Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

CERITA 80

Umat Tuhan Meninggalkan Babilon

Umat Tuhan Meninggalkan Babilon

HAMPIR dua tahun telah berlalu semenjak Babilon ditawan oleh orang Media dan Persia. Dan lihatlah apa yang sedang berlaku sekarang! Orang Israel sedang meninggalkan Babilon. Bagaimanakah mereka memperoleh kebebasan mereka? Siapakah yang mengizinkan mereka untuk meninggalkan Babilon?

Raja Persia yang bernama Kores telah mengizinkan mereka untuk meninggalkan Babilon. Lama sebelum Kores dilahirkan, Yehuwa telah menyuruh penubuat-Nya yang bernama Yesaya untuk menulis tentang Kores. Inilah kata-kata Yehuwa, “Engkau akan melakukan apa sahaja yang Aku mahu engkau lakukan. Pintu gerbang akan dibiarkan terbuka supaya engkau dapat menawan kota itu.” Dan sememangnya, Kores dan angkatan tenteranya telah menawan Babilon seperti yang dinubuatkan oleh Yesaya. Orang Media dan Persia masuk ke dalam kota itu pada waktu malam melalui pintu gerbang yang telah dibiarkan terbuka.

Yesaya juga mengatakan bahawa Kores akan memberi perintah agar kota Yerusalem dan Rumah Tuhan dibina semula. Adakah Kores memberi perintah tersebut? Ya. Inilah perintah Kores kepada orang Israel, “Sekarang, pergilah ke Yerusalem dan bina semula Rumah Yehuwa, Tuhan kamu.” Maka, orang Israel yang adik lihat dalam gambar ini sedang dalam perjalanan ke Yerusalem.

Tetapi bukan semua orang Israel yang berada di Babilon boleh menyertai mereka yang akan berjalan jauh untuk kembali ke Yerusalem. Jarak dari Babilon ke Yerusalem adalah kira-kira 500 batu (800 kilometer) dan ramai orang tidak dapat berjalan begitu jauh kerana mereka terlalu tua atau terlalu lemah. Terdapat juga sebab-sebab lain yang menyebabkan sesetengah orang Israel tidak pulang ke Yerusalem. Kores memberitahu mereka yang tidak pulang, “Berikan perak dan emas serta hadiah-hadiah yang lain kepada mereka yang akan pulang ke Yerusalem untuk membina semula Rumah Tuhan dan kota di sana.”

Banyak hadiah telah diberikan kepada orang Israel yang sedang dalam perjalanan pulang ke Yerusalem. Tambahan pula, Kores memberi mereka mangkuk-mangkuk dan cawan-cawan yang telah diambil oleh Raja Nebukadnezar dari Rumah Yehuwa apabila Yerusalem dimusnahkan. Mereka mempunyai banyak barang untuk dibawa pulang bersama-sama mereka.

Selepas orang Israel berjalan untuk kira-kira empat bulan, mereka sampai di Yerusalem tepat pada waktunya, iaitu 70 tahun selepas kota Yerusalem dimusnahkan. Sepanjang masa ini, negeri itu terbiar tanpa seorang penghuni pun. Walaupun orang Israel kini berada di tanah air mereka, ada kalanya mereka akan hidup susah. Kita akan belajar tentang hal ini dalam cerita yang seterusnya.