Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

CERITA 84

Malaikat Melawat Maria

Malaikat Melawat Maria

WANITA yang cantik ini ialah Maria. Dia ialah seorang wanita berbangsa Israel yang tinggal di kota Nasaret. Tuhan tahu bahawa dia merupakan seorang wanita yang sangat baik. Inilah sebabnya Dia telah menghantar malaikat-Nya yang bernama Gabriel untuk bercakap dengannya. Apakah pesanan yang disampaikan oleh Gabriel kepada Maria? Mari kita lihat.

“Selamat sejahtera, hai engkau yang mendapat perkenan istimewa Tuhan,” kata Gabriel kepadanya. “Yehuwa menyertai engkau.” Maria tidak pernah melihat malaikat tersebut sebelum ini. Maria berasa risau kerana dia tidak memahami kata-kata yang diucapkan oleh Gabriel. Maka, dengan serta-merta, Gabriel menenangkan hati Maria.

“Janganlah takut, Maria,” kata Gabriel. “Engkau mendapat perkenan istimewa Tuhan. Itulah sebabnya Dia akan melakukan sesuatu yang menakjubkan untukmu. Tidak lama lagi, engkau akan melahirkan seorang anak. Engkau harus menamai anak ini Yesus.”

Gabriel menjelaskan lagi, “Anak ini akan menjadi orang yang penting. Dia akan dipanggil Anak Tuhan Yang Maha Tinggi. Yehuwa akan menjadikannya seorang raja, sama seperti Daud. Tetapi, Yesus akan menjadi raja untuk selama-lamanya. Kerajaannya tidak akan berakhir!”

“Aku belum berkahwin lagi dan aku tidak pernah hidup bersama-sama seorang lelaki. Bagaimanakah semua perkara ini boleh terjadi?” tanya Maria. “Mungkinkah aku melahirkan seorang anak?”

“Daya aktif Tuhan akan turun ke atasmu,” jawab Gabriel. “Maka anak ini akan dipanggil Anak Tuhan.” Kemudian Gabriel memberitahu Maria, “Adakah engkau ingat akan saudaramu Elisabet? Orang berkata bahawa dia terlalu tua untuk melahirkan anak. Tetapi tidak lama lagi, dia akan melahirkan seorang anak lelaki. Bagi Tuhan, tiada perkara yang mustahil.”

Dengan serta-merta Maria berkata, “Aku hamba Yehuwa! Biarlah berlaku kepadaku seperti yang engkau katakan.” Kemudian, malaikat tersebut beredar dari situ.

Maria bergegas melawat Elisabet. Apabila Elisabet mendengar suara Maria, bayi di dalam rahimnya melonjak kegembiraan. Elisabet dipenuhi dengan daya aktif Tuhan lalu dia berkata kepada Maria, “Antara semua wanita, kamulah yang mendapat berkat istimewa daripada Tuhan.” Maria tinggal bersama-sama Elisabet selama kira-kira tiga bulan sebelum dia pulang ke rumahnya di Nasaret.

Tidak beberapa lama lagi, Maria akan berkahwin dengan seorang lelaki yang bernama Yusuf. Tetapi apabila Yusuf mengetahui bahawa Maria sedang mengandung, dia rasa dia tidak patut mengahwini Maria. Maka, malaikat Tuhan memberitahunya, “Jangan takut untuk menjadikan Maria isterimu kerana Tuhanlah yang telah mengurniakan seorang anak lelaki kepadanya.” Jadi Yusuf dan Maria berkahwin dan mereka menantikan kelahiran Yesus.