Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

CERITA 73

Raja Baik yang Terakhir di Israel

Raja Baik yang Terakhir di Israel

YOSIA berumur lapan tahun sahaja apabila dia menjadi raja kerajaan selatan yang terdiri daripada dua suku bangsa Israel. Oleh sebab dia menjadi raja pada usia yang begitu muda, pada awal pemerintahannya dia dibantu oleh beberapa orang lelaki yang lebih tua.

Setelah Yosia memerintah sebagai raja selama tujuh tahun, dia mula mencari Yehuwa. Dia mengikut teladan raja-raja yang baik seperti Daud, Yosafat, dan Hizkia. Apabila Yosia masih belasan tahun, dia telah melakukan sesuatu yang sungguh berani.

Untuk suatu jangka masa yang panjang, kebanyakan orang Israel sangat jahat. Mereka menyembah tuhan-tuhan palsu. Mereka juga bersujud kepada berhala. Oleh itu, Yosia dan anak buahnya mula menghapuskan penyembahan palsu di negeri mereka. Tugas ini merupakan tugas yang amat mencabar kerana terdapat begitu banyak orang yang menyembah tuhan-tuhan palsu. Adik boleh nampak Yosia dan anak buahnya memecahkan patung-patung berhala dalam gambar ini.

Selepas itu, Yosia menugaskan tiga orang lelaki untuk mengawasi kerja membaik pulih Rumah Yehuwa. Wang untuk membaik pulih Rumah Tuhan dipungut daripada rakyat dan diberikan kepada ketiga-tiga orang lelaki ini. Semasa mereka sedang menjalankan kerja membaik pulih Rumah Tuhan, penghentar agung yang bernama Hilkia menjumpai sesuatu yang sangat penting. Buku yang mengandungi hukum-hukum Yehuwa yang telah ditulis oleh Musa pada suatu masa dahulu telah dijumpai! Buku ini telah hilang untuk sangat lama.

Buku ini dibawa kepada Yosia, dan Yosia memberi perintah agar kandungan buku ini dibacakan kepadanya. Ketika buku ini dibaca, Yosia sedar bahawa rakyatnya tidak mengikut hukum-hukum Yehuwa. Dia berasa sangat sedih. Itulah sebabnya dia mengoyakkan pakaiannya seperti apa yang adik dapat lihat dalam gambar ini. Dia berkata, “Yehuwa marah kepada kita kerana nenek moyang kita tidak mematuhi hukum-hukum yang tertulis dalam buku ini.”

Yosia memberi perintah kepada penghentar agung, Hilkia untuk mendapatkan maklumat tentang apa yang akan dilakukan oleh Yehuwa terhadap mereka. Maka, Hilkia pergi untuk berjumpa dengan seorang penubuat wanita yang bernama Hulda untuk bertanyakan hal ini. Hulda memberi Hilkia pesanan Yehuwa yang berikut untuk disampaikan kepada Yosia: “Yerusalem serta semua penduduknya akan dihukum kerana mereka menyembah tuhan-tuhan yang palsu dan negeri mereka dipenuhi dengan kejahatan. Tetapi engkau, Yosia, telah melakukan apa yang baik. Oleh itu, hukuman yang akan dijatuhkan tidak akan berlaku semasa engkau masih hidup.”