Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

CERITA 108

Perjalanan ke Damsyik

Perjalanan ke Damsyik

TAHUKAH adik siapa lelaki yang terbaring di atas tanah? Lelaki itu ialah Saulus. Jika adik masih ingat, dialah lelaki yang telah menjaga jubah-jubah orang yang melontari Stefanus dengan batu. Lihatlah cahaya yang terang itu! Apakah yang sedang berlaku?

Selepas Stefanus dibunuh, Saulus mengetuai usaha memburu dan mencederakan pengikut-pengikut Yesus. Dia pergi dari rumah ke rumah lalu mengheret mereka keluar dan memasukkan mereka ke dalam penjara. Banyak daripada murid-murid Yesus melarikan diri ke kota-kota yang lain dan mula menyebarkan berita baik di sana. Tetapi, Saulus pergi ke kota-kota tersebut untuk mencari pengikut-pengikut Yesus juga. Sekarang, dia sedang dalam perjalanannya ke Damsyik. Dalam perjalanannya, sesuatu yang menakjubkan telah berlaku.

Tiba-tiba cahaya dari langit memancar di sekeliling Saulus. Seperti yang dilihat di dalam gambar ini, Saulus telah jatuh ke tanah. Kemudian, suatu suara berkata kepadanya, “Saulus! Saulus! Mengapakah engkau mencederakan aku?” Beberapa orang lelaki yang ada bersama-sama Saulus dapat melihat cahaya yang menerangi Saulus. Mereka juga boleh mendengar suara itu tetapi mereka tidak memahami kata-kata yang diucapkan.

Saulus bertanya, “Siapakah tuan?”

Suara itu menjawab, “Aku Yesus, yang engkau aniaya.” Yesus berkata sedemikian kerana Yesus berasa seolah-olah dirinya dicederakan apabila Saulus mencederakan pengikut-pengikutnya.

Saulus bertanya lagi, “Apakah yang harus saya lakukan, tuan?”

“Bangunlah dan masuklah ke Damsyik,” kata Yesus. “Di sana engkau akan diberitahu apa yang harus engkau lakukan.” Apabila Saulus bangun dan membuka matanya, dia tidak dapat melihat. Dia telah menjadi buta! Jadi, teman-teman seperjalanan Saulus memegang tangannya dan memimpinnya ke Damsyik.

Yesus sekarang bercakap kepada salah seorang muridnya di Damsyik. Yesus berkata, “Bersiap-siaplah, Ananias. Pergilah ke rumah Yudas di Jalan Lurus. Bertanyalah tentang seorang lelaki yang bernama Saulus. Aku telah memilihnya untuk menjadi hambaku yang istimewa.”

Ananias mematuhi arahan Yesus. Apabila dia bertemu dengan Saulus, dia meletakkan tangannya pada Saulus lalu berkata, “Yesus telah mengutus saya ke sini supaya saudara boleh melihat semula dan supaya saudara dipenuhi daya aktif Tuhan.” Pada saat itu juga sesuatu seperti sisik ikan jatuh daripada mata Saulus dan dia dapat melihat semula.

Dalam cara yang menakjubkan, Saulus telah digunakan untuk menyebarkan berita baik kepada orang daripada pelbagai bangsa. Dia kemudiannya dikenali sebagai hawari Paulus. Kita akan mempelajari lebih banyak lagi tentang dia. Tetapi buat masa ini, marilah kita baca tentang tugas yang diberikan oleh Tuhan kepada Petrus.