Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

CERITA 107

Stefanus Dilontari Batu

Stefanus Dilontari Batu

LELAKI yang sedang berlutut di dalam gambar ialah Stefanus. Dia seorang murid Yesus yang setia. Tetapi lihatlah apa yang sedang berlaku kepadanya! Sekumpulan lelaki di dalam gambar ini sedang melontarinya dengan batu-batu yang besar. Mengapakah mereka begitu membenci Stefanus sehingga mereka sanggup melakukan perkara yang keji ini? Mari kita lihat jawapannya.

Selama ini, Tuhan telah membantu Stefanus untuk melakukan mukjizat-mukjizat yang menakjubkan. Kumpulan lelaki ini tidak suka akan hal ini. Mereka bertengkar dengannya kerana dia mengajar orang kebenaran. Tetapi dengan kebijaksanaan yang diberikan oleh Tuhan, Stefanus telah menunjukkan bahawa ajaran orang-orang yang jahat ini merupakan ajaran palsu. Hal ini menyebabkan mereka menjadi lebih marah. Maka, mereka menangkapnya dan mendapatkan beberapa orang untuk bercakap bohong tentangnya.

Penghentar agung bertanya kepada Stefanus, “Betulkah semua tuduhan mereka?” Stefanus menjawab soalan itu dengan memberikan sebuah ceramah berdasarkan Bible. Pada penghujung ceramahnya, dia memberitahu mereka tentang orang-orang jahat yang membenci penubuat-penubuat Tuhan pada masa dahulu. Kemudian, dia berkata, “Sikap kamu sama seperti sikap orang-orang yang jahat itu. Kamu membunuh hamba Tuhan iaitu Yesus, dan kamu tidak mentaati hukum-hukum Tuhan.”

Hal ini menyebabkan ketua-ketua agama menjadi sangat marah! Muka mereka merah padam. Namun begitu, Stefanus memandang ke langit lalu berkata, “Lihatlah! Saya melihat Yesus berdiri di sebelah kanan Tuhan di syurga!” Apabila mereka mendengar kata-kata Stefanus, orang-orang jahat ini menutup telinga mereka. Selepas itu, mereka menyerang Stefanus, menangkapnya lalu mengheretnya ke luar kota itu.

Di sini, mereka menanggalkan dan memberikan jubah-jubah mereka kepada seorang pemuda yang bernama Saulus. Bolehkah adik nampak Saulus dan jubah-jubah yang diletakkan dekat kakinya? Kemudian, beberapa orang lelaki melontari Stefanus dengan batu. Stefanus berlutut, seperti yang adik dapat lihat di dalam gambar, lalu berdoa kepada Tuhan, “Yehuwa, janganlah menghukum mereka atas kejahatan ini.” Dia tahu bahawa beberapa orang dalam kalangan mereka telah ditipu oleh ketua-ketua agama mereka. Setelah berkata demikian, Stefanus pun meninggal.

Jika seseorang melakukan sesuatu yang buruk terhadap adik, adakah adik akan membalas kejahatan mereka? Adakah adik akan meminta Tuhan menghukum mereka? Stefanus dan Yesus tidak berbuat demikian walaupun orang berbuat jahat kepada mereka. Stefanus dan Yesus baik kepada semua orang. Marilah kita meniru teladan mereka.