gadis ini memberitahu isteri Naaman, “Alangkah baiknya jika tuan saya dapat pergi berjumpa dengan penubuat Yehuwa di Israel. Dia dapat menyembuhkan penyakit tuan saya.” Kemudian, perkara ini diberitahukan kepada suami wanita ini.

Naaman sangat menginginkan penyakitnya disembuhkan. Maka, dia membuat keputusan untuk pergi ke Israel. Apabila dia sampai di sana, dia pergi ke rumah Elisa. Elisa menyuruh pembantunya keluar untuk memberitahu Naaman supaya mandi sebanyak tujuh kali di Sungai Yordan. Hal ini menyebabkan Naaman berasa sangat marah. Dia berkata, “Sungai-sungai di tanah air aku adalah lebih baik daripada mana-mana sungai di Israel!” Selepas itu, Naaman meninggalkan tempat itu.

Tetapi hamba-hambanya berkata kepadanya, “Tuan, jika Elisa menyuruh tuan melakukan sesuatu yang sukar, sudah tentu tuan akan melakukannya. Mengapakah tuan tidak mandi sahaja di dalam sungai ini seperti yang disuruh olehnya?” Naaman mendengar kata-kata hambanya lalu membenamkan dirinya sebanyak tujuh kali ke dalam Sungai Yordan. Sebaik sahaja dia berbuat demikian, tubuhnya menjadi sihat semula!

Naaman berasa sangat gembira. Dia kembali menemui Elisa dan berkata, “Sekarang saya tahu bahawa Tuhan Israel ialah satu-satunya Tuhan yang benar di seluruh dunia. Tuan, terimalah hadiah-hadiah ini.” Tetapi Elisa berkata, “Tidak, saya tidak akan menerima hadiah-hadiah ini daripada kamu.” Elisa tahu perbuatan menerima hadiah daripada Naaman adalah salah kerana Yehuwalah yang telah menyembuhkan Naaman. Tetapi, pembantu Elisa yang bernama Gehazi menginginkan hadiah-hadiah itu untuk dirinya.

Jadi, apakah yang dilakukan oleh Gehazi? Selepas Naaman beredar, Gehazi berlari mengejar Naaman. “Elisa menghantar saya untuk memberitahu tuan bahawa dia ingin menerima sebahagian daripada hadiah-hadiah tersebut untuk diberikan kepada kawan-kawannya yang baru datang untuk melawatnya,” kata Gehazi. Sebenarnya, dia berbohong. Walau bagaimanapun, Naaman tidak tahu bahawa Gehazi berbohong; jadi dia memberi Gehazi sebahagian daripada hadiah-hadiah itu.

Apabila Gehazi pulang, Elisa sudah tahu apa yang dilakukan oleh Gehazi. Yehuwa telah memberitahu Elisa apa yang berlaku. Jadi, Elisa berkata, “Oleh sebab engkau telah melakukan perkara yang buruk ini, engkau akan mendapat penyakit Naaman.” Dengan serta-merta, Gehazi dijangkiti penyakit kusta!

Apakah yang boleh kita belajar daripada cerita ini? Pertama, kita patut berusaha untuk bercakap tentang Yehuwa kepada orang lain, seperti yang dilakukan oleh budak perempuan ini. Banyak kebaikan boleh diperoleh dengan berbuat demikian. Kedua, kita tidak patut menjadi seperti Naaman, yang pada mula-mulanya sombong. Sebaliknya kita patut mendengar kata-kata hamba Tuhan. Dan ketiga, kita tidak patut berbohong seperti apa yang dilakukan oleh Gehazi. Tidakkah adik setuju bahawa kita dapat belajar banyak perkara yang baik apabila kita membaca Bible?