Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

CERITA 109

Petrus Mengunjungi Kornelius

Petrus Mengunjungi Kornelius

LELAKI yang sedang berdiri di situ ialah hawari Petrus, dan mereka yang berdiri di belakangnya merupakan kawan-kawannya. Mengapakah lelaki itu sedang bersujud di hadapan Petrus? Patutkah dia berbuat demikian? Tahukah adik siapa dia?

Lelaki itu ialah Kornelius. Dia seorang pegawai pasukan tentera Roma. Kornelius tidak kenal akan Petrus tetapi dia disuruh untuk menjemput Petrus ke rumahnya. Marilah kita lihat bagaimana hal ini berlaku.

Mereka yang mula-mula menjadi pengikut Yesus berbangsa Yahudi. Tetapi Kornelius bukan seorang lelaki Yahudi. Namun demikian, dia berdoa kepada Tuhan dan mengasihi-Nya. Dia juga sering berbuat baik kepada orang lain. Pada suatu petang, satu malaikat datang kepadanya lalu berkata, “Tuhan senang hati dengan kamu dan Dia akan menjawab doamu. Suruhlah beberapa orang lelaki ke Yope untuk mendapatkan seorang lelaki yang bernama Petrus. Dia sedang menumpang di rumah Simon yang tinggal di tepi pantai.”

Dengan serta-merta, Kornelius menyuruh beberapa orang lelaki mencari Petrus. Pada keesokan hari, sejurus sebelum mereka tiba di Yope, Petrus berada di atas bumbung rata rumah Simon. Di sana, Tuhan membolehkan Petrus melihat sesuatu seperti sehelai kain yang besar diturunkan ke bumi dari langit. Di dalam kain itu terdapat segala macam binatang. Menurut hukum Tuhan, binatang-binatang ini dianggap haram atau tidak bersih untuk dijadikan sebagai makanan. Namun, suatu suara berkata, “Petrus, bangunlah! Sembelih binatang-binatang itu dan makan!”

Petrus menjawab, “Tidak! Aku tidak pernah makan apa-apa yang haram atau tidak bersih.” Tetapi suara itu memberitahu Petrus, “Jangan anggap haram apa yang sudah dinyatakan halal oleh Tuhan.” Hal ini berlaku sebanyak tiga kali. Semasa Petrus termenung memikirkan apa yang dilihat olehnya, orang yang dihantar oleh Kornelius telah menjumpai rumah Simon dan bertanya sama ada Petrus menumpang di situ.

Petrus turun ke bawah lalu berkata, “Sayalah orang yang dicari oleh saudara-saudara. Mengapakah saudara-saudara datang?” Apabila mereka menjelaskan bahawa satu malaikat telah menyuruh Kornelius untuk menjemput Petrus ke rumahnya, Petrus bersetuju untuk mengikut mereka. Pada keesokan harinya, Petrus dan kawan-kawannya memulakan perjalanan mereka ke Kaisarea untuk mengunjungi Kornelius.

Kornelius telah mengumpulkan sanak saudara dan sahabat-sahabat karibnya. Apabila Petrus sampai, Kornelius bersujud di hadapan Petrus seperti yang ditunjukkan di dalam gambar. Tetapi Petrus berkata, “Bangunlah, saya sendiri pun manusia.” Bible menunjukkan bahawa perbuatan bersujud menyembah orang adalah salah. Kita patut menyembah Yehuwa sahaja.

Sekarang, Petrus berkata kepada mereka yang telah berkumpul di sana, “Saya sedar bahawa Tuhan menerima semua orang yang ingin menjadi hamba-Nya.” Sementara Petrus sedang bercakap, Tuhan telah mencurahkan daya aktif-Nya dan mereka yang ada di sana mula bertutur dalam bahasa-bahasa yang berbeza. Peristiwa ini menjadikan murid-murid berbangsa Yahudi yang datang bersama-sama Petrus hairan kerana mereka menyangka bahawa Tuhan hanya menerima orang Yahudi sebagai umat-Nya. Jadi, daripada peristiwa ini mereka mempelajari bahawa Tuhan tidak menganggap satu bangsa lebih penting daripada bangsa-bangsa yang lain. Bukankah hal ini suatu pengajaran penting bagi kita?