Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

CERITA 71

Tuhan Menjanjikan Sebuah Firdaus

Tuhan Menjanjikan Sebuah Firdaus

INI ialah sebuah gambar firdaus. Firdaus yang telah ditunjukkan oleh Yehuwa kepada Yesaya mungkin kelihatan seperti gambar firdaus ini. Yesaya ialah seorang penubuat Yehuwa. Yesaya hidup tidak lama selepas Yunus.

Firdaus bererti “taman” atau “kebun bunga.” Tidakkah gambar ini mengingatkan adik tentang satu lagi gambar yang pernah kita lihat dalam buku ini? Gambar ini kelihatan seperti taman yang telah diciptakan oleh Tuhan Yehuwa untuk Adam dan Hawa. Tetapi, mungkinkah seluruh bumi menjadi sebuah firdaus pada suatu hari nanti?

Yehuwa menyuruh Yesaya menulis nubuat tentang Firdaus baru yang bakal dinikmati oleh umat Tuhan. Dia berkata, “Serigala akan tinggal dengan damai bersama-sama biri-biri. Anak lembu dan anak singa akan makan bersama-sama, dan kanak-kanak akan menjaga mereka. Bahkan seorang bayi tidak akan dicederakan apabila bermain dekat ular berbisa.”

Ramai orang mungkin berkata, “Hal ini tidak mungkin berlaku. Sejak dahulu lagi, bumi dipenuhi dengan masalah. Masalah-masalah ini akan sentiasa wujud.” Namun begitu, fikirlah sejenak, di manakah Yehuwa meletakkan Adam dan Hawa?

Tuhan telah meletakkan Adam dan Hawa di dalam sebuah firdaus. Tetapi, oleh sebab mereka telah mengingkari Tuhan, mereka kehilangan tempat kediaman mereka, mula menjadi tua, dan akhirnya mati. Tuhan berjanji bahawa Dia akan memberi manusia yang mengasihi-Nya segala-gala yang telah dihilangkan oleh Adam dan Hawa.

Dalam firdaus yang baru, tidak ada apa-apa yang akan menyebabkan kesakitan atau kemusnahan. Kedamaian yang sempurna akan wujud. Semua orang akan menjadi sihat dan gembira. Kehidupan di bumi akan menjadi seperti apa yang dikehendaki oleh Tuhan pada mulanya. Kita akan belajar bagaimana Tuhan akan melakukan hal ini.