Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

CERITA 94

Dia Mengasihi Kanak-kanak

Dia Mengasihi Kanak-kanak

LIHATLAH gambar ini. Yesus sedang memeluk seorang budak kecil. Daripada gambar ini, adik boleh lihat bahawa Yesus benar-benar mengambil berat akan kanak-kanak. Mereka yang sedang memandang Yesus ialah hawari-hawarinya. Apakah yang sedang dikatakan oleh Yesus kepada mereka? Mari kita lihat jawapannya.

Yesus dan hawari-hawarinya baru sahaja kembali daripada suatu perjalanan yang jauh. Dalam perjalanan mereka, hawari-hawari Yesus bertengkar sesama mereka. Selepas perjalanan mereka, Yesus bertanya kepada mereka, “Tadi, kamu bertengkar tentang apa?” Sebenarnya, Yesus sudah tahu jawapannya. Tetapi, Yesus masih menanyakan soalan itu kerana dia ingin tahu jika mereka akan menjawab soalannya.

Hawari-hawari Yesus tidak menjawab soalan Yesus. Hal ini adalah kerana dalam perjalanan, mereka telah bertengkar tentang siapa antara mereka adalah paling penting. Terdapat beberapa orang hawari yang ingin menjadi lebih besar dan lebih penting daripada hawari-hawari lain. Bagaimanakah Yesus akan menerangkan kepada mereka bahawa sikap mereka adalah salah? Bagaimanakah Yesus akan membantu mereka mengubah sikap mereka?

Yesus memanggil budak lelaki itu dan menyuruhnya berdiri di hadapan mereka. Kemudian, dia memberitahu murid-muridnya, “Ketahuilah hal ini. Kecuali kamu mengubah sikap kamu dan menjadi seperti kanak-kanak, kamu tidak dapat menikmati pemerintahan Tuhan. Orang yang dianggap terbesar antara mereka yang menikmati pemerintahan Tuhan adalah orang yang merendahkan diri dan menjadi seperti kanak-kanak ini.” Tahukah adik mengapa Yesus berkata sedemikian?

Kanak-kanak yang kecil tidak ambil peduli sama ada mereka lebih besar atau lebih penting daripada orang lain. Oleh itu, hawari-hawari Yesus patut meniru sikap kanak-kanak yang tidak mementingkan diri. Mereka tidak patut bertengkar tentang siapa yang lebih besar atau lebih penting.

Yesus telah menunjukkan betapa banyak dia mengambil berat akan kanak-kanak pada masa-masa yang lain juga. Beberapa bulan kemudian, orang telah membawa anak-anak mereka untuk berjumpa dengan Yesus. Hawari-hawarinya mencuba melarang mereka. Tetapi, Yesus memberitahu hawari-hawarinya, “Biarlah kanak-kanak itu datang kepadaku! Jangan larang mereka, kerana orang seperti inilah yang akan menikmati pemerintahan Tuhan.” Selepas itu, Yesus memeluk semua kanak-kanak di situ dan memberkati mereka. Tidakkah adik berasa gembira untuk mengetahui bahawa Yesus mengasihi kanak-kanak?