Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

CERITA 100

Yesus di Taman

Yesus di Taman

SELEPAS Yesus dan hawari-hawarinya meninggalkan bilik di tingkat atas itu, mereka pergi ke Taman Getsemani. Mereka pernah pergi ke taman itu banyak kali sebelum ini. Di sana, Yesus menyuruh mereka untuk berjaga dan berdoa. Kemudian, dia pergi jauh sedikit dari tempat mereka berada, lalu bersujud berdoa.

Selepas berdoa, Yesus kembali ke tempat hawari-hawarinya berada. Tahukah adik apa yang sedang dilakukan oleh mereka? Mereka sedang tidur! Sebanyak tiga kali Yesus menyuruh mereka berjaga tetapi setiap kali dia kembali, dia mendapati bahawa mereka sedang tidur. Kali terakhir Yesus kembali, dia berkata, “Mengapakah kamu masih tidur? Lihatlah, saatnya sudah tiba bagi aku untuk diserahkan ke dalam tangan musuh-musuhku.”

Tepat pada masa itu, bunyi riuh didengari. Lihatlah gambar ini! Sekumpulan orang telah datang ke taman ini dengan membawa pedang dan kayu. Mereka juga membawa obor untuk menerangi jalan. Seorang lelaki daripada kumpulan itu mendekati Yesus. Dia mencium Yesus seperti apa yang boleh dilihat di dalam gambar ini. Lelaki itu ialah Yudas Iskariot! Mengapakah dia mencium Yesus?

Yesus bertanya, “Yudas, adakah kamu mengkhianatiku dengan ciuman ini?” Ya, ciuman Yudas ialah satu tanda. Tanda ini memaklumkan orang yang datang bersama Yudas bahawa lelaki ini ialah Yesus, orang yang dikehendaki oleh mereka. Jadi, musuh-musuh Yesus mendekati Yesus lalu menangkapnya. Tetapi Petrus tidak mahu membiarkan mereka menangkap Yesus dengan begitu sahaja. Dia menghunus pedang yang telah dibawanya lalu menyerang lelaki yang berdiri dekat dengannya. Pedang Petrus tidak mengena kepala lelaki itu, tetapi telinga kanan lelaki itu dipotong. Namun begitu, Yesus menyentuh telinga lelaki itu lalu menyembuhkannya.

Yesus berkata kepada Petrus, “Sarungkan pedangmu. Tidakkah kamu tahu bahawa aku boleh meminta Bapaku menghantar beribu-ribu malaikat untuk menyelamatkan aku?” Ya, sememangnya Yesus boleh berbuat demikian! Tetapi Yesus tidak meminta Tuhan untuk menghantar malaikat dari syurga kerana dia tahu bahawa masanya sudah tiba bagi musuh-musuhnya untuk menangkapnya. Jadi, dia membenarkan mereka membawanya pergi. Marilah kita lihat apa yang berlaku kepada Yesus sekarang.