Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

CERITA 110

Timotius—Pembantu Baru Paulus

Timotius—Pembantu Baru Paulus

PEMUDA yang ada bersama hawari Paulus di dalam gambar ini ialah Timotius. Timotius tinggal di Listra bersama-sama keluarganya. Ibunya bernama Eunike dan neneknya bernama Lois.

Inilah kali ketiga Paulus melawat Listra untuk menjalankan kerja penyebaran. Kali pertama Paulus dan Barnabas datang ke sini adalah lebih kurang setahun sebelum ini. Dan kini, Paulus kembali ke Listra dengan sahabatnya, Silas.

Apakah yang sedang dikatakan oleh Paulus kepada Timotius? “Adakah kamu ingin menyertai saya dan Silas untuk menyebarkan berita baik ke tempat-tempat yang jauh dari sini?” tanya Paulus. “Kamu dapat membantu kami.”

“Ya,” jawab Timotius. “Saya ingin menyertai kamu.” Tidak lama selepas itu, Timotius meninggalkan keluarganya untuk menyertai Paulus dan Silas. Sebelum kita membaca tentang perjalanan mereka, marilah kita lihat apa yang telah berlaku kepada Paulus sepanjang masa ini. Hampir 17 tahun telah berlalu sejak Yesus menampakkan diri kepada Paulus dalam perjalanannya ke Damsyik.

Jika adik masih ingat, Paulus telah pergi ke Damsyik untuk menganiaya murid-murid Yesus. Tetapi sekarang, Paulus sendiri telah menjadi seorang murid Yesus! Beberapa lama kemudian, sesetengah musuh Paulus merancang untuk membunuhnya kerana mereka tidak suka Paulus mengajar orang tentang Yesus. Tetapi murid-murid Paulus membantunya melarikan diri. Mereka meletakkan Paulus ke dalam sebuah bakul dan menurunkannya di luar tembok kota.

Seterusnya, Paulus telah pergi ke Antiokhia untuk menyebarkan berita baik. Di sinilah tempatnya pengikut-pengikut Yesus mula-mula dipanggil sebagai orang Kristian. Paulus dan Barnabas dihantar ke negeri-negeri yang terletak jauh dari Antiokhia untuk menyebarkan berita baik. Salah sebuah kota yang dikunjungi oleh mereka ialah Listra, iaitu tempat tinggal Timotius.

Kira-kira setahun kemudian, Paulus berada di Listra untuk kali kedua. Apabila Timotius meninggalkan Listra bersama-sama Paulus dan Silas, tahukah adik ke mana mereka pergi? Lihatlah peta ini dan mari kita belajar nama tempat-tempat yang dikunjungi oleh mereka.

Mula-mula mereka pergi ke Ikonium, sebuah kota yang berdekatan dengan Listra. Kemudian, mereka pergi ke sebuah lagi kota yang juga dinamakan Antiokhia. Selepas itu, mereka pergi ke Troas, Filipi, Tesalonika, dan Berea. Bolehkah adik nampak Atena dalam peta? Paulus menyebarkan berita baik di sana. Kemudian, mereka menghabiskan masa selama setahun setengah untuk menyebarkan berita baik di Korintus. Seterusnya, mereka berhenti sekejap di Efesus. Mereka akhirnya belayar ke Kaisarea, dan selepas itu mereka meneruskan perjalanan mereka ke utara, iaitu ke Antiokhia. Di sinilah tempatnya Paulus tinggal.

Jadi, Timotius mengembara beratus-ratus batu bersama-sama Paulus untuk menyebarkan berita baik dan untuk memulakan banyak sidang Kristian. Apabila adik menjadi lebih besar, adakah adik akan menjadi seorang hamba Tuhan yang setia seperti Timotius?